Adakah sah pengislaman kanak-kanak?

Soalan:

Apakah syarat-syarat yang wajib dipenuhi untuk menerima pengislaman kanak-kanak?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.

Mukadimah

Pengislaman kanak-kanak boleh berlaku dalam dua keadaan:

  • Kanak-kanak itu melafazkan kalimah syahadah
  • Kanak-kanak itu mengikut agama ibu atau bapanya yang memeluk Islam

Sebelum kami membahas isu ini dengan lebih lanjut, kami akan menghuraikan terlebih dahulu berkenaan definisi kanak-kanak yang disinonimkan dengan individu bawah umur atau di dalam bahasa arabnya disebut al-Sighaar (الصغار).

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, “kanak-kanak” bermaksud budak lelaki atau perempuan yang masih kecil (biasanya yang belum berumur lebih daripada 7 atau 8 tahun).[1] Manakala istilah “remaja” pula merujuk kepada seseorang yang mulai dewasa, sudah akil baligh, dan sudah cukup umur untuk berkahwin.

Manakala dalam Seksyen 2 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 menyebutkan bahawa kanak-kanak adalah: “seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun. “

Daripada sudut bahasa Arab, Ibn Manzhur di dalam kitabnya Lisan al-Arab menyebut: Al-Sighar  (الصغار) dari sudut bahasa bermaksud: Kurang saiznya atau kurang umurnya maka dia adalah saghir (kecil). Ia adalah perkataan yang berlawanan dengan besar.

Manakala dari sudut istilah, ia membawa maksud: Suatu ciri yang dikaitkan dengan seorang manusia semenjak kelahirannya sehinggalah dia bermimpi (baligh). Lihat Kasyf Al-Asrar oleh al-Bazdawi (4/1358)

Berdasarkan definisi dan takrif yang dinyatakan di atas, jelas kepada kita bahawa terdapat perbezaan dalam memahami apakah yang dimaksudkan dengan kanak-kanak. Kadang-kadang ia difahami sebagai umur seseorang di bawah tujuh atau lapan tahun, dan terkadang di bawah paras umur lapan belas tahun. Manakala daripada sudut tradisi Islam, takrifnya lebih konsisten dengan menghubungkan keadaan aqil baligh dengan definisi kanak-kanak.

Kanak-kanak itu melafazkan kalimah syahadah

Jumhur ulama berpendapat bahawa pengislaman kanak-kanak bukan Islam yang sudah mumayyiz adalah sah dari sudut Hukum Syarak. Mereka berdalilkan hujah-hujah berikut:

  • Saiyidina Ali bin Abi Talib RA memeluk Islam sewaktu dia masih kecil
  • Sabda Rasulullah SAW:

مَا مِنْ مَوْلُودٍ إِلَّا يُولَدُ عَلَى الفِطْرَةِ

Maksudnya: “Semua anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah.”

Riwayat al-Bukhari (no. 1357) dan Muslim (no.2658)

Fitrah itu menurut pendapat yang masyhur adalah Islam. Rujuk Fath al-Bari (3/315).

Manakala mengikut pendapat minoriti ahli fiqh dan juga merupakan pendapat yang rajih dalam mazhab al-Syafie, pengislaman kanak-kanak yang sempurna akal dan mumaiyiz adalah tidak sah kerana hujah-hujah berikut:

  1. Kanak-kanak tiada kelayakan untuk mengikat kontrak atau memberi keterangan saksi.
  2. Hadis Saiyidina Ali itu berlaku selepas baligh seperti mana kata Imam Ahmad bin Hanbal. Manakala berkata Imam al-Baihaqi, hadis itu sebelum baligh dan dipersetujui oleh Imam al-Subki, tetapi tidak terpakai kerana pada awal Islam hukum-hakam Islam tertakluk pada usia mumaiyiz namun selepas tahun peperangan Khandaq, turunnya hadis yang menasakhkan hukum tersebut dan mensabitkan umur baligh iaitu dengan keluarnya mani atau mencapai umur lima belas tahun Qamariyyah. Hadis tersebut diriwayatkan oleh Saiyidina Ali bin Abi Talib RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ، عَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَبْلُغَ، وَعَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنِ المَعْتُوهِ حَتَّى يَبْرَأَ

Maksudnya: “Diangkat pena (taklif/tanggungjawab) daripada tiga kategori manusia; bayi sehinggalah dia baligh, orang yang tidur sehingga dia sedar, dan orang yang bermasalah aqal sehingga dia sembuh.”

Riwayat Abi Daud (no. 4402)

Pun begitu, para ulama yang berpendapat seperti ini menyarankan agar dibataskan anak tersebut daripada dipengaruhi oleh ibu bapa yang masih belum Islam, atau salah seorang daripada mereka, berdasarkan keizinan mereka. Jika mereka tidak mengizinkan, maka hendaklah diserahkan kembali. Namun menurut Imam al-Subki, hukum pembatasan itu adalah wajib untuk menjaga maslahat agama anak itu. Rujuk Mughni al-Muhtaj (3/609)

Sebahagian ulama Syafieyyah seperti al-Suyuti yang berpendapat bahawa sah Islam kanak-kanak yang bukan Islam apabila dia mengucap syahadah. Mereka berdalilkan hadis daripada Muslim al-Tamimi RA:

بَعَثَنَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي سَرِيَّةٍ فَلَمَّا هَجَمْنَا عَلَى الْقَوْمِ تَقَدَّمْتُ أَصْحَابِي عَلَى فَرَسِي فَاسْتَقْبَلَنَا النِّسَاءُ وَالصِّبْيَانُ يَضِجُّونَ فَقُلْتُ لَهُمْ: تُرِيدُونَ أَنْ تُحَرِّزُوا أَنْفُسَكُمْ؟، قَالُوا: نَعَمْ، قُلْتُ: قُولُوا: أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ فَقَالُوهَا فَجَاءَ أَصْحَابِي فَلَامُونِي، فَقَالُوا: أَشْرَفْنَا عَلَى الْغَنِيمَةِ فَمَنَعْتَنَا ثُمَّ انْصَرَفْنَا إِلَى رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: مَا تَدْرُونَ مَا صَنَعَ؟، لَقَدْ كَتَبَ اللهُ لَهُ مِنْ كُلِّ إِنْسَانٍ كَذَا وَكَذَا مِنَ الْأَجْرِ ، ثُمَّ أَدْنَانِي مِنْهُ

Maksudnya: Nabi ﷺ telah mengutus kami dalam suatu peperangan/ Ketikakami menyerang musuh, aku dapat mendahului sahabat-sahabatku dengan cara menunggang kuda. Lalu kami menemui para wanita dan kanak-kanak yang berteriak ketakutan. Aku berkata kepada mereka: “Sukakah kamu menyelamatkan diri kamu?” Mereka menjawab: “Ya”. Aku berkata: “Ucapkanlah: Kami bersaksi tiada tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya Muhammad , hamba dan Pesuruh-Nya.” Maka mereka pun mengucap syahadah itu. Lalu sahabat-sahabatku mengatakan kepadaku: “Hampir sahaja kita memperolehi harta rampasan perang, akan tetapi engkaulah yang menghalang kami.” Kemudia kami berangkat menuju Rasulullah ﷺ, lalu baginda bersabda: “Tahukah kamu apa yang telah dibuat olehnya (Muslim al-Tamimi)? Sesungguhnya Allah telah menulis baginya setiap manusia begini, begitu (yakni pahala tertentu bagi Muslim)” Kemudia baginda mendekatiku.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu`jam al-Kabir (1052), Abu Daud dalam Sunan-nya (5050), dan Ibn Hibban dalam Sahih-nya (2022)

Imam al-Suyuti berdalilkan hadis di atas selepas menyatakan: “(Menerima pengislaman kanak-kanak) tidak menafikan hadis (hadis Ali di atas). Sesungguhnya hanya sahnya yang dinafikan ialah balasan azab jika suatu kemungkaran itu berlaku sewaktu umur kanak-kanak dan keislamannya seperti ibadat. Begitu juga sah puasa kanak-kanak, solat, haji dan lain-lain, maka sah jugalah Islamnya.”

Rujuk al-Asybah wa al-Nazair (hlm. 221)

Berkata Imam Ibn al-Qayyim dalam Ahkam Ahl al-Dzimmah (2/906): “Nabi SAW tidak sekali-kali pernah menolak keislaman seseorang yang masuk Islam daripada kalangan kanak-kanak, yang deasa, orang merdeka, hamba, lelaki dan perempuan. Nabi sendiri tidak pernah memerintahkan, begitu juga tidak pernah para khalifahnya dan sahabat-sahabat lain, supaya kanak-kanak yang masuk Islam sebelum baligh memperbaharui Islamnya. Perkara ini tidak pernah diketahui terjadi dalam sejarah Islam”

Hukum ini disokong oleh hadis yang diriwayatkan Anas bin Malik RA:

كَانَ غُلاَمٌ يَهُودِيٌّ يَخْدُمُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَمَرِضَ، فَأَتَاهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعُودُهُ، فَقَعَدَ عِنْدَ رَأْسِهِ، فَقَالَ لَهُ: أَسْلِمْ، فَنَظَرَ إِلَى أَبِيهِ وَهُوَ عِنْدَهُ فَقَالَ لَهُ: أَطِعْ أَبَا القَاسِمِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَسْلَمَ، فَخَرَجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يَقُولُ: الحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَنْقَذَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: Ada seorang kanak-kanak Yahudi yang berkerja dengan Nabi ﷺ kemudia kanak-kanak itu jatuh sakit. Nabi ﷺ datang menziarahinya, dan baginda duduk di sisi kepalanya seraya bersabda kepadanya: “Islalah kamu”, lalu dia memandang ayahnya yang ada di sisinya. Ayahnya berkata kepadanya: “Taatilah Abu al-Qassim (gelaran Nabi ﷺ).” Lalu dia pun masuk Islam dan Nabi ﷺ keluar seraya berkata: “Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan anak itu daripada neraka.”

Riwayat al-Bukhari (1356)

Imam Ibn Hajar al-Asqalani apabila mensyarahkan hadis ini, beliau bersetuju dengan pendapat yang mengesahkan keislaman kanak-kanak dengan berkata bahawa hadis ini, antara lain, dalil keharusan mendakwahkan Islam kepada kanak-kanak. Kata beliau, jika keislaman itu tidak sah, apa faedah Nabi ﷺ mengajak kanak-kanak itu kepada Islam. Begitu juga apabila baginda bersabda Allah telah menyelamatkannya daripada neraka, yang menjadi dalil bahawa sah keislaman kanak-kanak itu, seperti jika kanak-kanak itu membesar sebagai seorang kafir lalu mati, nescaya dia akan diazab.

Rujuk Fath al-Bari (3/221)

Kami mentarjihkan dalam isu ini pendapat majoriti ulama yang mengesahkan pengislaman kanak-kanak yang sempurna akal dan sudah mumaiyiz kerana menjaga kepentingan awam iaitu maslahat agama dan diri kanak-kanak tersebut. Pendapat ini juga disokong oleh Mufti Kerajaan Brunei Darussalam, Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, dalam fatwa yang dikeluarkan pada tahun 2002. Rujuk Fatwa Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam (hlm. 151-160)

Adapun jika kanak-kanak tersebut sudah baligh, tetapi umurnya masih belum mencapai 18 tahun, maka hukum pengislamannya adalah sah berdasarkan kesepakatan para ulama kerana anak itu hakikatnya sudah dewasa. Namun berdasarkan Perkara 12 Perlembagaan Persekutuan, pendaftaran pengislamannya tidak boleh dibuat melainkan dengan persetujuan ibu bapa atau penjaganya.

Kanak-kanak itu mengikut agama ibu atau bapanya yang memeluk Islam

Bagi kanak-kanak yang belum baligh, apabila ibu bapanya, ataupun salah seorang daripada ibu bapanya, memeluk agama Islam, maka agama anak berkenaan adalah Islam berdasarkan kaedah al-tab’iyyah. Ini berdasarkan firman Allah Taala:

وَالَّذِينَ آمَنُوا وَاتَّبَعَتْهُمْ ذُرِّيَّتُهُمْ بِإِيمَانٍ أَلْحَقْنَا بِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ

Maksudnya: “Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam Syurga);”

(Surah al-Tur: 21)

Firman Allah Taala:

وَلَنْ يَجْعَلَ اللَّهُ لِلْكَافِرِينَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk menguasai orang-orang yang beriman.”

(Surah al-Nisa’:141)

Kaedah fiqh menyebut:

التَّابِعُ تَابِعٌ

Maksudnya: “Hukum bagi perkara yang mengikut adalah hukum bagi yang diikut.”

Rujuk al-Asybah wa al-Nazair oleh Imam al-Suyuti (hlm. 228)

Berkata Imam al-Nawawi: “Sekiranya salah seorang daripada ibu bapa seorang kanak-kanak masuk Islam semenjak anak itu dalam kandungan pada fasa alaqah maka anak itu adalah Islam. Justeru, sekiranya dia baligh kemudian dia berperwatakan orang kafir, maka dia dianggap murtad.”

Rujuk Minhaj al-Talibin (hlm.177)

Oleh itu, bagi kanak-kanak yang berusia kurang 18 tahun dan belum aqil baligh maka pengislamannya adalah sah apabila salah seorang daripada ibu bapanya memeluk Islam, sekalipun dia tidak pernah mengucap dua kalimah syahadah.

Namun begitu sekiranya kanak-kanak tersebut sudah baligh, kemudian ibu bapa atau salah seorang daripada mereka memeluk, kanak-kanak terbabit tidak boleh dipaksa masuk Islam. Ini berdasarkan Firman Allah Taala:

لا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ

Maksudnya: Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam).

(Surah al-Baqarah: 256)

Berkata Imam Ibn Jarir al-Tabari dalam tafsir ayat ini: “Sebahagian ulama menyatakan sebab turun ayat ini ialah seorang lelaki Ansar yang memiliki anak-anak yang sudah dewasa yang beragama Kristian (atau Yahudi). Apabila dia memeluk Islam maka dia ingin memaksa anak-anak itu masuk Islam lalu Allah melarangnya agar anak-anak itu memilih sendiri untuk memeluk agama Islam.” Menurut al-Tabari, inilah tafsir yang benar. Rujuk Jami’ al-Bayan (5/407-414).

Faktor paksaan boleh membatalkan pengislaman seseorang kerana seseorang yang memeluk Islam perlu dibuat secara sukarela. Jika tidak, maka dia boleh keluar daripada Islam tanpa dihukum murtad atau terus kekal di dalamnya. Berkata Syeikh Prof. Wahbah al-Zuhaili: Paksaan itu dibahagikan kepada tiga:

  • Paksaan al-mulji’ atau sempurna: iaitu seseorang dipaksa sehingga tiada langsung kemampuan dan pilihan, seperti diancam bunuh, kebinasaan sebahagian anggota tubuh, pukulan yang teruk sehingga boleh mengakibatkan kematian dan kebinasaan anggota, atau binasanya seluruh hartanya. Hukumnya: Paksaan ini menafikan redha dan merosakkan pilihan.
  • Paksaan yang cacat atau tidak sempurna: Iaitu ancaman yang tidak memudaratkan nyawa atau anggota tubuh, seperti mengancam untuk pukulan ringan atau penjara, atau merosakkan sebahagian harta, atau mengenakan kezaliman seperti menafikan kenaikan pangkat, atau menurunkan pangkat. Hukumnya: menafikan redha tetapi tidak merosakkan pilihan.

Di sisi Imam al-Syafie, paksaan itu hanya ada satu jenis iaitu paksaan al-mulji’ adapun selain daripada itu tidak dianggap sebagai paksaan.” Rujuk al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh (4/3064).

Difahami daripada sudut ini, bahawa sekiranya seseorang itu dipaksa tetapi paksaannya itu tidak mengancam lima tujuan Syarak untuk dipelihara daripada kebinasaan yang total pada agama, nyawa, keturunan, aqal atau harta, maka itu bukanlah paksaan.

Daripada perspektif Islam, seorang kanak-kanak dianggap baligh apabila keluarnya air mani atau mencapai umur lima belas tahun Qamariyyah,dan tambahan, keluarnya darah haid bagi perempuan.

Rujuk Minhaj al-Talibin oleh Imam al-Nawawi (hlm. 171).

Manakala kanak-kanak yang berusia bawah 18 tahun tetapi sudah aqil baligh kemudian salah seorang daripada ibu bapanya memeluk Islam maka dia tidak mengikut masuk Islam kerana dia dikira sebagai dewasa yang mukallaf dan syahadahnya adalah diterima jika dia mengucap tanpa khilaf ulama. Dalam Islam, dia tidak dianggap sebagai kanak-kanak sebaliknya orang dewasa.

Dalam konteks perundangan di Malaysia, seorang kanak-kanak yang berusia bawah 18 tahun boleh dipaksa oleh ibu bapanya untuk memeluk Islam, sekalipun dia sudah baligh. Ini berdasarkan peruntukan dalam Perkara 12 Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang menyatakan:

  • “Tiada seorang pun boleh dikehendaki menerima ajaran sesuatu agama atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau upacara sembahyang sesuatu agama, selain agamanya sendiri.
  • Bagi maksud Fasal (3) agama seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya.”

Syarat-Syarat Memeluk Islam Bagi kanak-Kanak

Berikut kami nyatakan syarat-syarat memeluk agama Islam bagi kanak-kanak:

  1. Hendaklah kanak-kanak itu mampu mengucapkan dua kalimah syahadah.

Seksyen 85 (1) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 memperuntukkan:

  1. Orang itu mestilah mengucapkan dua kalimah Syahadah dalam bahasa Arab secara semunasabahnya jelas;
  2. pada masa mengucap dua kalimah itu, orang itu mestilah sedar bahawa ia bermakna “Aku naik saksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad S.A.W ialah Pesuruh Allah”; dan
  3. pengucapan itu mestilah dibuat dengan kerelaan hati orang itu sendiri.

Manakala Seksyen 95 (2) membenarkan mengucapkan dua kalimah Syahadah dengan cara isyarat yang menunjukkan makna bagi seseorang yang tidak dapat bercakap boleh.

  1. Hendaklah kanak-kanak itu sudah sempurna akal.

Sebahagian ulama mensyaratkan umur 10, 9, 7 tahun kerana wajib disuruh untuk solat, bahkan 5 tahun. Pendapat yang mahsyur dalam mazhab Hanbali ialah tidak disyaratkan umur tertentu. Rujuk Ahkam Ahl al-Dzimmah (2/910). Manakala Seksyen 95 (1) memperuntukkan seseorang yang tidak beragama Islam boleh masuk Islam jika dia sempurna akal, mencapai umur lapan belas tahun; atau jika dia belum mencapai umur lapan belas tahun, ibu atau bapa atau penjaganya mengizinkan kemasukannya.

Kesimpulan

Berdasarkan keterangan di atas, dapat kami simpulkan bahawa:

  • Kanak-kanak yang belum baligh memeluk Islam dengan mengikut islamnya salah seorang daripada ibu bapanya; sama ada dia sudah mencapai umur mumayyiz atau belum, atau dia enggan.
  • Kanak-kanak yang sudah baligh dianggap sudah dewasa. Justeru, sekiranya dia memeluk Islam, sah syahadahnya, sekalipun ditentang oleh ibu bapanya. Namun, berdasarkan perundangan di Malaysia, kanak-kanak berkenaan tidak boleh didaftarkan keislamannya. Begitu juga jika ibu bapanya masuk Islam, mereka tidak boleh memaksa anak tersebut memeluk Islam, tetapi berdasarkan perundangan Malaysia, kanak-kanak berkenaan boleh didaftarkan sebagai Islam kerana agama kanak-kanak berumur bawah 18 tahun ditentukan oleh ibu bapa atau penjaganya.
  • Kanak-kanak yang sudah mumayyiz tetapi belum baligh yang memeluk Islam tidak dianggap sah pengislamannya sekalipun jika ibu bapanya yang bukan Islam menghalang, mengikut pendapat yang asah di dalam mazhab Syafie. Namun pendapat Jumhur mengesahkannya. Kami lebih cenderung kepada pendapat Jumhur kerana lebih baik untuk maslahat agama anak tersebut.
  • Apabila seorang kanak-kanak bukan Islam yang sempurna akal dan mengucapkan dua kalimah syahadah, maka sahlah pengislamannya.

Semoga penjelasan di atas memberikan kefahaman kepada penanya. Wallahua’lam. – Muftiwp

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts