Berfikiran positif ketika ditimpa ujian

  1. Menurut al-Imam Ibn Kathir, Nabi Ayyub bukan sekadar diuji dengan penyakit. Allah memberikan cubaan ke atas beliau yang menggugat kesihatan, meragut nyawa anak dan mengalami kehilangan harta. Kata Ibn Kathir:

يذكر الله – تعالى – عن أيوب ما كان قد أصابه من البلاء فى ماله وولده وجسده ، وذلك أنه كان له من الدواب والأنعام والحرث شىء كثير ، وأولاد كثيرون ، ومنازل مرضية . فابتلى فى ذلك كله

“Allah menyebutkan dalam al-Quran tentang Nabi Ayyub yang ditimpa ujian terhadap harta, anak-anak serta tubuh badannya sendiri. Ini kerana beliau (sebelum itu) memiliki ternakan yang banyak, tanaman yang luas, anak yang ramai serta kediaman yang disukai, lalu Allah uji keseluruhan perkara tersebut.”

  1. Menariknya di sini, sekalipun diuji dengan kehilangan harta dan anak-anak, Nabi Ayyub kekal tenang, bersikap positif dan bersangka baik dengan Allah. Biar diuji selama belasan tahun, Nabi Ayyub tetap memuji Allah. Firman Allah:

وَأَيُّوبَ إِذْ نَادَىٰ رَبَّهُ أَنِّي مَسَّنِيَ الضُّرُّ وَأَنتَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ

“Dan Nabi Ayub, ketika dia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani.” (Surah al-Anbiya: 83)

  1. Al-Imam Ibn Asyur pula menjelaskan aspek adab berdoa. Dalam ayat ini Nabi Ayyub tidak menyandarkan kesusahan tersebut kepada Allah. Bahkan Baginda hanya menggunakan perkataan “massani” (aku telah disentuh) penyakit seakan-akan penyakit yang ringan sahaja. Kata Ibn Asyur:

والمسّ : الإصابة الخفيفة . والتعبير به حكاية لما سلكه أيوب في دعائه من الأدب مع الله

“Dan perkataan “mass” membawa maksud ditimpa ujian yang ringan. Dan penggunaan kalimah (massani) ini adalah gambaran tentang penceritaan bagaimana kesusahan yang dialami oleh Nabi Ayyub yang disebutkan di dalam doanya dengan penuh adab terhadap Allah.”

  1. Dalam riwayat Ibn Kathir, ada juga direkodkan kisah syaitan datang menawarkan arak yang dikatakan mampu menyembuhkan penyakit tersebut. Namun, Nabi Ayyub bertegas menolak. Ini menunjukkan saat kita diuji dengan Allah, jangan pula kita mencari jalan alternatif yang menjauhkan kita dari Allah, bahkan melakukan perkara-perkara yang membawa kemurkaan Allah.
  2. Oleh yang demikian, saat kita diuji dengan pelbagai ujian terhadap diri, harta mahupun anak-anak, maka kita hendaklah kekal bersikap positif. Berusaha ke arah lebih baik dengan pergantungan yang tinggi kepada Allah serta menjauhkan diri dari perkara yang dilarang.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts