Zulhijjah bulan pengorbanan menegakkan akidah

 

ASSALAMUALAIKUM wbt,

Bersempena kedatangan bulan Zulhijjah ini mari kita sama-sama menghayati kelebihan dan pengajaran yang terkandung di dalamnya seperti yang diajarkan oleh Islam.

1) 10 hari pertama bulan Zulhijjah penuh dengan keberkatan dan dituntut untuk kita perbanyakkan amalan sunat.

Dari Ibnu Umar RA, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:

“Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah SWT dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah dari hari-hari yang sepuluh ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid.”

Begitu juga hadis dari Ibnu Abbas r.a yang bermaksud:

“Tidak ada hari yang amal soleh padanya lebih dikasihi Allah selain dari hari-hari yang sepuluh ini.” Para sahabat bertanya: Walaupun berjihad di jalan Allah? Rasulullah bersabda: “Walaupun berjihad di jalan Allah, kecuali lelaki yang keluar (berjihad) membawa diri serta hartanya dan tidak kembali lagi selepas itu (syahid).” [HR: Ahmad, At-Tirmizi].

Menurut para ulamak, hari-hari yang sepuluh itu merujuk kepada 10 hari pertama di bulan Zulhijjah.

2) Anugerah istimewa menandakan tanda kasih sayang Allah kepada hambaNya.

10 hari pertama Zulhijjah merupakan peluang yang Allah berikan kepada hambanya untuk perbanyakkan ibadah terutamanya beristighfar dan bertaubat, membaca quran, bertahlil, bertahmid dan bertakbir sehingga ke hari-hari tasyrik 14 Zulhijjah.

“Tiada suatu haripun dalam setahun yang amalan kebaikan padanya menyamai kelebihan sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah. Oleh itu, hendaklah kamu memperbanyakkan zikir, tahlil, takbir dan tahmid.” (Riwayat Imam Ahmad)

Malah sangat digalakkan untuk perbanyakkan berpuasa sunat terutama pada hari Arafah 9 Zulhijjah. “Puasa hari Arafah, daku dengan penuh pengharapan. Semoga Allah menghapuskan dosa setahun sebelumnya dan setahun sesudahnya.” (Riwayat Muslim)

Begitu juga disyariatkan untuk melaksanakan ibadah korban pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

 

 

3) Manifestasi satu pengorbanan menegakkan akidah dari kisah Nabi Ibrahim a.s.

Bulan Zulhijjah mengingatkan kita tentang kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s seorang Rasul Ulul Azmi dalam menegakkan akidah tauhid. Lalu baginda diuji dengan beberapa ujian berat antaranya ayahnya sendiri yang tetap kufur dan menyembah berhala seperti yang terkandung dalam surah Maryam ayat 41-48.

Begitu juga ketika baginda berdakwah kepada Raja yang zalim (Raja Namrud) dan kaumnya yang kufur sehingga baginda a.s dibakar namun diselamatkan oleh Allah swt. Kemudian Nabi Ibrahim meneruskan dakwahnya ke beberapa negeri seperti Palestin dan Mesir dan akhirnya ke Hijaz.

Walaupun pada usia yang telah lanjut baginda masih belum dikurniakan zuriat. Lalu apabila diberikan zuriat Nabi Ismail a.s diperintahkan pula oleh Allah swt untuk disembelih. Sekali lagi baginda diuji ketaan dan keyakinannya kepada perintah Allah swt.

Maka disinilah berlakunya kisah pengorbanan dan ketaatan untuk menyembelih anaknya yang sangat dikasihi Nabi Ismail a.s. Tetapi Allah Maha Mengasihi, dan menggantikan sembelihan itu dengan seekor kibas. Daripada peristiwa ini disyariatkan ibadah korban.

Lalu Allah swt makbulkan doa Nabi Ibrahim a.s untuk memberkati bumi Hijjaz (Mekah) dan dari keturunan baginda Nabi Ismail a.s dilahirkan penghulu segala nabi dan Rasul Muhammad saw.

4) Tanggungjawab meneruskan perjuangan Nabi dan Rasul menegakkan akidah Tauhid menjadi keutamaan sekarang.

Paksi kepada keimanan ialah dengan memperjuangkan risalah tauhid dan mempertahankannya dari sebarang usaha untuk merosakkan.

Ini termasukklah dari sekecil-kecil usaha untuk merubah status perlembagaan yang menjadikan Islam, Melayu dan Raja sebagai teras perpaduan negara. Termasuk juga usaha gerakan-gerakan kebatilan seperti syiah, kristianisasi dan liberalism yang melonggarkan ikatan akidah umat Islam.

Semoga sama-sama kita dapat pertahankan akidah umat.

Mohd Noor Azib Asmangi
Ketua Biro Islamiyat
Ikatan Muslimin Malaysia

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts