Stadium bergema, bacaan al-Fatihah penyokong Maghribi untuk mangsa gempa bumi

Pertemuan Maghribi menentang Burkina Faso dalam perlawanan bola sepak persahabatan di Perancis Selasa lalu bertukar ‘hening’ seketika apabila bacaan surah al-Fatihah bergema di stadium.

Demikian situasi yang terjadi semasa pembukaan perlawanan persahabatan tersebut yang berlangsung di Stadium Lens’ Bollaert-Delelis di Perancis yang dihadiri ribuan penyokong kedua-dua negara berkenaan.

Lapor Agensi Anadolu, difahamkan bacaan surah al-Fatihah oleh penyokong Maghribi itu adalah ditujukan buat mangsa-mangsa gempa bumi di Maghribi serta banjir di Libya yang terjejas teruk sejak beberapa hari lalu.

Meskipun hanya beberapa saat, namun rakaman kejadian itu tersebar ke serata dunia maya dan meraih pelbagai reaksi yang cukup hangat daripada segenap masyarakat.

Rata-rata warga maya memuji tindakan penyokong Maghribi yang majoritinya Muslim atas jasa baik bacaan surah pembuka al-Quran itu, selain turut bersimpati dengan mangsa bencana berkenaan.

Dalam pada itu, perlawanan persahabatan tersebut menyaksikan Maghribi menang 1-0 ke atas Burkina Faso hasil jaringan oleh Azzedine Ounahi pada minit ke-36.

Keadaan terkini Maghribi

Sementara itu, meninjau keadaan terkini di Maghribi, mangsa yang terselamat daripada gempa bumi paling dahsyat dalam tempoh lebih enam dekad telah diberikan bekalan makanan dan juga tempat perlindungan oleh pasukan keselamatan.IKLAN

Memetik portal France24, jumlah korban pada Selasa melaporkan sekurang-kurangnya 2,901 terbunuh dan seramai 5,530 cedera dalam gempa bumi berukuran 6.8 magnitud yang melanda lewat Jumaat lepas.

Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dilapor masih berada di tempat-tempat runtuhan untuk mencari mangsa di kawasan tersebut.

Khemah kuning kerajaan telah diletakkan di tapak perkhemahan bagi mereka yang kehilangan tempat tinggal di kawasan paling teruk, iaitu di selatan Marrakesh, dengan banyak kampung di pergunungan High Atlas musnah sepenuhnya.

“Satu-satunya yang tinggal di kampung itu ialah nama mereka,” kata Fatima Benhamoud, 39, berhampiran pusat pengedaran untuk tempat perlindungan sementara.

Keluarganya tinggal di salah sebuah khemah yang diletakkan di sebuah taman di Amizmiz, yang menjadi pusat bantuan untuk kampung pergunungan, kerana rumah mereka tidak lagi selamat.

Ketibaan pusat perlindungan adalah petunjuk bahawa bantuan mula mengalir tetapi ia bertujuan sementara dan tidak akan mencukupi sama sekali terhadap musim sejuk dan hujan yang semakin hampir.

Di hab pelancongan Marrakesh, di mana pusat bersejarahnya yang tersenarai UNESCO mengalami keretakan dan kerosakan lain, ramai keluarga masih tidur di tempat terbuka, berselimut di dataran awam kerana takut akan gegaran susulan. – Sinar Plus Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts
Read More

Kaabah dicuci hari ini

  MAKKAH – Pemerintah Makkah, Putera Khaled Al-Faisal hari ini menyempurnakan upacara membersihkan Kaabah bagi pihak penjaga dua masjid…