Sekolah dibiaya rakyat Malaysia jadi tempat berlindung penduduk Gaza

KUALA LUMPUR – Kira-kira 2,000 penduduk Gaza kini mendapatkan perlindungan sementara di sebuah sekolah yang dibina hasil sumbangan rakyat Malaysia selepas kediaman mereka musnah dibom rejim Israel.

Pengurus Besar Pemasaran Aman Palestin Berhad, Muhd Farhan Muhd Fadhil berkata, sekolah yang dinamakan Malaysia Quran School itu mula beroperasi pada 2018 dan terletak di Khan Yunis, selatan Gaza.

“Sejak peristiwa amaran daripada Israel supaya rakyat Palestin di bahagian utara Gaza termasuk Gaza City berpindah ke bahagian selatan Gaza demi keselamatan diri dan keluarga, maka ramailah daripada mereka yang melarikan diri ke bahagian selatan itu.

“Jadi, antara tempat berteduh yang mereka cari adalah sekolah termasuk sebahagiannya di sekolah yang dibiayai hasil sumbangan rakyat Malaysia.

“Perkara (perlindungan) ini mungkin akan berlarutan untuk tempoh yang lebih lama,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Muhd Farhan berkata, ketika ini mereka yang ditempat di sekolah itu turut dibekalkan dengan makanan, khemah, selimut dan tilam yang diuruskan oleh kakitangan Aman Palestin yang juga rakyat tempatan.

Pada masa sama, Muhd Farhan berkata, projek pembangunan lain hasil sumbangan rakyat Malaysia di Gaza yang diuruskan oleh Aman Palestin masih selamat dan tiada yang terjejas.

“Setakat hari ini apa yang dimaklumkan, masih selamat, tidak hancur sepenuhnya.

“Ini termasuk Masjid al-Qassam, Masjid as-Syafie, Masjid Syeikh Ajlin dan hospital Aman Palestin yang sedang dibina masih ada lagi,” katanya.

Pertempuran di Palestin antara Hamas yang merupakan pihak berkuasa di Gaza dan rejim Israel sejak 7 Oktober lepas, mengakibatkan ribuan nyawa terkorban dan cedera di kedua-dua belah pihak. – Bernama

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts