Terus berjuang martabatkan tulisan jawi menerusi seni khat

ALOR SETAR – Bersandarkan kepercayaan bahawa tulisan Jawi merupakan sebahagian jati diri bangsa Melayu, Ahmad Mustafa, 78, terus berjuang memartabatkan tulisan warisan itu menerusi seni kaligrafi Islam, khat, dengan menubuhkan Pusat Al Khat Al Arabi di sini.

Bekas Pensyarah Geografi dan Kartografi Universiti Umm Al-Qura Mekah itu berkata tulisan Jawi perlu dipertahankan dan pusat kaligrafi yang beroperasi sejak 2001 itu menjadi platform untuk orang ramai, khususnya golongan muda, melihat sendiri keindahan seni khat dan tulisan Jawi.

Ahmad yang pernah menetap di Mekah seawal usia empat tahun berkata beliau mendapat inspirasi untuk mewujudkan pusat tersebut daripada pengalaman menjadi guru khat di sebuah institusi pendidikan di Mekah selama empat tahun.

“Semasa saya berada di Mekah saya memang minat dengan khat, ketika saya berusia 30 tahun saya mula mendalami pelbagai asas dan jenis seni khat yang berbeza antaranya ialah Khat Thuluth, Khat Nasakh, Khat Diwani, Khat Farisi dan Khat Riq’ah di Mesir dah Mekah,” katanya kepada Bernama.

Bekas Yang Dipertua Persatuan Seni Khat Kebangsaan cawangan Kedah itu berkata beliau memulakan usaha menghidupkan seni kaligrafi Jawi menerusi pusat itu kerana mendapati penguasaan tulisan serta bacaan Jawi masih lemah dalam kalangan generasi muda semasa pulang ke Malaysia pada 1999.

“Pada tahun 1999 saya kembali ke Malaysia dan bekerjasama dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) dalam satu program kesenian Islam dan nama saya telah dinobatkan sebagai naib juara peringkat kebangsaan seni khat.

“Saya juga sering kali dijemput untuk memberi kursus seni khat dan Jawi kepada guru-guru Pendidikan Islam dan Jawi serta pelajar-pelajar yang minat akan mendalami ilmu kesenian khat yang dijalankan di sekolah mereka,” katanya.

Ahmad berkata sesiapa sahaja boleh berkunjung ke pusat kaligrafi itu untuk melihat sendiri jenis seni khat dan model sejarah Mekah yang dipamerkan di situ secara percuma.

Beliau yang pernah menerima penghargaan sebagai Penggiat Jawi dan Khat Negeri Kedah pada 2014 telah menghasilkan 22 buku antaranya Buku Latihan Khat Nasakh dan buku bertajuk Keindahan Karya Seni Khat yang diedarkan kepada pelajar di sekolah seluruh negara.

“Buku Latihan Khat Nasakh ini memiliki judul satu, dua dan tiga yang mengikut tahap…saya ingin orang ramai di luar sana terutama generasi muda dapat mendalami kesenian khat dan Jawi bermula daripada asas,” katanya. – Bernama

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts