Ibn Firnas: Manusia pertama meluncur di udara

 

KEBANYAKAN orang mengenali adik-beradik Wright iaitu Orville Wright dan Wilbur Wright sebagai pencipta kapal terbang.

Ternyata silap tanggapan itu kerana ilmuan Islam terulung, Abu al-Qasim ‘Abbas Ibn Firnas Ibn Wardus atau lebih dikenali sebagai ‘Abbas Ibn Firnas merupakan perintis awal dalam bidang penerbangan.

Malah, tokoh itu merupakan orang pertama mempelopori bidang berkenaan. Ia turut diakui oleh cendekiawan Barat, Philip K Hitti yang mempelajari dunia Arab.

Dalam bukunya bertajuk History of Arabs: From the Earliest Times to the Presents, Philip menyatakan: “Ibn Firnas merupakan individu pertama dalam sejarah melakukan percubaan saintifik untuk terbang.”

Figura itu dilahirkan pada 810 Masihi di sebuah kawasan yang kini dikenali sebagai Ronda, Sepanyol.

Keghairahan beliau untuk menimba ilmu pengetahuan membuatkan tokoh Islam itu sanggup berhijrah meninggalkan kampung halamannya.

Beliau berpindah ke Cordoba, Sepanyol selain pergi ke Baghdad, Iraq sebelum kembali ke rumahnya.

Seperti yang diketahui umum, bandar Baghdad memang terkenal dengan pusat ilmu pengetahuan iaitu Dar al-Hikmah. Pusat itu telah melahirkan ramai ilmuan Islam iaitu sarjana, saintis, penulis, penyair dan artis.

Di Iraq, ‘Abbas Ibn Firnas mempelajari pelbagai ilmu dan menguasai banyak kajian seperti astrologi, astronomi, kejuruteraan dan muzik.

Malah, beliau dikenali sebagai penyair yang hebat. Namun, nama beliau lebih masyhur dengan penciptaan alat peluncur terbangnya.

 

 

Cipta alat peluncur terbang

Ini kerana alat peluncur terbang pertama yang direkanya merupakan objek buatan manusia pertama yang telah menerbangkan manusia di udara.

Pendek kata, ‘Abbas Ibn Firnas bukan sahaja orang pertama yang mencipta alat terbang, tetapi juga menjadi juruterbang yang pertama.

Minat beliau dalam bidang aeronautik timbul selepas mendapat inspirasi daripada seorang lelaki bernama Armen Firman. Lelaki itu pernah membuat satu alat diperbuat daripada sutera dan diperkuat dengan batang kayu, sebelum meluncur dari tempat tinggi. Malangnya percubaannya untuk terbang gagal.

Bertitik tolak dari situ, ‘Abbas Ibn Firnas kemudian mencipta alat luncur terbangnya sendiri pada 875 Masihi. Ia diperbuat daripada sutera dan bulu helang.

Untuk menerbangkannya, individu yang mengendalikannya perlu ada di tempat yang lebih tinggi untuk berlepas, meluncur sambil mengepak sayap dengan tangannya.

Beliau memang berusaha gigih untuk terbang. Tanpa jemu, beliau menambah baik dan mereka bentuk semula struktur alat terbangnya dari semasa ke semasa.

Kemalangan
Pada usia 65 tahun, ‘Abbas Ibn Firnas menguji alat terbang rekaannya di hadapan sejumlah penonton di Jabal al-‘Arus, Rusafa berhampiran Cordoba, Sepanyol.

Beliau berjaya meluncur di udara lebih daripada 10 minit sebelum berlaku pendaratan terburuk buat dirinya.

Akibatnya, beliau cedera parah dan salah satu tulang belakangnya patah. Insiden itu menghalang beliau untuk membuat percubaan lagi.

Bagaimanapun, kemalangan itu membuatkan beliau sedar bahawa struktur akhir ekor merupakan bahagian penting untuk pendaratan. Ia sama seperti cara burung menggunakan ekornya untuk mengurangkan kelajuan. Struktur itu dinamakan sebagai ornithopter oleh da Vinci.

Namun, kekangan kesihatan membuatkan beliau tidak mampu menciptakan pesawat lain dengan reka bentuk yang sempurna.

Pada tahun 887 Masihi iaitu 12 tahun selepas peristiwa hitam itu, beliau meninggal dunia pada usia 77 tahun. Menurut satu pandangan lain, Abbas Ibn Firnas meninggal pada usianya 80 tahun.

Apapun, idea tokoh ilmuan itu begitu dinamik sehiggakan ciptaan alat terbangnya membuka pintu untuk kajian penerbangan yang memberi impak besar kepada dunia.

Malah, konsep struktur ornithopter ciptaan ‘Abbas Ibn Firnas diakui menjadi komponen pesawat penting dalam mengekalkan kestabilan semasa mendarat. Malangnya, luncuran beliau tidak mempunyai ekor di belakangnya penerbangan berakhir dengan tragis.

(Sumber: ResearchGate) – Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts