Ramadhan bulan tebus maruah Islam

 

Dalam sejarah Islam terdapat beberapa peperangan yang berlaku di dalam bulan Ramadhan. Sekadar memberi contoh Peperangan Badar berlaku pada 2 Hijrah, Peperangan Khandaq berlaku pada 5 Hijrah, Pembukaan kota Mekah berlaku pada 8 Hijrah di samping peperangan lain seperti Pembebasan Sepanyol oleh Tariq bin Ziyad, kemenangan Salahuddin Al-Ayyubi di Palestin dan lain-lain lagi.

Semua peperangan ini telah dimenangi oleh umat Islam dengan pertolongan Allah setelah umat Islam memenuhi kriteria yang melayakkan mereka mendapat pertolongan daripada Allah SWT.

Sudah tentu kemuliaan Ramadhan dan ibadat-ibadat yang terkandung di dalamnya telah menyediakan barisan mujahidin yang kental jiwa mereka, penuh dengan ketaqwaan sehingga mereka telah menang dalam pusingan siri pertembungan antara haq dan batil.

Walaupun tidak seimbang dari sudut kelengkapan tentera namun kekuatan aqidah dan kesatuan ummah memainkan peranan penting di dalam menentukan kemenangan umat Islam.

Sebagai contoh peperangan Badar telah melibatkan tentera Islam sebanyak 313 anggota berhadapan dengan 1,000 tentara musyrikin Mekah yang lengkap bersenjata.

Dalam perang ini, 70 orang tentera musyrikin terbunuh, 70 lagi ditawan. Selebihnya melarikan diri. Tiada seorang munafik pun yang turut serta di dalam peperangan ini.

Ini dibuktikan dengan pengiktirafan Nabi SAW terhadap mereka yang ikut serta di dalam peperangan Badar. Dalam riwayat Imam Ahmad dengan sanad yang sesuai dengan syarat Imam Muslim dari hadith Jabir, ditegaskan bahwa Rasulullah SAW bersabda: Yang ikut serta dalam Perang Badar tidak akan masuk neraka .

Namun malangnya arus deras “Islamofobia” turut melanda negara ini apabila ada penulis muslim yang mengaitkan bulan Ramadhan merupakan bulan di mana Rasulullah SAW menghantar “isyarat” agar melakukan peperangan dan keganasan dan meminta orang ramai bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang bakal berlaku, dengan membawa bukti beberapa kejadian pengeboman yang berlaku di dalam bulan Ramadhan tahun ini.

Pemahaman sebegini hanya memomokkan seolah-olah Islam itu ganas dan Ramadhan merupakan kem merekrut pengganas.

Jika ditinjau dari sudut sejarah, siri-siri peperangan yang berlaku di dalam bulan Ramadhan adalah untuk mengembalikan hak-hak umat Islam yang telah dirampas dan mempertahankan maruah Islam, memberi pengajaran kepada pihak yang mengkhianati perjanjian dan meruntuhkan tembok pemisah antara hidayah Allah yang hendak di sampaikan kepada penduduk setempat.

Peperangan Badar berlaku pada asalnya Nabi SAW bukan bermaksud untuk berperang.

Nabi SAW cuma mahu mengambil semula harta benda umat Islam yang diambil oleh musyrik Mekah ketika mereka berhijrah ke Madinah kerana di Mekah, penguasa Mekah tidak membenarkan umat Islam melaksanakan hak asasi mereka sebagai muslim yang hanya mempertuhankan Allah SWT.

Pembukaan kota Mekah berlaku apabila gencatan senjata selama 10 tahun melalui Perjanjian Hudaybiyah antara Quraisy Mekah dengan Nabi SAW telah dicabuli oleh sekutu Quraisy, Bani Bakr apabila mereka menyerang Bani Khuza’ah. Bahkan Mekah itu sendiri adalah kampung halaman mereka.

Semuanya melibatkan hak dan maruah umat Islam. Umat Islam di Malaysia sewajarnya melihat maruah Islam dan umatnya sebagai sinonim kepada Ramadhan dan pakej ibadatnya.

Melaksanakan puasa dengan penuh penghayatan, sama-sama mengimarahkan masjid dan surau saban malam, menuturkan bahasa yang baik-baik, merasa sensitif terhadap penderitaan saudara seaqidah di serata pelusuk dunia dan tegas kepada mana-mana pihak dan individu yang mencabar maruah umat Islam dengan tidak menghormati Islam dan orang Islam sepertimana yang telah diperuntukkan oleh Perlembagaan Negara.

Saban tahun maruah umat Islam di negara ini diuji tahap sensititi dan perpaduan mereka dalam menghadapi provokasi yang menyentuh maruah umat Islam.

Contohnya muka depan sebuah akhbar yang memuatkan tajuk berita ‘Malaysian terrorist leader’, dalam masa yang sama memuatkan gambar umat Islam menunaikan solat terawih, dilihat seolah-olah cuba menggambarkan Islam sebagai agama keganasan.

Pada Ogos 2011, pihak yang sama menimbulkan kontroversi kerana menyiarkan juadah babi panggang sebagai salah satu hidangan. Ia diselangi dengan berbagai-bagai provokasi lagi yang berlaku.

Di samping Ramadhan sebagai bulan ibadah tetapi ia juga bulan menebus maruah umat Islam.

Maruah kita sebagai umat Islam di Malaysia diukur sejauh mana kita dapat menentukan agenda kita sendiri tanpa dipengaruhi oleh orang lain, kita menjadi umat contoh kepada umat yang lain, merasa mulia dengan Islam kerana Islamlah yang mengangkat kemuliaan kita. Firman Allah SWT:

“Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu). (Ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang-orang yang beriman (untuk menguatkan semangat mereka): “Tidakkah cukup bagi kamu, bahawa Allah membantu kamu dengan tiga ribu tentera dari malaikat yang diturunkan?, Bahkan (mencukupi. Dalam pada itu) jika kamu bersabar dan bertaqwa, dan mereka (musuh) datang menyerang kamu dengan serta-merta, nescaya Allah membantu kamu dengan lima ribu malaikat yang bertanda masing-masing.” [ Aali Imraan: 123-125 ]

Sahibus Samahah Ustaz Zamri Hashim
Timbalan Mufti Negeri Perak

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts