Haram mempromosi kemungkaran

 

Ramadhan mengingat kita sejarah pertembungan yang sangat panjang antara kebenaran dan kebatilan. Pertembungan ini seusia tuanya Nabi Adam A.S ketika diciptakan oleh Allah SWT menghadapi bangkangan iblis di dalam syurga dan pertembungan itu diwarisi sehingga Hari Kiamat.

Nanti di akhirat masing-masing akan mendapat balasan yang setimpal. Mereka yang tetap istiqamah berada di dalam kem Allah, berjuang habis-habisan memenangkan kehendak Allah, sanggup mengorban harta dan nyawa demi Allah maka ganjarannya adalah syurga.

Sebaliknya mereka yang bernaung di dalam kem iblis pun berjuang mati-matian agar misi membangkang ketetapan Allah SWT tetap akan dibalas oleh Allah dengan ganjaran yang setimpal iaitu disediakan tempat di dalam api neraka.

Kehendak-kehendak Allah mudah diketahui melalui ayat-ayat al-Quran dengan pemahaman yang betul dan hadis-hadis yang sahih sepertimana yang disampaikan oleh Rasulullah SAW sebagaimana mudahnya kita mengenal kehendak-kehendak iblis iaitu ikut sahaja hawa nafsu tanpa tapisan iman kerana hawa nafsu adalah tentera yang paling taat kepada perintah-perintah iblis.

Allah SWT telah memberi peluang dan membantu manusia untuk mengendalikan hawa nafsu untuk memenangkan kehendak-kehendak Allah ke atas kehendak-kehendak iblis. Namun malangnya tidak sedikit di kalangan manusia yang gagal. Malah keliru dan secara tidak disedari menjadi sukarelawan kem iblis yang mempromosi kejahatan di kalangan hamba-hamba Allah SWT yang berusaha untuk mentaati Allah SWT.

Sebagai contohnya ialah, jelas-jelas di dalam al Quran Allah mengeji perbuatan liwat atau homoseksual melalui firmanNya: Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: “Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu? “Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas”. (al-A’raf: 80-81)

Rasulullah SAW bersabda: “…di laknat orang yang menyetubuhi binatang dan dilaknat orang yang melakukan perbuatan keji seperti umat Nabi Lut.” (HR Ahmad)

Namun Ramadhan tahun ini umat Islam di Malaysia dikejutkan dengan program iftar golongan ini dan mempromosikannya secara terang-terangan. Sudah rasa hilang malu kepada Allah dan sanggup mengiklankan mereka adalah dari golongan yang membuat sesuatu yang dilarang oleh Allah menerusi al-Quran secara nyata.

Begitu juga Allah SWT mengharamkan lesbian melalui firmanNya: Dan mereka yang menjaga kehormatannya, Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela, Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas. (Mukminun: 5-7)

Rasulullah SAW bersabda: Hubungan jenis sesama wanita (al-sihaaq) adalah zina sesama mereka. (HR al-Tobroni yang berstatus hasan)

Golongan ini di Malaysia juga semakin berani menonojolkan diri bahkan salah seorang ikon dalam kumpulan ini mengiklankan bahawa dia adalah seorang “lesbian yang beriman”. Ia merupakan satu promosi halus untuk mengajak masyarakat Islam menerima perbuatan keji dan terkutuk ini sedangkan ia amalan yang dilarang di dalam Islam.

Allah SWT jelas melarang mengahwini orang-orang musyrik menerusi firman Allah SWT: Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam); dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam) dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. (Yang demikian ialah kerana orang-orang kafir itu mengajak ke neraka sedang Allah mengajak ke Syurga dan memberi keampunan dengan izinNya. Dan Allah menjelaskan ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran (daripadanya). (Al-Baqarah: 221)

Berselindung atas nama hak asasi manusia untuk mewajarkan perbuatan-perbuatan yang jelas dilarang oleh Allah SWT adalah promosi yang dilarang oleh Allah SWT semata-mata bertujuan meramaikan pihak yang akan menyebelahi kem iblis dalam pertembungan klasik ini.

Firman Allah SWT:
Sesungguhnya orang-orang yang suka mempromosi fahisyah (perkara-perkara keji) di dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian). (Al-Nur: 19)

Sahibus Samahah Ustaz Zamri Hashim
Timbalan Mufti Negeri Perak

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts