Umat Islam diseru selamatkan pusat tahfiz

Seremban: Tidak hanya bergantung kepada bantuan kerajaan semata-mata, sebaliknya seluruh umat Islam di negara ini diseru untuk menyelamatkan pusat tahfiz yang kini umpama hidup segan mati tak mahu.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sofa Negeri Sembilan, Abdullah Abdol Razak berkata, amat merugikan jika sesebuah pusat tahfiz ditutup kerana umat Islam di negara ini akan kehilangan institusi yang bakal memberikan manfaat kepada pembangunan Islam itu sendiri.

“Kerajaan sudah memberikan bantuan, namun masih terdapat sebahagian besar pusat tahfiz yang masih nyawa-nyawa ikan. Menjadi tanggungjawab umat Islam di negara ini untuk menyalurkan bantuan.

“Bayangkan sudah berapa ramai pendakwah dan alim ulama yang dilahirkan daripada pusat tahfiz ini yang akhirnya memberikan manfaat kepada umat Islam sendiri dalam usaha menyebarkan dakwah,” katanya ketika ditemui.

Beliau berkata, ada sesetengah daripada pusat tahfiz ini sudah dibangunkan sejak puluhan tahun dan telah menelan belanja ribuan ringgit untuk terus memberikan ilmu agama kepada anak bangsa.

“Sayang jika ditutup, banyak peluh keringat yang sudah dicurahkan untuk memastikan ia terus dapat beroperasi. Namun, dalam sekelip mata ia terpaksa ditutup akibat pandemik Covid-19 yang melanda ketika ini.

“Saya menyeru seluruh umat Islam di negara ini supaya sama-sama menderma dan membantu untuk menyelamatkan pusat tahfiz ini,” katanya yang menguruskan 13 institusi pengajian berasaskan pengajian al-Quran milik Yayasan Sofa.

Harian Metro pada 30 Ogos lalu melaporkan Persatuan Madrasah Tahfiz al-Quran Malaysia (Permata Al-Quran) mendapati sebanyak 64.7 peratus maahad tahfiz di negara ini perlu menutup operasi atas arahan kerajaan.

Presidennya, Manolito Mohd Dahlan dilaporkan berkata, ia berdasarkan kajian pihaknya terhadap 512 maahad tahfiz di negara ini.

Katanya, kajian mendapati 11.7 peratus maahad tahfiz perlu memberhentikan semua kakitangan, mampu bayar separuh gaji (52 peratus), boleh bertahan tidak lebih tiga bulan (34.4 peratus), tidak menerima bantuan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) (38.1 peratus) dan menerima yuran separuh atau kurang kerana ibu bapa tidak berkemampuan (85.4 peratus). -My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts