Berzakat jaminan rezeki yang barakah

KUALA LUMPUR – Kebanyakan umat Islam mengetahui mengenai hikmah dalam mengeluarkan zakat namun masih ramai pihak mengambil remeh dalam tuntutan itu.

Bukan sekadar itu, mungkin ada sebilangan pihak beranggapan pendapatan tidak menentu yang diperoleh pada setiap bulan membuatkan mereka tidak terlalu mengambil berat tentang bayaran zakat.

Penolong Pengurus Dakwah Swasta, Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Mohd Dziyaulhak Hashim berkata, ciri-ciri rezeki yang barakah ialah seseorang itu sentiasa mempunyai perasaan berpada dan bersyukur kepada ALLAH sama ada menerusi pertuturan atau amalan.

“Sebab itu disebut dalam Surah Al-Baqarah di mana seseorang yang membayar lebih dari kefarduan itu adalah tanda syukur dan pengorbanan mereka kepada ALLAH.

“Membayar zakat adalah tanda kesyukuran kita kepada ALLAH dan disebabkan itu rezeki yang barakah akan memberi manfaat kepada kita. Kita juga boleh memberikan manfaat kepada orang lain,” katanya pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Mohd Dziyaulhak berkata, seseorang Muslim yang yakin dengan hari kiamat pastinya akan istiqamah dan berusaha untuk menunaikan zakat menerusi pendapatan yang diperoleh mereka.


Beliau berkata, bayaran zakat juga dapat membersihkan dan menggugurkan dosa seseorang Muslim berikutan tindakan itu termasuk dalam perkara kebaikan.

“Dalam Islam, perkara kebaikan akan gugurkan dosa-dosa kita malah gaji yang diperoleh selepas berzakat juga adalah bersih dan barakah,” katanya.

Bagi menggalakkan lebih ramai umat Islam di Wilayah Persekutuan untuk mengeluarkan zakat pada tahun ini, Mohd Dziyaulhak berkata, PPZ-MAIWP tampil dengan beberapa inisiatif antaranya termasuk pelaksanaan Kempen Year End Zakat @ YEZ 2021.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan kempen potongan gaji juga masih diteruskan sehingga kini malah terdapat 1,200 hadiah menarik turut disediakan kepada pembayar zakat di Wilayah Persekutuan.

“Terdapat juga saluran bayaran zakat melalui kaunter PPZ-MAIWP atau www.zakat.com.my, aplikasi MyZakat, kaunter zakat digital, kaunter bergerak, Ride2U, perbankan internet dan ejen-ejen PPZ-MAIWP,” katanya.

Tambahnya, sehingga November tahun ini, PPZ-MAIWP telah membuat kutipan sebanyak RM631 juta bagi mencapai sasaran ditetapkan berjumlah RM800 juta. -Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM


Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts