200 penunggang motosikal jelajah 11 masjid semarakkan kemerdekaan

GEORGE TOWN: Seramai 200 penunggang motosikal menyertai program Jaulah Merdeka Pengimarahan Takmir 3.0 Ride to Khaira Ummah 2022 yang dijalankan bagi memeriahkan sambutan bulan kemerdekaan di Pulau Pinang.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Khairul Azman Azizan berkata, program tersebut merupakan kerjasama antara JHEAIPP, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islamic Bikers.

Jelas beliau, kesemua peserta program itu akan singgah di 11 buah masjid di lima daerah di Pulau Pinang bermula di Masjid Albukhary, Sungai Pinang dekat sini dan berakhir di Masjid Seri Serdang, Kepala Batas.

“Selain menyemarakkan bulan kemerdekaan dan kempen kibar Jalur Gemilang, kumpulan penunggang motosikal ini turut mempromosi program pengimarahan takmir di 11 buah masjid tersebut,” katanya ketika ditemui di Masjid AlBukhary.

Pelepasan konvoi motosikal berkenaan dilaksanakan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Antara masjid yang terlibat dalam program hari ini ialah Masjid Batu Feringghi; Masjid Bandar Baru Air Itam; Masjid Titi Teras (Balik Pulau); Masjid Maqbul Teluk Kumbar; Masjid Sungai Acheh Nibong Tebal; Masjid Lama Sungai Bakap; Masjid Jamek Seberang Jaya; Masjid Jamek Ara Kuda dan Masjid Ibadur Rahman; Seri Serdang Kepala Batas.

Menurut Khairul Azman, antara faktor kumpulan motosikal dijemput untuk menyertai acara itu adalah bagi menarik minat lebih ramai generasi muda mendekati surau dan masjid di negeri ini.

”Kehadiran jemaah di masjid dan surau pasca pandemik Covid-19 boleh dikatakan meningkat 100 peratus, namun kita cuba lagi promosi untuk tarik minat golongan muda untuk mendekati masjid,” katanya.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, pihaknya berharap program itu dan serta program lain sepanjang bulan kemerdekaan yang dianjurkan di Pulau Pinang dapat mengingatkan rakyat tentang perjuangan generasi terdahulu untuk mencapai kemerdekaan.

”Malah, apa yang lebih penting adalah rakyat berbilang kaum dapat memupuk semangat kemerdekaan yang merangkumi keharmonian, toleransi serta hidup aman dan damai,” katanya. –UTUSAN ONLINE

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts