‘Dilupakan Dunia’: Ketabahan Dua Beradik OKU di Gaza yang Diuji Tanpa Belas Kasihan

Shati, Gaza – Di dalam sebuah khemah sempit dan sesak di kem pelarian Shati, Raneem Abu Al-Eish yang berusia 30 tahun memikul tanggungjawab berat menjaga dua orang kakaknya, Aseel, 51, dan Afaf, 33, yang menghidap penyakit seliak serta kelainan intelek yang menjejaskan pertuturan, kefahaman, dan tingkah laku mereka.

Ketika kanak-kanak bermain dan menjerit di luar, kedua-dua beradik itu sesekali ketawa, tetapi cepat terganggu oleh bunyi bising yang tidak terkawal. Persekitaran yang tidak menentu membuatkan mereka mudah tertekan. Menurut Raneem, walaupun dia tidak pasti tentang istilah perubatan tepat, gejala yang ditunjukkan adakalanya menyerupai sindrom Tourette.

“Mereka Dihina, Mereka Terluka”

Keluarga ini terdiri daripada tujuh orang: ibu bapa yang sudah tua dan uzur, kakak mereka yang lain bersama suami, serta Raneem dan dua beradik istimewa itu. Khemah yang mereka diami bukan sahaja panas membahang ketika siang, malah amat sejuk pada waktu malam, langsung tidak sesuai untuk mereka yang mempunyai keperluan kesihatan khas.

“Privasi hampir tidak wujud. Bila mereka perlu tukar pakaian, kami cuba minta orang lain keluar dari khemah. Tapi ia bukan mudah,” kata Raneem.

Lebih menyedihkan, Aseel dan Afaf sering menjadi mangsa ejekan dan cemuhan – terutamanya dari kanak-kanak – kerana keadaan mereka yang luar biasa. Aseel mudah gelisah apabila berdepan suasana bising atau perubahan mendadak, manakala Afaf pula mengalami pergerakan dan reaksi spontan yang sukar dikawal. Kegagalan memahami kelainan ini menyebabkan mereka terus dihina.

“Setiap kali mereka gunakan tandas awam, mereka dipandang, diketawakan. Ia benar-benar melukakan,” luah Raneem.

Pelindung Mereka Dilarikan

Enam bulan lalu, mereka kehilangan satu-satunya pelindung mereka – adik lelaki mereka, Mohammad, 22 tahun, yang ditahan oleh tentera Israel ketika mendapatkan rawatan di Hospital Kamal Adwan akibat kecederaan tangan. Sejak itu, keluarga langsung tidak tahu apa-apa tentang keadaannya.

Mohammad selama ini bertanggungjawab mendapatkan ubat, menguruskan rawatan hospital dan berurusan dengan agensi bantuan. Tanpanya, keluarga ini hilang tempat bergantung. “Dia pelindung mereka. Sekarang kami benar-benar keseorangan,” kata Raneem dengan suara tersekat-sekat.

Ancaman Kelaparan dan Kekurangan Perubatan

Sejak rumah mereka di Kem Jabalia musnah lapan bulan lalu, keluarga ini telah berpindah dari satu tempat ke tempat lain – dari rumah saudara ke sekolah PBB yang sesak, dan kini ke khemah yang penuh sesak tanpa kemudahan asas. Tiada bekalan makanan tetap, apatah lagi rawatan perubatan khusus.

Lebih parah, Aseel dan Afaf memerlukan diet khas tanpa gluten kerana penyakit seliak yang mereka hidapi. Tetapi di Gaza yang kebuluran, roti gandum – makanan ruji – menjadi satu-satunya pilihan, dan ia sangat berbahaya bagi mereka. Tanpa tepung bebas gluten, mereka terdedah kepada kekurangan zat teruk.

Walaupun 80 tan tepung bebas gluten pernah dibawa masuk oleh agensi bantuan, hanya sebahagian kecil yang sampai kepada keluarga seperti mereka akibat halangan di sempadan, jalan rosak dan sistem agihan yang lumpuh. “Apa yang sampai terlalu mahal atau sudah terlambat,” kata Raneem.

Dilupakan Dalam Semua Sudut

Sebelum perang, Aseel dan Afaf mendapat rawatan tetap di Hospital Kamal Adwan – terapi, ubat dan pemantauan diet. Kini semuanya musnah. Menurut pakar psikologi Dr Sara al-Wahidi, peperangan telah memperhebatkan pengasingan sosial dan pengabaian terhadap golongan OKU di Gaza.

Laporan tahun 2025 menganggarkan sekurang-kurangnya 15 peratus penduduk pelarian di Gaza adalah orang kelainan upaya. Mereka terpaksa bertarung dalam persekitaran yang langsung tidak mesra OKU – tanpa kemudahan asas seperti tanjakan, tandas khas atau akses yang mudah.

Raneem juga berdepan cabaran sosial. “Saya cuba terangkan pada jiran-jiran, jumpa orang tua kampung, mohon mereka faham keadaan kakak-kakak saya. Tapi mereka masih dihina, dicemuh,” katanya sayu.

Ada kalanya, beberapa jiran yang lebih prihatin menjemput Aseel dan Afaf ke khemah mereka – saat-saat singkat yang memberi sedikit kelegaan dalam realiti kehidupan yang perit dan tidak menentu.

“Kami berpindah dari Jabalia ke barat, kemudian ke Gaza City. Setiap kali, kami kena mula semula – jelaskan tentang keadaan mereka, mohon masyarakat bersabar,” cerita Raneem.

“Mereka bukan sekadar mangsa perang. Mereka manusia – yang paling terdedah, yang telah dilupakan dunia.”

Sumber : AL Jazeera

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts