Alunan bacaan al-Quran dan azan penyebab pemuda ini peluk Islam

MELAKA: Seorang pekerja pemasangan pendingin hawa memilih hari ketiga Syawal sebagai tarikh istimewanya untuk memeluk Islam.

Ibarat kembali kepada fitrah asal manusia, Raymond Tan Kwok Chen, 25, yang berasal dari Krubong, di sini, memeluk Islam di pejabat Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Melaka di Bukit Palah hari ini.

Raymond melafazkan kalimah Syahadah di hadapan Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Azman Aziz.

PengIslaman itu berjalan lancar seperti dikehendakinya sendiri walaupun Raymond memberitahu hasrat awalnya mahu memeluk Islam pada malam menjelang Aidilfitri.

Dia yang kini bekerja di Kuala Lumpur, berkata minat mendalami Islam timbul sejak di bangku sekolah ketika belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Malim.

“Hanya saya berketurunan Cina di dalam kelas, manakala rakan lain semuanya Melayu. Ketika berlangsungnya kelas Pendidikan Islam, saya tidak mahu keluar kelas, sebaliknya turut mendengar apa yang guru ajar,” katanya.

Katanya, selepas tamat sekolah menengah, dia terus berkerja dengan rakannya di Kuala Lumpur, namun hasratnya mendekati Islam semakin mendalam, malah sering menemani rakan-rakan yang berhenti menunaikan solat di masjid.

“Rasa ingin tahu dan hasrat memeluk Islam yang lama terpendam membuatkan saya menggunakan media sosial untuk mengetahui cara orang bukan Islam yang mahu memeluk agama ini.

“Akhirnya, saya menghantar mesej kepada MACMA dan meluahkan hasrat itu. Sebenarnya, malam raya lagi saya mahu melafazkan syahadah kerana saya tidak sabar untuk menjadi umat Islam dan diizinkanNya berlaku hari ini,” katanya.

Raymond mengakui dirinya merasa lebih tenang sejurus mengucapkan syahadah dan akan terus mendalami Islam.

“Saya juga berpuasa seminggu pertama tahun ini walaupun belum peluk Islam,” katanya.

Ketenangan yang sering dirasainya setiapkali mendengar alunan bacaan al-Quran dan azan mendorongnya memeluk Islam.

“Ketika bekerja, saya juga tidak ketinggalan mengikut rakan yang beragama Islam bersolat di masjid. Hati saya terus terpikat setiapkali mendengar bacaan al-Quran, lebih-lebih lagi apabila azan berkumandang.

“Syukur ibu bapa juga tidak menghalang keputusan saya dan saya berazam menambahkan ilmu agar saya istiqamah dalam agama ini,” katanya.

Raymond berkata, dia mahu mencari pekerjaan di Melaka bagi memudahkan urusannya mendalami ilmu agama Islam anjuran MACMA dan MAIM. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts