Tiga amalan suci jiwa

 

 

MENJAGA kesihatan diri sama ada jasmani mahupun rohani adalah perkara yang amat dituntut di dalam ajaran Islam.

Melalui kesihatan fizikal dan mental, seseorang dapat menjalankan peranan dan tanggungjawab terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Menurut Badan Kesihatan Sedunia (WHO), kesihatan ialah satu tahap atau keadaan di mana seseorang individu itu mempunyai kesejahteraan yang sempurna dari segi zikal, mental dan sosial dan bukan semata-mata bebas daripada penyakit atau tidak berdaya.

Manakala kesihatan mental pula merujuk keadaan kesejahteraan apabila seseorang individu menyedari kebolehan mereka sendiri, dapat menghadapi tekanan normal kehidupan, boleh bekerja secara produktif dan mampu menyumbang kepada masyarakat.

Justeru, Islam menegah sebarang perbuatan dan amalan yang boleh memudaratkan kesihatan fizikal dan mental misalnya melalui ketetapan syariat yang mengharamkan arak.

Firman Allah SWT dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 219 yang bermaksud “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: Pada kedua-duanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat kepada manusia tetapi dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya.”

Perintah ini selaras tuntutan memelihara maqasid syariah yang lima iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Islam juga menegah daripada melakukan sebarang perbuatan dosa dan maksiat kerana kesannya mengotori hati serta menjejaskan kesihatan rohani.

Sabda Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Ketahuilah bahawa pada jasad itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah bahawa ia adalah hati (jantung).” Riwayat al-Bukhari (52) dan Muslim (1599)

Kegagalan menguruskan penjagaan kesihatan fizikal dan mental dengan baik akan menjejaskan fungsi dan peranan individu terbabit dalam masyarakat.

Keadaan kesihatan fizikal yang tidak baik mungkin disebabkan faktor pemakanan, gaya hidup dan persekitaran manakala keadaan kesihatan mental yang tidak sihat pula mungkin disebabkan tekanan, kebimbangan, kemurungan dan lain-lain.

Kesihatan mental adalah aspek sangat penting bagi setiap fasa kehidupan manusia sebagaimana pentingnya kesihatan fizikal.

Ketika seseorang mengalami masalah kesihatan mental, dia memerlukan pertolongan orang lain untuk mengatasi masalah dihadapinya.

Tabiat manusia yang bersifat keluh kesah apabila dilanda kesusahan dalam kehidupan dinyatakan dalam al-Quran surah al-Ma’arij ayat 19-20 yang bermaksud: “Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut), Apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah.”

Terdapat pelbagai situasi yang menyumbang serta menambahkan lagi perasaan resah gelisah dalam kehidupan.

Mungkin ia berpunca daripada konflik dan tekanan dalam keluarga dan rumah tangga, tempat kerja serta musibah yang melanda termasuk situasi getir seperti wabak Covid-19 yang sedang kita hadapi.

Perasaan terbabit sekiranya gagal dikawal menyebabkan tekanan dan kemurungan sehingga sanggup melakukan tindakan yang membahayakan diri serta orang lain.

Bahkan dalam sesetengah situasi, tekanan yang tidak dapat dikawal akhirnya menyebabkan individu mengambil jalan singkat dengan membunuh diri atau ahli keluarga sendiri.

Baru-baru ini media melaporkan mengenai tindakan seorang bapa berusia 40 tahun yang ditahan polis selepas dipercayai membunuh anak kandungnya yang berusia lapan bulan.

Suspek sebelum ini yang dipercayai mengalami masalah gangguan mental membunuh anak kandungnya dan melumur badan mangsa dengan garam kasar sebelum disumbat dalam guni.

Melihat daripada cara pembunuhan terbabit, suspek disyaki mengalami halusinasi kerana sebelum pembunuhan itu berlaku, suspek memberitahu dia mendengar suara ‘malaikat’.

Statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan penyakit mental keadaannya pada trend peningkatan yang semakin membimbangkan dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Justeru, masyarakat disarankan supaya menjalani gaya hidup sihat dan seimbang mengambil kira keperluan fizikal, mental, sosial dan spiritual.

Dalam konteks kehidupan seorang Muslim, kita perlu kembali kepada pendekatan kerohanian dan spiritual bagi menguruskan tekanan hidup serta melakukan amalan yang dapat menyucikan jiwa.

Manusia menurut pandangan Imam al-Ghazali terdiri daripada komponen jasmani dan rohani. Justeru, aspek keagamaan perlu diterapkan dalam pengisian jiwa dan spiritual seseorang kerana ia berperanan dalam pembentukan perilaku, tindakan dan keputusan bagi seseorang individu.

Amalan pertama yang perlu dilaksanakan dalam penyucian jiwa ialah melalui taubat kepada Allah SWT. Taubat perlu dilaksanakan dengan menginsafi kekhilafan dan maksiat yang sudah dilakukan serta disusuli tindakan menggantikan perlakuan dosa dengan perbuatan yang diperintahkan Allah.

Amalan yang kedua pula ialah melalui sifat sabar dan doa. Dalam konteks agama, sabar bermaksud menerima ujian Tuhan dalam perjuangan memperoleh keredaan Allah.

Individu yang memiliki sifat sabar akan memiliki personaliti baik yang menggambarkan perasaan cintanya terhadap Tuhan. Dengan bersabar, seseorang dapat menahan diri daripada melakukan perbuatan yang tidak rasional dan bercanggah dengan syariat serta melakukan segala ikhtiar yang benar dalam kehidupannya.

Manakala doa adalah suatu bentuk pengabdian dan pergantungan individu terhadap Tuhan seperti maksud firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 186: “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul.”

Setiap doa individu seharusnya dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan yakin ia akan dikabulkan Allah.

Amalan seterusnya ialah melalui sifat berharap hanya kepada Allah iaitu melalui sifat optimis individu untuk mendapat rahmat Tuhan yang disediakan kepada hamba-hamba-Nya yang soleh.

Sifat berharap adalah berlawanan dengan sifat berputus asa. Individu yang mempunyai sifat berputus asa adalah individu yang dianggap putus hubungan dengan Allah.

Muslim yang baik tidak sepatutnya hilang rasa optimis dan kepercayaan terhadap rahmat Allah.

Firman Allah dalam al-Quran surah Yusuf ayat 87 yang bermaksud: “Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin) dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa daripada rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir.”

Selain daripada meningkatkan amalan kerohanian, kita juga disaran mendapatkan nasihat pakar perubatan dan kaunselor bertauliah dalam menghadapi tekanan hidup.

Mengambil ibrah peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW, ketika bersembunyi dalam Gua Thur buat sementara daripada buruan kaum Musyrikin Makkah, Rasulullah menyuntik kata-kata semangat kepada Abu Bakar dengan pesanan: La tahzan Innallaha Ma’ana bermaksud: “Janganlah bersedih kerana Allah bersama kita.”

Bersempena Hari Kesihatan Mental Sedunia yang diperingati pada 10 Oktober setiap tahun, amat penting bagi anggota masyarakat menghayati saranan dan petunjuk yang diberikan bagi mengekalkan kesejahteraan fizikal dan mental terutama dalam menghadapi tempoh getir yang melanda negara.- MyMetro

Hj. Mohd Ajib Ismail
Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

 

 

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts