Usah tunduk desakan aktivis liberal, isu LGBT

 

MASYARAKAT negara ini berdepan dengan perbahasan mengenai gaya hidup lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT).

Pada Februari 2018, International Women’s Alliance for Family Institution and Quality Education (WAFIQ) melaporkan bahawa pada 2017, seramai 14 daripada 15 penuntut di universiti awam negara kita yang dijangkiti kes HIV/Aids ialah pengamal homoseksual dan biseksual.

Sesungguhnya, pendedahan itu yang memetik sumber dari Unit HIV/AIDS, Kawalan Penyakit Berjangkit Pejabat Kesihatan Daerah Petaling, adalah berita mengejutkan bagi pengamal bidang perubatan dan kesihatan.

Normalisasi atau menjadikan LGBT sesuatu yang normal, mampu memberi konflik baharu di negara kita, khususnya dari aspek perundangan.

Seksyen 377A, 377B dan 377C Kanun Keseksaan memperuntukkan bahawa perlakuan amalan seks luar tabii, sama ada secara sukarela mahupun paksa ialah satu kesalahan jenayah dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan.

Undang-undang negeri dan Wilayah Persekutuan turut memperuntukkan kesalahan jenayah syariah liwat seperti Seksyen 25 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dan Seksyen 13 Ordinan Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Sarawak) 1991.

 

Konflik baharu

Amalan gaya hidup LGBT sememangnya diharamkan Islam, apatah lagi diamalkan secara terbuka oleh masyarakat Timur.

Tuntutan Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan Malaysia (COMANGO) yang mendukung fahaman liberalisme dan sekularisme berkumandang sejak 2013.

Mereka mengemukakan tuntutan melalui Semakan Berkala Sejagat Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diadakan pada Oktober 2013 agar Kerajaan Malaysia mengiktiraf orientasi seksual dan identiti jantina (SOGI).

Namun, isu LGBT bukan hanya terhad kepada kehidupan atau peribadi seseorang individu atau pengamal LGBT.

Di Amerika Syarikat (AS), perkahwinan sejenis diiktiraf Mahkamah Agung dalam kes Obergefell v Hodges pada 2015 yang disambut baik komuniti LGBT seluruh dunia.

Ini diikuti Mahkamah Perlembagaan Taiwan yang mengesahkan perkahwinan sejenis pada Mei tahun lalu. Terkini, Australia mengubah perkataan ‘the union of a man and woman‘ kepada ‘the union of two people’ pada hujung 2017.

Pengiktirafan hak LGBT menimbulkan konflik baharu yang bukan sahaja menambahkan kecelaruan nilai dan pegangan, bahkan menimbulkan pertembungan hak dan kebebasan.

Contohnya, Mahkamah Rayuan di Oregon, AS pada 28 Disember 2017 menafikan hak beragama dua orang Kristian yang mengusahakan kedai kek, iaitu Aaron dan Melissa Klein apabila mereka didapati bersalah mendiskriminasi serta mencabuli hak pasangan lesbian kerana enggan menerima tempahan kek, lalu didenda AS$135,000.

Pada 2015, seorang kerani pejabat kerajaan di Kentucky, AS dikenakan hukuman denda dan penjara lima hari kerana enggan mengeluarkan sijil perkahwinan bagi pasangan homoseksual berikutan kepercayaan agamanya, Kristian.

 

Runtuh institusi keluarga

Bukan sahaja mengakibatkan pertembungan hak, ia juga boleh menjurus ke arah keruntuhan institusi keluarga.

Contohnya, Mahkamah Juvana Daerah Hamilton, AS menyerahkan hak penjagaan seorang remaja berusia kurang 18 tahun kepada datuk dan nenek, lantas memisahkan remaja berkenaan daripada ibu bapa kandungnya.

Ini disebabkan pendirian ibu bapa remaja itu yang tidak bersetuju dengan permintaan anaknya bagi mengubah jantina melalui terapi hormon.

Kes berkenaan membawa unsur kemusnahan terhadap institusi dan autonomi sesebuah unit keluarga yang terdiri daripada ibu bapa dan anak.

Walaupun usia anak masih di bawah 18 tahun, hak sebagai ibu bapa kandung yang bertanggungjawab mencurahkan kasih sayang dan memberikan didikan moral mahupun agama selama belasan tahun kepada anak mereka, dinafikan.

Ia semata-mata kerana desakan fahaman dan gaya hidup LGBT, khususnya ketika anak sedang membesar, mengenali diri dan mencari erti hidup serta membina jati diri.

Sikap agresif pendukung hak LGBT membangkitkan prasangka terhadap anak dan remaja yang kelihatan cenderung kepada perwatakan jantina yang berlawanan.

Akhirnya, mereka begitu mudah mendakwa bahawa anak itu tergolong dalam kelompok trans- gender yang ingin menukar jantina.

Anak yang belum matang dan cukup membesar menjadi mangsa ideologi yang diselindungi dengan konsep kepentingan anak-anak atau in the best interest of child.

Akibatnya, ibu bapa tidak lagi berperanan mencorak identiti dan kehidupan anak mereka sendiri. Situasi sama turut bakal dihadapi ibu bapa yang mahu mengambil anak angkat.

Dengan peningkatan penerimaan golongan LGBT, ibu bapa yang berpegang teguh kepada ajaran agama mereka boleh menjadi asbab kepada penafian hak untuk mengambil anak angkat, walaupun melalui prosedur sah di sisi undang-undang.

 

Lerai salah faham

Perkembangan hak LGBT di negara luar wajar dijadikan sempadan sebelum kerajaan mengadaptasi cadangan atau tunduk kepada desakan kumpulan LGBT yang menjadi arus perdana di seantero dunia.

Hal ini bukan sahaja memberi kesan terhadap individu LGBT, bahkan memberi kesan dari sudut kesihatan, undang-undang dan institusi keluarga sekiranya tidak dibendung dari sekarang.

Aktivis LGBT sering mengutarakan tuduhan serta gambaran meleset mengenai pandangan dan layanan masyarakat terhadap golongan minoriti itu.

Hakikatnya, kerajaan termasuk jabatan agama Islam negeri sentiasa memberi peluang demi pembangunan sosioekonomi dan pewujudan persekitaran yang kondusif bagi golongan LGBT.

 

Danial Ariff Shaari
Aktivis Ikatan Peguam Muslim Malaysia (IPeguam)

Sumber: Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts