Angkat pemimpin Islam jadi Setiausaha Agung PBB: Prof Dr Huseyin Bagci

 

PUTRAJAYA: Jawatan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) wajar diisi pemimpin dari kalangan negara Islam, dalam usaha mengekang ancaman ekstremisme yang semakin membimbangkan dunia.

Pensyarah Kanan Middle East Technical University Turki, Prof Dr Huseyin Bagci, berkata perlu wujud kesungguhan politik dalam kalangan lima negara anggota tetap Majlis Keselamatan PBB supaya suara dunia Islam diberi perhatian bagi memastikan keamanan mampu dicapai terutama di Asia Barat.

“Tiada negara anggota tetap Majlis Keselamatan PBB (Russia, Amerika Syarikat, China, United Kingdom dan Perancis) mahu melepaskan keistimewaan dan kelebihan mereka walaupun mengetahui dunia Islam mahukan ini.

“Justeru, perlu ada kesungguhan politik oleh negara berkenaan. Harapan saya dalam jangka masa panjang seseorang dari dunia Islam mampu diangkat menjadi Setiausaha Agung PBB. Saya mencadangkan bekas presiden Turki, Abdullah Gul untuk jawatan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan pembentangannya pada Dialog Keselamatan Antarabangsa Putrajaya (PISD) 2018 di sini, pada Sabtu.

Huseyin berkata, dunia tidak boleh menolak hakikat tuntutan kalangan dunia Islam semakin meningkat, tidak kira dalam hal memerangi keganasan, demokrasi, pembangunan atau keamanan dan kemakmuran masa depan.

“Kita mempunyai 1.5 bilion umat Islam di seluruh dunia tetapi tidak diwakili pada peringkat tertinggi (PBB). Ini tidak bagus,” katanya.

Terdahulu dalam kertas kerjanya, Huseyin berkata, kerajaan Turki membelanjakan lebih RM798 bilion (AS$200 bilion) sejak 40 tahun lalu bagi memerangi keganasan.

“Turki memerangi gerakan radikal Parti Pekerja Kurdistan (PKK) sejak 1985 yang mana kita kehilangan 42,000 nyawa membabitkan tentera dan orang awam.

“Lebih AS$200 bilion diperuntukkan untuk memerangi keganasan yang mana sekiranya peruntukan ini dibelanjakan untuk pendidikan, penjagaan kesihatan atau pengangkutan, pasti kehidupan rakyat lebih baik.

“Malah, peruntukan itu mungkin membolehkan ekonomi Turki berada pada kedudukan ke-12 atau ke-13 dunia berbanding ke-17 ketika ini,” katanya.

Beliau berkata, perkara berkenaan sukar dielak sekiranya negara Islam tidak bersatu dalam mencari jalan penyelesaian konflik di Asia Barat.

“Sehingga kini Turki memberi perlindungan kepada 3.5 juta pelarian Syria dan kita tidak melihat konflik ini akan berakhir dalam masa terdekat, selain turut berdepan ancaman Daesh,” katanya. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts