BANGI – Sekretariat Ummat Menyokong Memperkasakan Akta 355 (Ummat) akan menganjurkan forum dan perhimpunan aman sebagai memperjelaskan kepentingan dan keperluan Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta 355.
Pengerusi Sekretariat Ummat, Aminuddin Yahaya berkata, ia juga sebahagian daripada kerangka promosi dan memberi penerangan khusus berhubung isu ini kepada rakyat di Bentong, Pahang.
Menjelaskan sebab memilih daerah itu, beliau berkata, Bentong adalah kawasan Parlimen Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang dilihat lantang mengkritik dan menolak cadangan pindaan akta itu selepas ia dibentang di Dewan Rakyat, Mei lalu.
“Kita nak beritahu Liow bahawa rakyat dan pengundi di Bentong ini sebenarnya mahukan pindaan Akta 355 dilaksanakan.
“Jika dia menolak, bermakna dia juga menolak permintaan rakyat yang mengundi dia. Jadi Liow tidak layak bergelar wakil rakyat kalau begitu,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, forum yang menggabungkan 13 NGO Islam tersebut akan bermula pada 9.30 hingga 11.30 pagi di Dewan Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Bentong.
“Forum itu akan menampilkan panel dari kalangan ahli sekretariat Ummat sendiri dan kita akan adakan sesi soal jawab.
“Di samping itu, perhimpunan aman akan diadakan selepas solat Jumaat di pekarangan masjid,” katanya.
Katanya lagi, beliau menyasarkan kehadiran kira-kira lebih 2,000 orang umat Islam yang menyokong cadangan pindaan RUU 355 itu dilaksanakan. – Ismaweb
www.indahnyaislam.my