RUU 355, RUU Kawalan tidak sekat kebebasan beragama bukan Islam

KUALA LUMPUR: Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU 355) dan RUU Kawalan dan Sekatan Pengembangan Doktrin atau Kepercayaan Agama dalam Kalangan Orang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2021 (RUU Kawalan) bukan bertujuan menyekat kebebasan beragama bagi penganut bukan Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad, berkata undang-undang itu jika diluluskan kelak hanya terpakai kepada orang Islam.

“Sebenarnya RUU ini adalah sekatan pengembangan doktrin atau pengembangan agama dalam kalangan orang Islam saja. RUU ini bukan bertujuan menyekat kebebasan beragama dalam kalangan bukan Islam.

“Orang bukan Islam bebas untuk menyebarkan agama mereka dalam kalangan mereka, tidak dalam kalangan orang Islam,” katanya menjawab soalan tambahan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat semalam.

Menjawab soalan asal Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas), Idris berkata, selepas RUU itu dimuktamadkan kelak, kedua-duanya akan dibentang kepada negeri-negeri dalam persidangan penyelarasan undang-undang syarak dan sivil yang dijadual diadakan pada Selasa hingga Khamis minggu depan.

Beliau berkata, sepanjang 2020 dan 2021, Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang ditubuhkan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) sudah mengadakan beberapa siri mesyuarat bagi membincangkan RUU 355.

“Dengan melihat daripada pelbagai aspek khususnya aspek perlembagaan, undang-undang dan hukum syarak supaya RUU 355 lebih komprehensif dan seterusnya memperkasa bidang kuasa jenayah mahkamah syariah” katanya.

Berhubung RUU Kawalan pula, katanya jawatankuasa teknikal turut mengadakan beberapa siri mesyuarat sepanjang 2020 dan 2021 bagi membincangkan RUU ini.

“Selain itu, jawatankuasa teknikal turut menubuhkan sebuah jawatankuasa kecil khusus bagi meneliti secara lebih mendalam RUU Kawalan ini dan seterusnya mencadangkan penambahbaikan terhadap RUU Kawalan bagi memastikan ia selaras dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Kerajaan sebelum ini memutuskan, RUU 355 dan RUU Kawalan perlu dirunding dengan negeri sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat, bertujuan mendapatkan pandangan kerajaan negeri berhubung RUU berkenaan. -Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts