Suatu hakikat yang tidak dapat disangkal oleh sesiapa, bahawa jihad di P4lestin pada hari ini dipelopori dan dipimpin oleh gerakan H4M4S yang bermula sejak 1987, di bawah pimpinan Asy-Syahid Syeikh Ahmad Yasin RHM.
Ramai mungkin tidak berapa sedar bahawa pembinaan yang dilakukan oleh Syeikh Ahmad Yasin RHM adalah bermula daripada kejelasan pemikiran dan kesepaduan gerakerja yang akhirnya mampu memiliki kemampuan untuk membayar harga sebuah pembebasan tanah Palestin yang cukup tinggi.
Kerohanian yang tidak ada diskaun, kejelasan kefahaman dalam tabiat pertembungan, idea pemisahan antara hak dan batil yang kukuh, tahap disiplin yang ketat dalam pemilihan pimpinan, tiada kompromi dalam kualiti yang diimpikan, serta ukhuwwah yang terjaga di kalangan ahli dan para muslimin secara amnya, semua itu adalah ramuan yang mencukupkan sesebuah gerakan memiliki kemampuan bagi mengambil posisi sebenar dalam projek pembebasan.
Telah dikisahkan oleh anak buah Syeikh Ahmad Yasin bahawa antara tugasan wirid harian mereka adalah membaca Al-Quran 5 juzuk setiap hari.
Al-Quran dan kekuatan, adalah tema utama gerakan ini.
Dengan Al-Quran, mereka mendapat inspirasi, mengekalkan momentum, memiliki dinamo yang tidak kunjung padam dalam mengharungi peperangan penjajahan yang panjang ini.
Dengan kekuatan, Al-Quran ini dihidupkan, ditinggikan, dihormati, diberikan cahaya untuk menyuluh jalan pembebasan yang hakiki. Tanpa kekuatan, mesej dan roh Al-Quran hanya angan-angan Mat Jenin, yang hanya dimunculkan dalam kaca televisyen dan radio, atau dikemas rapi di dalam almari.
Oleh sebab itu, kita dapati ramuan yang dimiliki H4M4S adalah suatu resipi yang perlu kita semua sedari, bahawa jalan pembebasan itu perlu dilalui dengan jelas, serius, penuh kesungguhan, dan menuntut gerakerja yang bersepadu, serta pengorbanan yang tiada penghujungnya.
Itulah yang diajar oleh Asy-Syahid Syeikh Ahmad Yasin, yang telah menyimpulkan kehidupannya yang penuh dengan perjuangan dan strategi ini, sebagai satu persembahan daripadanya, bagi mengecapi keredhaan Allah SWT.
Beliau menyebut pada penghujung hayatnya : “Cita-citaku, agar Allah meredhaiku”
“Janganlah kamu menyangka orang yang terbunuh di jalan Allah itu mati. Bahkan mereka itu hidup di sisi Tuhan mereka, diberikan rezeki” – Surah Ali Imran, ayat 169
Wallahua’lam bissawaab.
Ustaz Ahmad Syamil Mohd Esa
Pengarah Sekretariat
Majlis Ulama Isma (MUIS)
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM