Samudera Pasai, Melaka akar pentadbiran agama Islam Malaysia

PUTRAJAYA – Kesultanan Pasai iaitu institusi Kesultanan Islam terawal di Nusantara dan Kesultanan Melayu Melaka dipercayai menjadi akar umbi pentadbiran agama Islam di Malaysia.

Demikian antara intipati teks Titah Ucapan Penuh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertajuk ‘Mendaulatkan Islam, Memperkasakan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI)’ semalam.

Titah baginda, pentadbiran agama Islam di tanah air kita mempunyai pelbagai ciri istimewa yang bermula daripada sejarah penyebaran Islam di Nusantara dan dipengaruhi susur galur penubuhan serta perkembangan pentadbiran di Negeri-Negeri Melayu itu sendiri, sehingga wujudnya penggabungan negeri tersebut dalam Persekutuan Malaysia.

Penyebaran syiar Islam di Nusantara juga tidak terpisah daripada sejarah perkembangan sistem pemerintahan beraja apabila Raja Pemerintah berperanan sebagai payung negeri dan teraju yang melindungi serta menggalakkan penyebaran ajaran Islam dalam kalangan rakyat jelata.

“Sebagai contoh, institusi Kesultanan Islam terawal di rantau ini iaitu Kesultanan Pasai, diasaskan sekitar tahun 1267 apabila Raja Samudera Pasai, Merah Silu mengambil gelaran Sultan Malikul Saleh setelah memeluk Islam.”

“Gelaran ini menzahirkan hasrat Baginda untuk menubuhkan pemerintahan yang berpandukan Islam, Iman dan Ihsan, selain mewarisi tradisi Khulafa Al-Rasyidin sebagai Khalifah Allah di muka bumi ini.”

Selain itu, baginda turut menerangkan penubuhan Kesultanan Melayu Melaka yang menjadi titik tolak penyebaran Islam secara meluas ke negeri Semenanjung Tanah Melayu. Semasa kemuncak penguasaannya, Kesultanan Melaka berjaya mengislamkan penduduk Semenanjung Tanah Melayu dan sebahagian penduduk di pantai Timur Sumatera.

“Pengaruh Sultan-Sultan Melaka juga amatlah besar sehingga dikatakan boleh menggugat kemakmuran pedagang rempah di Kota Venice.”

Justeru itu, perkara ini menjadi salah satu asbab penjajah Portugis ingin memperluas jajahan mereka di rantau Asia Tenggara, di mana Kesultanan Melaka menjadi sasaran utama serangan untuk melumpuhkan kuasa umat Islam.

Mengulas lanjut, Sultan Sharafuddin bertitah, “Meskipun Melaka secara politik jatuh pada tahun 1511, institusi Raja-Raja Melayu yang mewarisi aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah, dengan berakidah Imam al-Ash’ari, fikah bermazhab Imam al-Syafi’i, dan tasawuf bertarekat Imam al-Ghazali, serta adat istiadat, budaya dan keilmuan daripada Melaka terus berkembang, malah berjaya membentuk wajah dan identiti tamadunnya yang tersendiri di dunia.

Tambah baginda, tradisi inilah yang menjadikan acuan dan amalan Islam di Malaysia unik dan istimewa serta perlu dijadikan panduan dalam memutuskan sebarang keputusan penting berkaitan institusi Islam di Malaysia.

“Walaupun ketika Negeri-Negeri di Semenanjung Tanah Melayu dijajah oleh kuasa Portugis, Belanda mahupun British, kuasa mutlak seseorang Raja Pemerintah sebagai Ketua Agama Islam tidak pernah berubah, malahan terus dikekalkan sehinggalah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada Hari Merdeka,” tegas baginda. – Samudera.my

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts