Cadangan Zainudin tutup tahfiz tidak rasional: Mufti Pulau Pinang

 

SHAH ALAM – Cadangan bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin supaya pusat tahfiz di seluruh negara ditutup dilihat sebagai tidak rasional dan boleh mengundang kemarahan banyak pihak.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, seharusnya Zainuddin memberikan cadangan yang lebih bernas dengan mengetengahkan pembaharuan dalam kurikulum pusat tahfiz.

Menurutnya, perkara-perkara yang memartabatkan agama Islam perlu disokong dan apa jua kelemahan perlu diperbaiki agar pusat tahfiz dapat terus menjadi medium memperkasakan ajaran Islam dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

“Beliau sepatutnya mengemukakan cadangan alternatif yang positif bukannya memberikan pandangan supaya pusat tahfiz ditutup. Ia tidak patut.

“Memang kita tahu pusat tahfiz ini ada kelemahan dan kekurangan tetapi menjadi tanggungjawab pihak berwajib untuk mengasi perkara itu antaranya berkaitan kewangan dan infrastruktur pusat itu,” katanya.

Kelmarin, Zainuddin mencadangkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa agar semua sekolah tahfiz di negara ini ditutup kerana tidak memberikan harapan masa depan kepada generasi baharu Islam.

Mengambil contoh negara Pakistan dan India, kata Wan Salim, ramai pelajar tahfiz di negara berkenaan berjaya menjawat jawatan penting apabila tamat belajar di pusat tahfiz.

“Sebab itu saya tegaskan bahawa kurikulum itu perlu disusun semula. Contohnya, di Pakistan dan India, ada dalam kalangan pelajar tahfiz mereka berjaya menjadi jurutera dan memegang jawatan profesional,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar semua pusat tahfiz mendaftar di bawah Majlis Agama Islam Negeri memudahkan pusat tersebut dipantau dari sudut kewangan dan infrastruktur.

Berkongsi pandangan sama, Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad turut melihat kenyataan Zainuddin itu tidak wajar sebaliknya perlu memberikan cadangan lebih baik agar pusat tahfiz di negara ini dapat terus dimajukan.

“Dia (Zainuddin) sepatutnya menentang pusat-pusat pelacuran, kedai-kedai minuman keras, itu yang patut disarankan untuk ditutup dengan segera, bukannya pusat tahfiz,” katanya. – Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts