Tehran – Iran telah melancarkan serangan ketenteraan berskala besar terhadap pangkalan tentera Amerika Syarikat di rantau Timur Tengah, termasuk di Qatar, Iraq, Bahrain dan Kuwait. Serangan ini merupakan permulaan kepada “Operasi Bashair al-Fath”, sebuah operasi ketenteraan bersama antara Tentera Darat Iran dan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC).
Pangkalan Al-Udeid di Qatar Jadi Sasaran Utama
Menurut laporan dari Axios, enam peluru berpandu telah menghentam Pangkalan Udara Al-Udeid di Qatar, sebuah pusat strategik penting bagi kehadiran tentera Amerika di rantau Teluk. Sumber tempatan memaklumkan bahawa serangan itu menyebabkan penggera kecemasan dibunyikan dan pangkalan memasuki mod ‘lockdown’ serta-merta.
Letupan Terdengar di Iraq, Bahrain dan Kuwait
Sementara itu, letupan turut dilaporkan di beberapa pangkalan tentera AS di Iraq, manakala sirens kecemasan terus kedengaran di kemudahan ketenteraan AS di Bahrain, Kuwait, dan Qatar. Sumber dari Quds News Network menyatakan bahawa serangan ini adalah “permulaan kepada tindak balas kuat Iran terhadap pencerobohan Amerika.”
CNBC melaporkan bahawa Presiden Donald Trump kini berada di ‘situation room’ (bilik krisis), ditemani oleh Setiausaha Pertahanan dan pegawai-pegawai tertinggi tentera untuk menilai situasi yang semakin tegang ini.
Tentera Amerika Berlindung Dalam Bunker
Saksi di lokasi memaklumkan bahawa askar-askar Amerika telah berlindung dalam bunker-bunker di pangkalan mereka di Iraq, Bahrain dan Kuwait. Setakat ini, tiada laporan rasmi mengenai jumlah korban atau kecederaan yang dikeluarkan oleh pihak AS.
Difahamkan bahawa tindakan Iran ini adalah respon langsung terhadap serangan udara Amerika ke atas beberapa tapak nuklear di Iran baru-baru ini. Serangan tersebut dilaporkan telah dilakukan atas permintaan Israel, dengan tujuan melemahkan atau menjatuhkan kerajaan Iran.
Krisis Memuncak: Dunia Berdepan Ancaman Konflik Skala Penuh
Serangan ini menandakan titik perubahan besar dalam ketegangan geopolitik serantau, dengan kemungkinan berlakunya perang terbuka antara Iran dan Amerika Syarikat kini menjadi lebih nyata. Negara-negara jiran dan komuniti antarabangsa kini memantau situasi ini dengan penuh kebimbangan.
Sumber: Quds News Network