Kanak-kanak ialah anugerah paling berharga yang dikurniakan ALLAH SWT kepada ibu bapa. Mereka bukan sahaja melengkapkan keluarga, tetapi juga pewaris masa depan bangsa dan agama.
Sempena sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia pada 20 November setiap tahun, tema “Berjiwa besar, berani berubah” sangat penting sebagai peringatan kepada ibu bapa tentang amanah mendidik anak dengan kasih sayang, kebijaksanaan dan nilai Islam.
Jiwa besar dalam mendidik bukanlah bererti membiarkan segalanya tanpa batas. Sebaliknya, ia bermaksud mendidik dengan kesabaran dan keikhlasan agar anak membesar menjadi insan yang berani, berakhlak mulia dan beriman.
Pembentukan jiwa bermula di rumah
Dalam Islam, setiap anak lahir dalam keadaan suci. Rasulullah SAW bersabda:
“Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka ibu bapalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Riwayat al-Bukhari)
Hadis ini mengingatkan bahawa asas pembentukan jiwa anak bermula di rumah. Maka, ibu bapa yang berjiwa besar ialah mereka yang tidak mudah marah, tidak cepat menghukum dan sanggup memperbaiki diri demi menjadi teladan terbaik untuk anak-anak.
Rasulullah SAW sendiri menunjukkan contoh luar biasa dalam menyantuni kanak-kanak. Baginda mencium cucunya Hasan dan Husain di hadapan sahabat. Apabila ada yang hairan, Baginda menjawab:
“Barang siapa tidak menyayangi, dia tidak akan disayangi.” (Riwayat al-Bukhari)
Kelembutan Baginda bukan tanda kelemahan, tetapi bukti keteguhan jiwa dan inilah hakikat sebenar berjiwa besar.
Hikmah dalam pendekatan
Ibu bapa juga perlu berani mengubah pendekatan keibubapaan. Dalam dunia moden yang dipengaruhi media sosial dan budaya global, cara lama yang keras atau bersifat hukuman semata-mata tidak lagi berkesan.
Berani berubah bermaksud sanggup menyesuaikan kaedah didikan dengan peredaran zaman, tanpa mengabaikan prinsip dan nilai Islam. Jika dahulu anak ditegur dengan suara tinggi, kini mereka perlu didekati melalui komunikasi yang empati dan penuh hikmah.
Teladan yang hidup di rumah
Anak-anak belajar lebih banyak melalui pemerhatian berbanding arahan.
Jika mereka melihat ibu bapa bersabar, menghormati orang lain, serta berani meminta maaf apabila tersilap, mereka akan mencontohi akhlak tersebut. Begitu juga apabila mereka melihat ibu bapa berani mengakui kekurangan diri dan berusaha memperbaikinya serta anak-anak akan memahami bahawa perubahan bukan kelemahan, tetapi kekuatan.
Dalam mendidik anak, mujahadah dan kesungguhan amat diperlukan. Dunia hari ini penuh cabaran, namun ibu bapa yang berjiwa besar tidak mudah berputus asa.
Ikhlas dalam mendidik
Akhirnya, segala usaha dalam pendidikan anak mesti digerakkan dengan niat ikhlas kerana Allah SWT. Ibu bapa yang berjiwa besar mendidik bukan untuk meraih pujian manusia, tetapi kerana memikul amanah yang diberikan oleh-Nya.
Mereka tidak mencari kesempurnaan, tetapi berusaha menjadi pembimbing yang penuh kasih, sabar dan konsisten.
Kesimpulan
Tema “Berjiwa besar, berani berubah” bukan hanya slogan sambutan Hari Kanak-Kanak, tetapi seruan kepada semua ibu bapa untuk memperbaharui cara mendidik dan menyantuni anak-anak.
Dengan jiwa yang besar, ibu bapa mampu memaafkan, memahami dan menyesuaikan diri dengan keperluan anak.
Dengan keberanian untuk berubah, mereka mampu melahirkan generasi yang beriman, berakhlak mulia serta kuat dari segi spiritual dan emosi.
Mendidik anak adalah perjalanan yang panjang, dan hanya mereka yang berjiwa besar serta berani berubah akan mampu membentuk anak-anak menjadi rahmat kepada dunia.
Sumber: Sinar Harian
📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam








