UIAM anugerah PhD Peradaban Islam kepada Rashed Gannouchi

 

KUALA LUMPUR – Presiden Pergerakan Al-Nahda, Sheikh Rashed Gannouchi yang merupakan tokoh pemikir Islam dari Tunisia dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Bidang Peradaban Islam oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) semalam.

Sheikh Rashed, 76, merupakan tokoh dalam bidang peradaban Islam dan seorang ahli politik progresif yang mengutamakan prinsip Islam dan demokrasi dalam kepemimpin­an beliau.

Beliau banyak menyumbang idea ke arah kemajuan Tunisia dan pada Oktober 2011, Sheikh Rashed memimpin Pergerakan Al-Nahda dalam pilihan raya umum di negara itu sehingga berjaya membentuk kerajaan campuran di Tunisia.

Menurut Sheikh Rashed, Ijazah Kehormat yang diberikan oleh UIAM itu merupakan penghormatan untuk diri beliau dan juga rakyat Tunisia.

“Anugerah ini bukan untuk diri saya seorang sahaja tetapi ia juga penghormatan dari Malaysia kepada semua warga Tunisia.

“Anugerah ini juga membuka ruang untuk UIAM dan Tunisia untuk mengadakan kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi khususnya berkaitan dengan agama Islam,” katanya selepas menerima anugerah tersebut di Kampus UIAM Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Bidang Peradaban Islam itu disampaikan oleh Presi­den UIAM, Tan Sri Dr. Rais Yatim.

Yang turut hadir Rektor UIAM, Prof. Datuk Seri Dr. Zaleha Kamarudin dan Ketua Pegawai Eksekutif Gerakan Kesederhanaan Global (GMM), Datuk Dr. Nasharudin Mat Isa.

Dalam pada itu, Rais berkata, kunjungan Sheikh Rashed ke negara ini dapat mengeratkan kerjasama antara Malaysia dan Tunisia dalam pelbagai bidang khususnya pendidikan.

“UIAM juga bersedia untuk menjalankan kajian mengenai pemikiran Sheikh Rashed untuk kemajuan ummah,” katanya.

Rais berkata, anugerah tersebut juga diharapkan dapat merapatkan hubungan persaudaraan antara umat Islam di Nusantara dan Asia Barat.

“Sheikh Rashed adalah tokoh Islam yang banyak menekankan mengenai persaudaraan ummah dan pemikiran ini yang perlu diamalkan oleh umat Islam untuk bangun semula menjadi ummah terbaik,” katanya. – Utusan

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts