Haram gurauan mempermainkan agama

KANGAR: Hukum gurauan berlebihan terutama apabila mempermainkan agama Islam termasuk dari sudut kepercayaan, syiar dan amalan adalah haram, mendatangkan dosa serta mampu membawa ketegangan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, perbuatan menghina Islam secara terbuka dalam masyarakat majoriti muslim hanya akan membawa kepada ketegangan dan mengakibatkan sesuatu yang tidak ingini berlaku.about:blank

“Umat Islam mungkin ramai yang pendosa tetapi mereka tidak rela agama mereka dihina ataupun dipersendakan. Jika mereka tak mahu amalkan Islam, itu antara mereka dengan Allah SWT. Jika mereka mencabar dan menghina Islam secara terbuka, itu akan menjadi provokasi kepada masyarakat muslim dan akibatnya mungkin buruk. Ini amaran saya kepada pihak yang terlibat,” katanya.

Sebelum ini, tular video berdurasi 54 saat menunjukkan seorang wanita tampil berpakaian sopan dalam satu majlis di sebuah kelab komedi di TTDI.

Dalam video berkenaan, wanita itu mendakwa dirinya beragama Islam serta menghafal 15 juzuk al-Quran sebelum secara tiba-tiba dia menanggalkan baju kurung serta tudung hingga mendedahkan auratnya.

Ekoran itu, wanita terbabit didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menghina Islam ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi, bulan lalu.

Mohd. Asri berkata, gurauan secara umumnya adalah dibenarkan namun boleh menjadi haram sekiranya memperlekeh atau merendahkan orang lain dalam perkara atau bentuk tidak wajar.

Katanya, ia juga menjadi haram apabila mereka perkara tidak wujud yang membawa keburukan serta mendatangkan mudarat kepada pihak lain dari segi fizikal, emosi, maruah atau ketenteraman individu mahupun masyarakat.

“Selain itu, gurauan juga haram apabila ada unsur perlakuan maksiat, dosa dan kemungkaran serta bahasa dan perlakuan tidak wajar mengikut uruf. Fatwa berkenaan gurauan itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Perlis kali ke-53/2021 dan diperakukan dalam mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Negeri Perlis pada 14 September 2021,” jelasnya.

Tambah Mohd. Asri, gurauan masa kini dalam bentuk prank, karikatur, satira, parodi, komedi dan seumpamanya dibenarkan sekiranya tidak bercanggah dengan syariat.

“Jika ia bertujuan membawa kebaikan dan dilakukan dengan cara baik untuk menjalankan hubungan lebih akrab, pendidikan berkesan atau segala maksud baik, ia boleh mendatangkan pahala. Masyarakat dinasihatkan agar mementingkan kesederhanaan, keseimbangan dan kesesuaian sebagaimana dianjurkan dalam agama termasuk dalam permasalahan gurauan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, kelab-kelab hiburan dan komedi di negara ini masih boleh beroperasi dan tidak perlu ditutup, namun satu garis panduan dan kawalan tertentu perlu dilaksanakan oleh pihak berkuasa supaya pemilik dan mereka yang berkunjung ke situ sentiasa memelihara batas-batas moral dan agama.

Menurutnya, pihak-pihak berkuasa agama Islam seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan jabatan-jabatan agama perlu menasihati masyarakat supaya sentiasa menghormati kesucian agama Islam dan tidak dijadikan bahan mainan atau gurauan.

“Banyak lagi perkara lain boleh dijadikan bahan jenaka, kenapa agama pula yang dipilih untuk tujuan itu. Jika penganut agama Islam sendiri yang mempersendakan agamanya, maka bagaimana orang bukan Islam boleh menghormatinya? Semoga kedudukan agama Islam sentiasa dimartabatkan sebagai agama rasmi negara dan dihormati oleh seluruh warganegara sama ada yang beragama Islam atau bukan Islam,” katanya.

Menurut Wan Salim, sebagai agama yang sesuai dengan fitrah manusia, Islam tidak menentang hiburan termasuk komedi atau lawak jenaka, malah tidak menghendaki penganutnya sentiasa serius sehingga tiada ruang untuk bersantai dan berekreasi.

Namun tambah beliau, semua pihak perlu faham bahawa hiburan dan apa jua jenisnya termasuk komedi mempunyai had batasannya.

”Bukan kesemua perkara boleh dijadikan bahan hiburan dan jenaka kerana soal agama Islam sama ada akidah keimanannya, ibadat dan hukum-hakamnya tidak wajar dijadikan bahan jenaka atau komedi,” katanya. – UTUSAN

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts