Di tangan kita ada darah

  1. Jiwa yang hidup pasti tidak akan mampu menahan genangan air mata bila melihat keadaan mangsa banjir di tanahair bertuah ini. Ibu menggigil kesejukan mendukung anak kecil di atas bumbung cuba menghalang air hujan dari menimpa anaknya hanya dengan tangannya yang lemah. Ayah menyuapkan mi segera kepada anak-anak yang comot dengan lumpur. Isteri mencari suami yang baru dinikahi seminggu lepas dan berakhir dengan melihat mayatnya yang terapung. Wanita teresak di dapur melihat segala peralatan rumahnya hancur. Dan banyak lagi … dan semua itu pastinya meninggalkan memori pahit yang tidak akan hilang sampai bila-bila.
  2. Keperitan yang kita alami menghilangkan gelak tawa dan riang ria. Keinginan bergurau akan mati. Tidur akan diganggu igauan. Segala keindahan hidup yang dinikmati tidak lagi sesuai untuk dipaparkan kepada umum. Cerita Hanafi adalah cerita yang patut ditamatkan sahaja. Mengganggu manusia yang sedang berkabung. Cerita gunung biarkan sahaja di gunung. Cerita umrah biarkan di Mekah. Kami tidak ingin ambil tahu. Simpanlah sahaja buat catatan diri. Kongsilah kembali bila masanya sesuai.
  3. Wahai pemimpin, wahai rakyat Malaysia …. Ada bayi yang sedang lapar. Ada anak kecil yang sedang ketakutan dalam gelap. Ada orang tua keuzuran yang berlumpur kerusi rodanya. Ada peluh dan keringat yang masih membasahi baju. Ada airmata yang masih mengalir bersama hujan yang tidak tahu bila akan berhenti. Dan …. ada darah yang sedang mengalir dan sudah terpalit di tangan kita semua.
  4. Tidak ada masa untuk bertolak-tolak tugasan kerana nyawa sekarang ini yang kita bicarakan. Tidak ada pentas untuk mengangkat diri kerana atas mayat-mayat manusia dan tangisan merekakah kita mahu disanjung? Tidak ada kata-kata bodoh yang patut dilontarkan kerana kebodohan hanya akan menyakitkan hati.
  5. Musibah bila berlaku adakalanya adalah ujian mutlak dari Tuhan. Tapi ada kalanya juga adalah tanda ada kecuaian yang telah berlaku. Musibah kali ini, petanda yang manakah …? Kita tidak tahu. Jika ianya ujian, kita sudah pun redha dari awal ia berlaku. Tetapi jika ia tanda kecuaian, maka ada sesuatu yang perlu dikoreksi bersama. Jika kecuaian, setiap kematian perlu ada pertanggungjawaban. Manusia adalah makhluk mulia. Menyakitinya sahaja pun sudah satu dosa, apatah lagi jika sehingga nyawanya melayang.
  6. Pengalaman sepatutnya mematangkan kita dan menjadikan kita semakin cerdik. Banjir ini bukan banjir kali pertama, bahkan telah ke sekian kalinya yang tidak terhitung. Jika dulu orang tua kita yang akalnya sederhana membina rumah di tepi sungai masih boleh selamat dari air, kenapakah manusia moden di zaman ini membuat perumahan batu di darat yang jauh tetapi tenggelam? Jika dulu orang tua kita melihat awan dan burung sudah tahu bila perlu berpindah, kenapa manusia moden di zaman kita yang punya ilmu dan alatan canggih boleh mengukur saiz bulan dan planet tidak mengkhabarkan kepada rakyat jelata bahaya yang akan mendatang?
  7. Keperihatinan menggerakkan kaki dan tangan untuk menunaikan tanggungjawab. Rasa tanggungjawab bila hilang, kematian dan tangisan manusia hanya akan jadi pemandangan biasa. Penguasa dan rakyat sudah tentu tidak sama hisab dan perhitungannya nanti.

Kita melihat mangsa dan menasihatkan mereka supaya bersabar … sedangkan sebenarnya kitalah yang sedang diuji.

Berjayakah kita melepaskan beban tanggungjawab atau kita akan berdepan dengan hisab Tuhan yang pedih dan tajam?

Wallahul Musta’an

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
19
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts