Tanda Allah meninggalkan kita: Mufti Menk

 

“KAMU mendengar pelbagai peringatan agama setiap hari, tentang solat, menutup aurat, jauhi dosa-dosa dan banyak lagi, tetapi kamu tidak mengendahkan, sebaliknya masih mengulangi. Malah ada yang mempertikaikan pesanan tersebut,” kata Ismail Musa Menk.

Ketua Jabatan Fatwa Majlis Ulama Zimbabwe yang lebih dikenali sebagai Mufti Menk berkata, itulah antara tanda apabila Allah SWT tidak lagi mengendahkan seseorang dan mula mencabut sedikit demi sedikit keimanan dalam hati mereka.

“Al-Quran diturunkan sebagai sebaik-baik peringatan. Ditambah pula, dalam zaman teknologi moden masa kini, setiap orang mempunyai telefon bimbit masing-masing, begitu juga komputer, televisyen serta radio. Peringatan Islam juga disebarkan menerusi pelbagai medium ini.

“Di laman sosial Facebook contohnya, hampir setiap kali apabila kita membuka laman tersebut, pasti terlintas pesanan peringatan tentang Islam sama ada ceramah, teks, gambar mahupun video. Namun malangnya, sedikit pun kamu tidak mengambil iktibar daripada peringatan itu, malah berkata, ‘aku tidak menganggap perkara ini serius’.

“Ingatlah, sesungguhnya apabila situasi ini berlaku, semuanya dalam perancangan-Nya. Ketahuilah Allah sudah tidak lagi mengendahkan kamu dan Dia menyediakan seburuk-buruk tempat kembali kepada mereka iaitu di neraka kelak,” katanya dalam ceramah umum yang disampaikan.

Perkara itu menurutnya, sebagaimana telah ditunjukkan berlaku kepada kaum Nabi Nuh a.s. yang menolak dakwah Baginda dengan memberi pelbagai alasan dan tohmahan.

“Bayangkan seorang nabi Allah berdakwah selama 950 tahun, tetapi tahukah kita berapa ramai kaumnya yang mengikuti pesanannya?

“Diriwayatkan jumlah maksimum pernah disebutkan adalah seramai 80 orang, manakala minimum adalah 11. Ini bermakna hanya antara 11 sehingga 80 orang sahaja kaum Nabi Nuh menerima dakwah sepanjang tempoh itu.

“Sehingga Nabi Nuh mengadu kepada Allah sebagaimana dicatat dalam Surah Nuh ayat 5 dan 6 maksudnya: “Ya Tuhanku sesungguhnya aku telah menyeru kaumku malam dan siang. Maka seruanku itu hanyalah menambah mereka lari (dari kebenaran),” katanya.

Rayuan Nabi Nuh didengari oleh Allah sebelum memerintahkan Baginda mendirikan bahtera. Sebagaimana firman Allah maksudnya: “Dan diwahyukan kepada Nuh, bahawasanya sekali-kali tidak akan beriman dalam kalangan kaummu, kecuali orang yang telah beriman saja, kerana itu janganlah kamu bersedih hati tentang apa yang selalu mereka kerjakan. Dan buatlah bahtera itu dengan pengawasan dan petunjuk wahyu Kami.” (Hud: 36)

Mufti Menk berkata, ternyata sejak bahtera Nabi Nuh dibina, tiada seorang pun memeluk Islam, malah mencemuh Baginda antaranya dengan mengatakan Baginda sebagai tukang kayu dan gila kerana mendirikan kapal di lokasi jauh dari air.

“Setelah lebih 950 tahun berdakwah kepada semua penduduk, kaum Nabi Nuh masih berdegil untuk menerima Islam, sebaliknya terus melakukan dosa. Sesungguhnya peringatan telah pun tamat. Tiada lagi belas kasihan daripada Allah, maka diturunkan azab banjir besar kepada mereka.

“Firman Allah maksudnya: “Disebabkan dosa-dosa dan kesalahan mereka, mereka ditenggelamkan (dengan banjir dan taufan), kemudian (pada hari akhirat) dimasukkan ke dalam neraka; maka mereka tidak akan beroleh sebarang penolong yang lain dari Allah (yang dapat memberikan pertolongan).” (Nuh: 35),” katanya.

Sehubungan itu, Mufti Menk berkata, umat Islam perlu menghargai dan mengambil iktibar daripada setiap peringatan yang diperoleh setiap hari.

“Jangan biarkan Allah lakukan perkara sama kepada kita. Sedarlah apabila hati kita sudah tidak lagi mahu menerima peringatan Islam walaupun diperoleh hampir setiap hari. Itulah tandanya Allah mula meninggalkan kita.

“Setiap perbuatan akan dibalas oleh Allah. Lakukanlah kebaikan dan tinggalkan keburukan mengikut kaedah yang telah ditentukan kerana azab Allah tidak pernah terlepas walau sedikit pun.

“Dan orang kafir akan dihalau ke neraka jahanam dengan berkumpulan sehingga apabila mereka sampai ke neraka itu dibukakan pintu-pintunya dan berkatalah penjaganya kepada mereka: Bukankah telah datang kepada kamu rasul daripada kalangan kamu sendiri, yang membacakan kepada kamu ayat-ayat Tuhan kamu dan memperingatkan kamu akan pertemuan hari kamu ini?” Mereka menjawab: “Ya, telah datang! Tetapi telah ditetapkan hukuman azab kepada orang yang kafir.” (az-Zumar: 71). – Utusan

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts