Hasrat PM supaya cetak,edar satu juta Al-Quran disegerakan

KUALA LUMPUR: Hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam untuk Malaysia mengeluarkan satu juta al-Quran untuk diedarkan segera di seluruh dunia sebagai tindakan balas terhadap insiden membakar naskhah al-Quran di Sweden, akan disegerakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata bagi tujuan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim) akan mengadakan perbincangan.

“Selain itu, mereka juga akan bekerjasama dengan Pejabat Perdana Menteri bagi tujuan penyelarasan pengedaran naskhah al-Quran berkenaan,”  katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Walimatul Urus Perdana anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Dataran Merdeka di sini hari ini.

Mohd Na’im berkata selain sebagai tindak balas terhadap insiden itu, pengedaran naskhah al-Quran terbitan Yayasan Restu itu juga memberi peluang kepada masyarakat dunia untuk menghayati kandungan al-Quran memandangkan ia turut diterbitkan tafsirannya dalam pelbagai terjemahan bahasa.

“Apabila tafsiran dibuat dalam pelbagai bahasa, kita harap al-Quran ini bukan sekadar dibaca tetapi juga kandungannya dapat difahami dengan lebih baik…untuk itu, kita akan usahakan agar percetakan dan edarannya dapat dipercepat sebagaimana dihasratkan oleh Perdana Menteri,” katanya.

Yayasan Restu terkenal dengan penghasilan mushaf al-Quran dan penerbitan berkaitan al-Quran dengan reka bentuk eksklusif.

Semalam, Anwar berkata Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ahli politik pelampau kanan Sweden-Denmark, Rasmus Paludan membakar naskhah al-Quran di Sweden baru-baru ini, selain Anwar menegaskan ikhtiar yang akan dilaksanakan Yayasan Restu itu ialah cara paling berfaedah untuk menjawab kebiadaban yang dilakukan terhadap kitab suci itu.

Terdahulu, Majlis Walimatul Urus Perdana yang menyaksikan 100 pasangan pengantin terdiri daripada asnaf fakir, miskin dan mualaf diraikan serentak, turut dihadiri Pengerusi MAIWP Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar. — AlHijrah Online

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts