Adakah aplikasi husband tracker dapat menyelesaikan kemelut rumahtangga?

Perkahwinan di dalam Islam terbina dengan aqad dan qabul yang menghalalkan lelaki dan perempuan menjalani kehidupan bersama sebagai pasangan suami isteri. Ikatan suci yang dibina ini bertujuan untuk memenuhi fitrah sebagai seorang manusia yang ingin disayangi dan menyayangi seterusnya melengkapkan keluarga dengan zuriat yang soleh dan solehah.

Kasih sayang, mawaddah dan rahmah dalam rumahtangga Islam ini tidak lain tidak bukan adalah bertujuan mengharapkan redha dan cinta Allah SWT.

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”(Surah Rum ayat 21)

Aplikasi husband tracker yang hangat dipromosi secara meluas pada hari ini sangat membimbangkan gara-gara satu tayangan filem yang menggunakan aplikasi ini. Walhal mungkin di sana ada tujuan penggunaan aplikasi ini untuk dijadikan bukti atas perbuatan yang dilakukan oleh badan berautoriti.

Namun begitu, matlamat tidak menghalalkan cara jika digunakan untuk kepentingan peribadi kerana perbuatan itu melangkaui batasan dan landasan yang Islam gariskan. Bahkan akan membawa kesan buruk di dalam kehidupan rumahtangga yang dibina.

Husband tracker merupakan aplikasi yang bertujuan untuk memantau setiap gerak geri dan tindakan yang dilakukan oleh pasangan. Contohnya dapat mengesan lokasi suami, mengakses mesej-mesej atau panggilan telefon, memantau media sosial dan sebagainya. Jika ia dilakukan tanpa keizinan suami dan dilakukan dalam keadaan senyap-senyap ia akan membawa kepada salah satu bentuk pencerobohan peribadi yang tidak dibenarkan di dalam Islam.

Mahligai perkahwinan yang dibina pastinya ada pasang surutnya. Ada kala manis yang dirasai, ada kala pahit yang perlu untuk ditelan. Begitulah lumrah sebuah perkahwinan ada ketika berlaku perselisihan, konflik, timbul rasa curiga antara pasangan suami isteri.

Jadi, Islam telah menonjolkan contoh dan iktibar untuk kita semua dengan apa yang digambarkan di dalam perkahwinan Rasulullah SAW bersama isteri-isterinya. Antara contoh bagaimana Rasulullah SAW menasihati isterinya, memelihara hubungan suami isteri dan seni-seni kehidupan berumahtangga.

Setiap pasangan pastinya mengharapkan perkahwinan yang dibina berakhir dengan kebahagiaan dan sampai ke syurga. Tetapi, ada ketika perkahwinan tidak dapat diselamatkan kerana boleh jadi tiada persefahaman, berlaku persengketaan yang berterusan dan sebagainya.

Justeru, Islam telah memberi garis panduan dan cara penyelesaian yang terbaik bagi mereka yang diuji dalam rumahtangga. Antaranya adalah melalui proses kaunseling dan nasihat bagi mendamaikan kedua-duanya dalam tempoh masa tertentu.

Tetapi, jika tidak diselamatkan juga perkahwinan itu, jalan terakhir adalah melalui proses penceraian dengan cara yang baik. Dalam surat al Baqarah ayat 227 disebutkan, “Dan jika mereka berketetapan hati hendak menceraikan, maka sungguh, Allah Maha Mendengar, Maha Mengetahui.”

Melihat kepada situasi penceraian yang berlaku dan saban tahun berlaku peningkatan, ia menjadi kebimbangan kepada semua pihak. Apakah punca utama berlaku konflik yang mengakibatkan penceraian berlaku? Pastinya banyak sebab tetapi antara yang menjadi isu dan konflik adalah faktor orang ketiga yang tidak mengikut lunas-lunas Islam.

Walhal di dalam Islam, Allah mengharuskan untuk seseorang untuk berpoligami tetapi melihat kepada syarat-syarat yang perlu dipertimbangkan oleh si suami. Itu juga jalan yang Allah bentangkan kepada suami yang mempunyai kehendak nafsu lebih untuk dilorongkan kepada jalan yang halal dan diredhai Allah.

Namun begitu, yang menyedihkan adalah bagaimana seorang suami yang dilihat dari sudut kemampuan dan kebertanggungjawab melorongkan kehendaknya.

Secara lumrahnya, jika disampaikan kepada isteri hasrat berkahwin lagi, pasti luluh rasa dan jiwa seorang isteri yang setia kepada suaminya. Lagi menyinggungkan apabila isteri juga turut berkorban menampung saraan keluarga kerana untuk membantu suami, tetapi akhirnya suami memandang kepada wanita lain.

Lalu, disebabkan kerana ini konflik rumahtangga mula berlaku. Ini mungkin antara contoh konflik yang berlaku, bahkan hakikatnya banyak lagi permasalahan yang berlaku yang tidak menemukan jalan penyelesaian.

Akibat konflik yang melanda rumahtangga, perasaan curiga dan sangsi dengan perbuatan yang dilakukan si suami atau isteri menghantui kehidupan mereka. Emosi isteri menjadi tidak stabil dan rasa buntu dengan apa yang berlaku.

Sebelum ini suami menjadi tempat mengadu, meluah, berkongsi rasa dan sebagainya tetapi akhirnya hancur apabila kejujuran bukan menjadi simbol dan syiar dalam rumatangga yang dibina. Apatah lagi si suami tidak cuba untuk berkomunikasi dan menerangkan apa yang telah berlaku, dan yang parah lagi apabila sanggup menipu pasangan sendiri.

Mereka yang beranggapan untuk mencari bukti bahawa si suami mempunyai teman wanita lain akhirnya melihat aplikasi husband tracker mampu membantu mereka untuk menjejaki suami mereka.

Persoalan yang timbul adalah adakah dengan cara begini mampu menyelesaikan masalah rumahtangga mereka atau hanya memuaskan diri mereka atas bukti yang ada?. Walhal hakikatnya, emosi mereka akan menjadi semakin tidak stabil dan celaru kerana menjadi beban dengan satu kewajipan yang lain untuk mengawasi tindak tanduk dan perbuatan pasangan mereka tidak kira siang dan malam.

Kesannya akan memberi mudarat kepada pasangan dari sudut mental, emosi dan fizikalnya. Bahkan , si isteri tidak dapat melaksanakan tugasan dalam rumahtangga dengan sebaiknya kesan emosi yang telah dihadapi.

Justeru, aplikasi ‘husband tracker’ atau apa nama sekali pun yang bertujuan mengawasi dan menjejaki perbuatan suami tidak mampu memberi penyelesaian yang baik dalam rumahtangga bahkan lagi mengeruhkan konflik yang ada. Ia juga tidak dibenarkan di dalam Islam kerana melanggari batasan adab.

Tambahan pula, ia akan memberi kesan yang buruk pada emosi pasangan apabila mengetahui keaiban dan kesalahan pasangan. Disamping itu, setiap manusia ada kesilapan dan keaiban mereka sendiri. Hatta pasangan yang sentiasa hidup bersama pun, tidak semua tahu apa yang ada di lubuk hati mereka. Itulah manusia yang ada keterbatasan dalam nak memahami, mengawasi dan memerhati tindak tanduk dan perbuatan yang dilakukan.

Hanya kepada Allah SWT jualah yang meliputi semua pengetahuan baik yang zahir dan batin. Di dalam permasalahan ini, hukumnya boleh dinisbahkan dalam perbuatan “tajassus” iaitu mencerobohi hak peribadi dan maruah seseorang yang tidak dibenarkan di dalam Islam. Pengecualian dalam penggunaan aplikasi ini dibenarkan kepada orang yang berautoriti yang mempunyai kuasa untuk membuat tindakan.

Seterusnya ia juga dibenarkan jika mendapat keizinan suami atas sebab-sebab tertentu seperti untuk membantu suami yang perlu dibantu dan telah mencapai persepakatan bersama selagi tidak keluar dari lunas-lunas Islam.

Di dalam situasi ini, si isteri yang cuba mencari penyelesaian asalnya juga tanpa sedar melakukan dosa dengan menyelidiki ‘privacy’  dan rahsia-rahisa suami semata-mata kerana untuk mendapatkan kebenaran, mengharapkan kejujuran suami yang tidak diberi dan sebagainya.

Walaupun mungkin jika suami mengakui kesalahan yang telah dilakukan sekali pun, tetapi perasaan trauma dan waspada dengan tindakan pasangan. Akibatnya, rumahtangga yang dibina menjadi tegang kerana kepercayaan dan kejujuran tidak lagi menjadi syiar dalam perkahwinan serta kesan dari langkah yang telah dibuat mengundang pada mudarat yang lebih besar.

Di sebab itulah, Islam pada awal-awal telah menjelaskan kepada kita rahsia-rahsia seorang hamba yang berhak untuk diketahui adalah diri hamba itu sendiri dan Allah jualah mengetahui atas setiap sesuatu. Firman Allah SWT yang menjelaskan mengenai larangan untuk melakukan pencerobohan hak‘privacy’ dan kesalahan orang lain di dalam Surah al-Hujurat yang bermaksud:

Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain (Surah al-Hujurat ayat  12)

Justeru, beberapa tips dan cara yang boleh diamalkan dalam menangani perselisihan rumahtangga adalah seperti berikut:

  1. Menjadikan perkahwinan adalah ibadah yang memberi keberkahan kesan dari ketaatan kepada Allah. Setiap pasangan perlu menyematkan di dalam diri bahawa maksiat yang dilakukan akan menghilangkan keberkahan dalam rumahtangga.
  2. Syiar dalam perkahwinan adalah untuk menghadirkan perasaan kasih sayang, mawaddah dan rahmah antara pasangan. Perasaan itu terbit kerana dipupuk rasa hormat, percaya dan nilai- nilai yang baik yang berakar umbi dalam pembinaan rumahtangga yang baik. Maka hendaklah kedua-dua menyuburkan dengan nilai-nilai yang baik seperti kejujuran, berlapang dada, telus dan sebagainya.
  3. Isteri yang mempunyai rasa curiga hendaklah sentiasa mengarahkan fikiran dengan menggunakan cara berhikmah iaitu berkomunikasi dengan baik dan terus melayani suami dengan baik serta cuba mencari cara bagaimana untuk menawan hati suami. Jangan sesekali cuba untuk mengambil tindakan terburu-buru dengan cuba menyelidiki rahsia-rahsia suami kerana perbuatan itu akan membawa kepada dosa dan memberi kesan yang buruk pada rumahtangga mereka. Jika perasaan isteri itu benar iaitu suami mempunyai kecenderungan kepada wanita lain, maka si isteri menjadikan ujian yang melanda mereka pastinya ada hikmah dari Allah dan bermuhasabah atas kekurangan dan keaiban yang berlaku. Pasangan perlu melihat ujian yang dihadapi boleh jadi sebagai bentuk teguran untuk mendekatkan diri kepada Allah dan  berdoa memohon petunjuk dari Allah. Seterusnya mencari waktu yang sesuai untuk berkomunikasi dan berbincang tanpa dorongan emosi yang tidak terkawal.
  4. Akhir sekali, setiap pasangan yang berasa curiga dengan pasangan mereka hendaklah menghilangkan kekusutan fikiran dan jiwa mereka dengan mendekatkan diri kepada Allah dan seterusnya berusaha untuk mengambil hati pasangan masing-masing bagi mengekalkan keharmonian dalam rumahtangga. Pendekatan untuk menyuburkan rasa cinta dan hormat antara kedua-duanya perlu diusahakan dengan membina Kembali tautan hati dan ikatan perkahwinan yang dibina.

Justeru, perkahwinan yang dibina adalah aqad yang suci dua insan yang perlu sentiasa dijaga dan dibajai dengan kejujuran, kepercayaan, rahmat, mawaddah dan kasih sayang. Andai perkahwinan diuji, kedua-duanya perlu mencari jalan bagaimana untuk mencari titik perdamaian dan keharmonian supaya perkahwinan yang dibina mencapai kepada matlamatnya.

Ustazah Maryam bt Mohd Din
Penyelidik Majils Ulama ISMA (MUIS)

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts