Berniaga burger sambil beramal

Sungai Petani: Berniaga sambil beramal. Usaha itu diterapkan Murtadha Dakwah Centre (Madad) yang bakal membuka 1,000 gerai burger di utara dan pantai timur semenanjung.

Pengarah Urusan Madad, Mohamad Yaakub Yusra Mohd Yusoff berkata, selain membuka peluang pekerjaan kepada golongan belia yang hilang pendapatan akibat pandemik Covid-19, ia dapat membantu penuntut Madad yang kini mempunyai 35 pelajar.

Menurutnya, pelajar terbabit terdiri daripada keluarga kurang berkemampuan dan datang dari seluruh negara demi mencapai cita-cita mereka.

Katanya, pihaknya berharap keuntungan perniagaan burger dijalankan sedikit sebanyak dapat membantu menampung kekurangan ada untuk pelajar di Madad.

“Dalam usia 12 dan 13 tahun mereka ditawarkan peluang mendalami ilmu pengajian dalam bidang al-Quran, hadis dan akademik di Madad secara percuma.

“Sejak ditubuhkan pada 2019, seramai tiga pelajar selesai 30 juzuk dengan seorang daripada mereka turut menyambung pengajian ke Yaman untuk mendalami bahasa Arab,” katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Madad dan Syukor Burger yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Super Dagang, Syukor Majid.

Berkongsi hala tuju perniagaan gerai burger, Mohamad Yaakub Yusra menyasarkan pembukaan 1,000 gerai burger bermula di Kuala Muda dan pantai timur menjelang akhir tahun ini, sekali gus memberi peluang pekerjaan kepada golongan belia termasuk kakitangan Madad.

“Jika terlaksana, ia dapat membuka peluang kepada pekerja dengan pendapatan RM1,200 sebulan selain komisen melalui bilangan burger dijual.

“Sepanjang Covid-19 banyak pihak terjejas dan kerana itu kita mahukan mereka bangkit selepas ditimpa musibah.

“Kerjasama dengan Syukor Burger menyemarakkan lagi jihad dalam Islam menerusi perniagaan,” katanya sambil menyatakan pihaknya membuka 10 gerai burger di sekitar Sungai Petani, baru-baru ini.

Sementara itu, Syukor berkata, pihaknya bukan saja berniaga burger, malah turut melatih usahawan muda melalui bimbingan dan pengurusan asas dalam perniagaan.

Beliau berkata, mereka menyasarkan membuka 5,000 francais perniagaan burger di seluruh negara dan akan memberi tunjuk ajar bermula daripada membuat roti sehingga pembuatan sos dan mayonis kepada setiap bakal peniaga. -My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts