Ambillah demokrasi sekadarnya

Ust-Zamri-YDP-ISMA-Ipoh

 

Kita baru sahaja menjalani pilihanraya kecil Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar dan keputusannya juga telah diketahui. Satu lagi proses demokrasi telah berlaku di dalam kita memilih wakil-wakil yang mewakili rakyat di Parlimen. Itulah salah satu proses demokrasi berparlimen di negara kita. Rakyat telah menunaikan tanggungjawab mereka dengan memilih wakil mereka di parlimen, maka tibalah giliran wakil mereka menunaikan tanggungjawab yang telah dimanahkan.

Kita sebagai umat Islam tidak boleh mengasingkan diri kita dari sistem ini kerana setakat ini sistem inilah yang diamalkan dan ia sangat menentukan halatuju negara. Ia juga sangat berkaitan dan signifikan dengan nasib umat Islam di tanah air ini. Suara-suara dan keputusan wakil-wakil rakyat ini sangat mempengaruhi undang-undang dan peraturan yang bakal dilaksanakan kepada rakyat termasuklah umat Islam.

Istilah Demokrasi berasal dari kata “demos” yang bererti rakyat dan “kratein” yang berarti memerintah atau “kratos”. Tokoh-tokoh yang mempelopori doktrin  demokrasi adalah seperti  John Locke, Montesquieu dan Presiden Amerika Abraham Lincoln. Secara ringkasnya ada dua asas doktrin demokrasi, iaitu rakyat diikutsertakan di dalam pemerintahan dan pemartabatan hak asasi manusia. Abraham Lincoln berpendapat bahwa demokrasi adalah sistem pemerintahan daripada rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat (democracy is the government of the people, by the people, for the people).

Jika dilihat aplikasi sistem ini di Malaysia , rakyat diajak ikut serta di dalam pemerintahan dengan cara mengundi di dalam pilihanraya. Setakat ini itulah sistem yang ada. Secara idealnya sistem Islam memilih pemimpin bukan begitu caranya namun kita terpaksa interaksi dahulu dengan realiti yang berlaku sekarang. Walaupun masih ada yang perlu ditambahbaik namun ia boleh diteruskan sementara menunggu mekanisme yang lebih baik jika ada pada masa akan datang untuk negara ini. Umat Islam sebagai majoriti rakyat negara ini boleh beramal dengan salah satu ciri demokrasi ini hanya sebagai mekanisme memilih wakil mereka ke parlimen. Jika umat Islam memulaukan sistem ini, ia akan mendatangkan mudarat yang lebih besar kepada umat Islam. Parlimen sebagai kuasa tertinggi yang akan meluluskan undang-undang.  Bayangkan jika wakil-wakil yang dipilih tidak melihat Islam sebagai keutamaan untuk diperjuangkan maka ia akan membawa kepada malapetaka yang besar kepada umat.

Namun dalam masa yang sama umat Islam tidak boleh menerima doktrin demokrasi seluruhnya sebagai pegangan hidupnya mahupun perjuangan hidupnya ataupun cara ia membuat keputusan. Umat Islam perlu selektif dan menimbang doktrin yang terkandung dalam demokrasi ini dengan penilaian Al-Quran dan Al-Hadith. Jika ada yang bertentangan dengan ajaran Islam maka hendaklah ia ditolak.

Apabila Abraham Lincoln berpendapat bahwa demokrasi adalah sistem pemerintahan dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat (democracy is the government of the people, by the people, for the people), kita perlu perhalusi dahulu dengan neraca Islam. Kita bersetujui bahawa kepentingan rakyat wajib dijaga dan memang sepatutnya dijaga oleh kerajaan sebab kerajaan juga dilantik oleh rakyat. Tetapi dalam Islam, menyerahkan sepenuhnya untuk membuat keputusan kepada kuasa rakyat mahupun kepada kerajaan adalah tidak tepat,  kerana dalam Islam , kuasa tertinggi membuat keputusan adalah Allah SWT.

Firman Allah dalam surah al ‘Araf ayat 54 :Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa lalu Ia bersemayam di atas Arasy; Ia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya dengan deras (silih berganti) dan (Ia pula yang menciptakan) matahari dan bulan serta bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada perintahNya. Ingatlah, kepada Allah jualah tertentu urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha Suci Allah yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam.

Apa yang diamalkan sekarang ini pun tidak mewakili konsep wakil rakyat mewakili rakyat yang memilihnya. Dalam beberapa keadaan contohnya wakil rakyat berkenaan bertindak atas pertimbangannya sendiri ataupun membuat keputusan berdasarkan polisi parti yang diwakilinya.  Contohnya jika cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah ) 1965 (Pindaan 1984)(Akta 355) untuk memperkasakan bidang kuasa
Mahkamah Syariah baru baru ini sampai ke tahap pengundian di Parlimen, wakil-wakil rakyat tidak pulang ke kawasan masing-masing untuk bertanya rakyat yang diwakilinya samada menyokong atau tidak cadangan pindaan ini. Sudah tentu ia akan bertindak sendiri atau mengikut polisi dan pendirian partinya.

Atas contoh yang mudah ini kita umat Islam hanya perlu mengambil konsep demokrasi sekadarnya dengan batasan yang dibenarkan oleh syarak sahaja.

Sahibus Samahah Ustaz Zamri Hashim
Timbalan Mufti Negeri Perak

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts