Demi segulung ijazah, 30 juzuk al-Quran

Kuala Nerus: Pepatah ada mengata ‘kasih ibu membawa ke syurga kasih ayah sepanjang masa’ dan ia amat sesuai buat ibu bapa seorang graduan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di sini, yang sanggup tinggal berjauhan selama empat tahun semata-mata memastikan anaknya dapat menggenggam segulung ijazah.

Menceritakan pengalaman semasa di UniSZA, Ahmad Faiz Ibrahim, 24, berkata, dia mengidap penyakit Cerebral Palsy sejak lahir dan memerlukan bantuan sepanjang menuntut di universiti berkenaan.

Menurut Ahmad Faiz, ibunya Zalina Mohd Kassim, 47, sanggup meninggalkan suami, Ibrahim Yunus, 52 dan adik beradik lain di Kubang Kerian, Kelantan untuk menemaninya.

Katanya, ibu hanya membawa adiknya Ali Saifullah Ibrahim, 8, untuk tinggal bersama mereka.

“Pengorbanan ibu amat besar dan tidak ternilai dengan wang ringgit sanggup bersama saya susah dan senang ketika bergelar penuntut.

“Oleh kerana saya lumpuh dan memerlukan penjagaan terutama dalam pengurusan diri, ibulah yang jadi pembantu saya, dia bersama adik sanggup tinggal bersama saya di sebuah rumah sewa berdekatan UniSZA dengan kadar sewa RM250 sebulan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Idul Ilmi Konvokesyen ke-13 UniSZA, di sini.

Ahmad Faiz berkata, selain mengikuti pengajian dalam bidang ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Usuluddin) di Falkulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), dia turut mengambil sijil tahfiz al-Quran di universiti berkenaan.

Katanya, kebiasaannya kelas al-Quran diadakan pada hari minggu menyebabkan dia dan ibu serta adik tidak dapat pulang ke Kelantan.

“Disebabkan kekangan jadual pembelajaran yang padat hingga ke hujung minggu, ayah yang juga seorang guru akan melawat kami di sini, memandangkan kami tidak dapat pulang ke kampung.

“Pada masa sama, ayah juga mengambil alih tugas ibu menjaga adik-beradik lain kerana ibu tinggal bersama saya di Terengganu,” kata anak sulung dari tujuh beradik itu.

Katanya, dia sangat bersyukur kerana dapat menamatkan pengajian di peringkat ijazah dengan cemerlang , dan lebih manis dia kini mampu menghafal 30 juzuk al-Quran.

Menurutnya, dia juga berhasrat menyambung pengajian di peringkat sarjana dalam bidang yang sama di UniSZA selepas ini.

Sementara Zalina berkata, dia menzahirkan rasa syukur kerana segala penat lelah dan pengorbanannya sepanjang empat tahun membuahkan hasil.

“Ibu mana yang tidak ingin melihat kejayaan anak-anaknya, saya berharap anak sulung saya ini berjaya dalam kehidupannya selepas ini.

“Saya bersama suami akan terus memberi sokongan kepadanya serta adik-adiknya yang lain,” katanya. – My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts