home Kalam Tokoh, Semasa Tingkatkan keyakinan, besarkan makna Al-Quran

Tingkatkan keyakinan, besarkan makna Al-Quran

 

Keyakinan adalah satu anugerah yang paling mahal yang diberikan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya.

Padanya terkandung maksud tauhid, makna iman, falsafah tawakkal, erti kewujudan, intipati kemanusiaan, ketinggian ubudiyah, husnuzzon kepada Tuhan, dan kesimpulan himpunan semua ilmu dan hikmah.

Dengan keyakinan, semua yang fana’ (tidak kekal) di atas muka bumi ini, akan dilihat sama sahaja (tidak kekal) tanpa pengkategorian spesifik, kerana semuanya dalam kategori fana’.

Dengan keyakinan, semua yang berlaku dilihat dalam rangka kudrat Allah SWT, kebenaran-Nya, rahmat-Nya, keadilan-Nya, ihsan-Nya, dan hikmah-Nya.

Dengan keyakinan, semua manfaat dan mudharat yang terhasil daripada makhluk akan hilang, kerana yang zahir padanya adalah Yang Memberi Manfaat (An-Naafi’) dan Yang Memberi Mudharat (Ad-Dhaarr) semata-mata.

Dengan keyakinan, manusia melihat kewujudan dengan kacamata wihdah, iaitu kesemuanya ibarat satu unit bersepadu yang terhasil daripada Satu Kuasa Yang Maha Esa, yang setiap satu subsetnya daripada set unit itu, menzahirkan sifat-sifat-Nya secara terperinci, penuh kebijaksanaan dan penuh keadilan.

Lukisan kewujudan sudah lengkap dari terciptanya ‘qalam’ (pena yang menulis di Lauh Mahfuz), hingga keringnya dakwat pena. Kita hanyalah jika boleh diibaratkan, ibarat sedang menelusuri perjalanan itu, satu per satu mukasurat hingga ke helaian terakhir (menghadap Tuhan).

Penghujungnya sudah ditentukan, ibarat rakaman video yang dimainkan, penghujungnya sudah diketahui oleh pengarahnya. Ibaratnya kitalah pelakonnya, Tuhanlah pengarahnya (dan bagi Allah segala perumpamaan yang tertinggi), masa dan latarnya itu adalah tempat kita memainkan peranan sebaik-baiknya.

Kita diberi pilihan menjadi watak yang mana satu, walaupun hakikatnya watak itu sudah pun ditetapkan.

Bahkan yang lebih menarik, skrip watak kita sudah pun diberikan contohnya, dalam setiap kisah yang berada dalam Al-Quran.

Kita boleh memilih mahu menjadi barisan penjahat seperti Namrud, Firaun, Haman dan Qarun, atau menjadi barisan pejuang seperti Adam AS, Nuh AS, Ibrahim AS, Muhammad SAW dan para Anbiya’ AS serta para pengikutnya.

Putaran kewujudan yang disebut dalam Al-Quran hakikatnya adalah suatu bentuk ‘alam yang simetri’ dengan apa yang berlaku pada kita secara peribadi.

Hanyasanya kita yang menganggapnya sebagai suatu cerita atau nota umum yang menggunakan bahasa yang umum untuk orang umum.

Kita membacanya sebagai kisah-kisah Nabi AS terdahulu, kisah-kisah kaum terdahulu, dan seumpamanya. Kita mungkin lupa bahawa mereka yang terdahulu itu juga pernah mendapat wahyu dan diberitakan mengenai perihal yang sama agar mereka mendapat pengajaran.

Kini kisah mereka menjadi ‘kisah terdahulu’ bagi kita, sedangkan sekiranya mereka mengetahui bahawa kisah yang disampaikan oleh para Anbiya’ mereka itu adalah ‘kisah mereka’, sudah pasti mereka akan memuhasabah perjalanan hidup mereka agar bertepatan dengan ajaran Nabi-nabi mereka.

Malangnya mereka menjawab : “Ini semua hanyalah dongengan orang-orang terdahulu !”

Alangkah beruntungnya jika mereka menjawab :

“Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau mengazab kami sekiranya kami terlupa atau tersilap,

Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan ke atas kami suatu kesukaran yang telah Engkau pikulkan ke atas orang sebelum kami,

Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan ke atas kami apa yang di luar kemampuan kami.

Maafkan kami, ampunkan dosa kami, rahmatilah kami, Engkaulah penjaga kami, dan tolonglah kami mengalahkan golongan kafir”

Kita perlu menaikkan tahap naratif kita menanggapi Al-Quran. Selama ini mungkin kita anggap ia adalah kitab Allah SWT yang memberi barakah, rahmat, pahala, dan petunjuk dalam kehidupan.

Namun jarang sekali kita menganggap, ia adalah kitab mengenai diri kita, kehidupan kita, dan kewujudan kita.

“Sesungguhnya ia adalah peringatan, maka barangsiapa yang menghendakinya, hendaklah ia mencari jalan menuju Tuhannya” – Surah Al-InsanMoga Allah menjadikan kita Al-Quran yang berjalan di atas muka bumi ini, kerana hakikatnya, itulah dia puncak kepada sebuah keyakinan.

Wallahua’lam bissawaab.

Ustaz Syamil Esa

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *