Semenanjung Gaza bakal ‘terbakar’ bila-bila masa: Amaran Hamas

 

SEMENANJUNG GAZA, 5 Syaaban 1438H, Selasa – Tatkala krisis politik dan infrastruktur terus melanda Semenanjung Gaza, pegawai peringkat tinggi Hamas, Ahmad Yousif memberi amaran bahawa keadaan di wilayah Palestin yang dikepung itu, boleh meledak pada bila-bila masa.

Sambil mengecam Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang gagal memainkan peranannya, beliau menuduh PA – kerajaan yang dipimpin kumpulan Fatah di Tebing Barat – menyediakan ‘rancangan besar’ bertujuan menghapuskan perjuangan rakyat Palestin.

Tanpa mengulas lanjut, beliau memberi amaran bahawa keadaan di Semenanjung Gaza boleh ‘terbakar’ pada bila-bila masa.

Beliau berkata, ketidakhadiran PA di Semenanjung Gaza menyebabkan Hamas terpaksa mewujudkan sebuah jawatankuasa pentadbiran untuk menyelaras dan menyelia projek-projek kementerian di Gaza.

Awal bulan ini, PA melaksanakan pemotongan gaji pekerjanya yang berpangkalan di Gaza, selain memotong bantuan kepada penduduk miskin melalui Kementerian Hal Ehwal Sosial.

Langkah itu mencetuskan bantahan, di mana pekerja menuduh PA menyasarkan kakitangannya yang berpangkalan di Gaza, sedangkan pemotongan gaji itu tidak dilaksanakan di Tebing Barat.

Sejak Hamas berkuasa di Gaza pada 2007, PA terus membayar gaji pekerjanya yang menolak pentadbiran Hamas di Gaza. Sejak itu, pekerja berkenaan menerima bayaran tetap daripada PA.

Bagaimanapun, kira-kira 50,000 orang lagi memilih untuk terus bekerja di bawah Hamas, tetapi kini berdepan pemotongan gaji daripada PA, malah ada kala tidak dibayar langsung.

Mengimbas kenyataan Fatah yang menuduh Hamas tidak memberi jawapan kepada cadangan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas berhubung perdamaian politik kedua-duanya selepas 10 tahun mengalami krisis, Yousif berkata, Fatah pula tidak menjawab pertanyaan mengenai nasib puluhan ribu pegawai perkhidmatan awam di Gaza.

Katanya, Hamas, bagaimanapun bersedia bekerjasama ke arah perdamaian dengan Fatah menerusi inisiatif yang dilakukan Qatar dan Mesir, sambil menambah penyelarasan keselamatan sempadan Palestin dengan Mesir di bawah kawalan mereka telah bertambah baik.

Pelbagai usaha dilakukan sebelum ini, bagi mendamaikan Hamas dan Fatah sejak kedua-duanya berdepan konflik berikutan kemenangan Hamas dalam pilihan raya umum Semenanjung Gaza pada 2006.

Bagaimanapun, kepemimpinan Palestin beberapa kali gagal menepati janji, kerana kedua-dua pergerakan itu saling menyalahkan antara satu sama lain.

Malah, baru-baru ini pegawai PA di Gaza dipersalahkan berikutan masalah bekalan elektrik, manakala PA pula menyatakan mereka akan berhenti daripada membayar tenaga elektrik yang disediakan Israel di Semenanjung Gaza.

Penyelaras Khas Proses Damai Timur Tengah, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Nickolay Mladenov, baru-baru ini melahirkan kebimbangan mendalam ke atas ketegangan yang semakin meningkat di Gaza.

PBB telah memberi amaran bahawa Semenanjung Gaza tidak boleh didiami pada 2020, berikutan kehancuran akibat peperangan dan sekatan yang dikenakan rejim Israel.

Sementara itu, Hamas mengumumkan piagam baru, menerima sebuah negara Palestin di sepanjang ‘Jalur Hijau’ sempadan yang ditetapkan pada 1967, tetapi menolak sebarang kesahihan ‘entiti Zionis’ – merujuk kepada negara Israel.

“Bagaimanapun, tanpa tolak ansur Hamas menolak entiti Zionis dan tidak mengetepikan sebarang hak rakyat Palestin yang berdaulat dan bebas sepenuhnya; dengan Jerusalem sebagai ibu negara di sepanjang garisan yang ditetapkan pada 4 Jun 1967, dengan membenarkan dan memulangkan rumah rakyat Palestin yang menjadi pelarian setelah mereka diusir,” kata piagam itu.

Piagam itu juga menekankan bahawa Jerusalem adalah ibu negara Palestin, kepentingan Masjidil Aqsa kepada umat Islam dan rakyat Palestin, selain mengatakan rancangan pendudukan rejim Zionis, langkah dan cubaan menjadikan Al-Aqsa hak Yahudi, adalah batal dan tidak sah.

Hamas juga kekal dengan pendirian mereka berhubung isu pelarian Palestin, yang hendaklah diberi hak untuk pulang ke kampung halaman mereka. – Agensi

Sumber : ismaweb

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts