Strategi Jakim perkasa pensijilan halal Malaysia

Kuala Lumpur: Pensijilan halal Malaysia harus memenuhi permintaan yang dinamik dan piawaian kawal selia sehingga peringkat antarabangsa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, perkara itu antara strategi yang digariskan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi memastikan evolusi pensijilan halal Malaysia sentiasa dinamik, relevan serta cekap dalam mendepani cabaran dan permintaan pada masa depan.

Beliau berkata, Jakim juga akan memastikan penyeragaman piawaian halal merentasi negara dan industri serta ketelusan dan kebolehkesanan menggunakan teknologi seperti rantaian blok untuk memantau keseluruhan rantaian bekalan dan mendidik pelanggan mengenai status halal sesuatu barangan.

“Integrasi teknologi juga perlu dilakukan bagi menyelaras proses pensijilan untuk mengemukakan permohonan, memantau pemeriksaan dan berkomunikasi dengan badan pensijilan halal.

“Selain itu, kami juga melakukan penyelidikan dan inovasi untuk membantu menangani cabaran dan memanfaatkan peluang yang muncul dalam pensijilan halal serta memenuhi keperluan industri yang pelbagai, termasuk kosmetik, farmaseutikal dan peranti perubatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan pada majlis perasmian Halal Global Summit (GHaS) 2023 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Dalam pada itu, Na’im berkata, Jakim sudah melaksanakan Inisiatif Segera Pensijilan Halal Malaysia 2.0 dalam penambahbaikan proses pengeluaran Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang menyaksikan pengeluaran bagi permohonan domestik diselesaikan dalam tempoh lebih cepat tanpa mengetepikan aspek integriti dan pematuhan syariah berdasarkan piawaian dan prosedur pensijilan ditetapkan.

“Inisiatif penambahbaikan ini telah berjaya mempercepat proses pengeluaran pensijilan halal Malaysia yang boleh diselesaikan dalam tempoh 30 hari bekerja dari tarikh permohonan lengkap diterima bagi permohonan domestik, berbanding seperti yang diamalkan sebelum ini iaitu 30 hari bekerja dari tarikh bayaran fi pensijilan.

“Permohonan pengilangan luar negara pula hanya mengambil masa kurang dari tiga bulan,” katanya.

Bertemakan Integriti, Kemampanan dan Ketahanan, GHaS 2023 yang dianjurkan seiring aspirasi kerajaan dalam meletakkan Malaysia sebagai peneraju halal global, bermula semalam dan akan berakhir pada 15 Sept ini. – Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts