IPeguam sokong penubuhan jawatankuasa khas memperkasa Mahkamah Syariah

 

IPeguam menyambut baik cadangan yang dikemukakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas bertujuan untuk meneliti dan merangka usaha memperkasakan Mahkamah Syariah di negara kita.

Inisiatif yang holistik ini selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong ke-14, Tuanku Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V agar institusi kehakiman dan perundangan syariah di Malaysia dapat diperkukuhkan.

ZAHIRKAN KOMITMEN, KEMBALIKAN KEYAKINAN

IPeguam berpendapat bahawa penubuhan jawatankuasa khas ini dapat mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap usaha kerajaan serta pihak-pihak berkepentingan untuk memartabatkan undang-undang Islam. Hal ini bertepatan dengan kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan menurut Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Jawatankuasa khas tersebut turut dilaporkan akan merancang penambahbaikan dari sudut meningkatkan Mahkamah Syariah daripada 3 peringkat kepada 5 peringkat yang mempunyai mahkamah tengah dan Mahkamah Tinggi Rayuan atau digelar sebagai Majlis Rayuan Syariah, sama seperti struktur Mahkamah Sivil.
Tambahan pula, jawatankuasa tersebut juga dipertanggungjawabkan untuk meningkatkan jumlah kakitangan di Mahkamah Syariah yang disifatkan sebagai penambahbaikan dari sudut pentadbiran dan penjawatan.

KEISTIMEWAAN ISLAM DAN SYARIAH DI MALAYSIA

Berbanding dengan negara sekular India, tribunal syariah yang mengurus tadbir hal ehwal persendirian, harta pusaka dan kekeluargaan umat Islam di India tidak menikmati kuasa undang-undang atau “force of law”, apatah lagi diiktiraf oleh Perlembagaan, undang-undang dan institusi kehakiman sivil mereka dan boleh di”override” oleh mahkamah sivil.

Sistem perundangan ini amat berbeza dengan Malaysia yang bukan sahaja mengiktiraf Islam sebagai agama bagi Persekutuan, bahkan Mahkamah Syariah selaku badan kehakiman mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan dan membuat keputusan berdasarkan undang-undang syariah bertepatan dengan ajaran Islam.

IPeguam menegaskan bahawa Mahkamah Syariah di negara kita mempunyai kedudukan dalam sistem dwi-perundangan yang telah sekian lama wujud dan dimeterai sejak kemerdekaan pada tahun 1957 dan bidang kuasa Mahkamah Syariah tidak boleh dicampur tangan oleh mahkamah sivil yang mempunyai undang-undang atau nilai-nilai yang tidak sesuai atau bercanggah dengan Islam berdasarkan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan.

TAMBAHBAIK ENAKMEN TATACARA JENAYAH SYARIAH

IPeguam turut berpendirian bahawa pemerkasaan institusi dan bidang kuasa Mahkamah Syariah, penguatkuasaan dan tatacara undang-undang Syariah menurut Enakmen Jenayah Syariah negeri-negeri juga wajar diberikan perhatian.

Memetik kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, pindaan yang dibuat terhadap Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Kelantan 2002 yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 12 Julai 2017 yang lalu bertujuan untuk “membantu hakim syariah, pendakwa syarie, peguam syariah, penguat kuasa agama dalam menjalankan prosedur kes jenayah syariah dengan lebih teratur dan seragam”.

IPeguam amat bersetuju dengan pindaan yang baharu itu melibatkan khidmat masyarakat atau “community service” sebagai salah satu bentuk hukuman yang boleh disabitkan ke atas pesalah jenayah syariah. Alternatif bersifat memperbaiki dan mendidik akhlak dan perilaku umat Islam yang telah melakukan perkara yang dianggap melanggar ajaran Islam ini dapat menghindari sentiment, prejudis atau tanggapan negatif masyarakat terhadap pesalah jenayah syariah. Bahkan, pesalah jenayah syariah tidak akan mengalami trauma atau stigma berpanjangan akibat daripada hukuman yang dikenakan.

CERMINAN REFORMASI HOLISTIK

Seperti sedia maklum, Rang Undang-Undang bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau lebih dikenali sebagai RUU355, adalah suatu Akta Parlimen yang mengawal keseragaman antara institusi Mahkamah Syariah di setiap negeri dan menjamin keadilan bagi kerajaan Negeri serta umat Islam yang tertakluk kepada Enakmen Jenayah Syariah negeri-negeri.

Usaha memperkasakan institusi Mahkamah Syariah, bidang kuasa, hal ehwal pentadbiran dan tatacara perlaksanaan ini, ditambah dengan peningkatan bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan hukuman melalui RUU355, adalah secara keseluruhannya usaha yang mencerminkan reformasi institusi Mahkamah Syariah dan undang-undang Syariah itu sendiri dan wajar disokong umat Islam tanpa mengira latar belakang politik mahupun organisasi.

KEKANG ANCAMAN LIBERALISME

IPeguam turut mengingatkan pihak kerajaan serta jabatan dan agensi agama Islam agar sentiasa peka dan mengambil pendirian yang tegas apabila berhadapan dengan ancaman fahaman liberalisme dan pluralisme agama yang kian menular.

Aktivis serta pertubuhan liberal sekular seperti Sisters in Islam, Lawyers for Liberty, Bebas dan lain-lain semakin lantang mempertikaikan bidang kuasa Jabatan agama Islam negeri sehingga mengganggu penguatkuasaan Enakmen Jenayah Syariah seperti saman terhadap Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) serta mencabar keperlembagaan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Negeri Selangor berhubung fahaman liberalisme dan pluralisme agama.

LIBATKAN NGI, KUKUH PERPADUAN

IPeguam juga menyarankan agar jawatankuasa khas ini dibuka keanggotaannya juga kepada badan-badan Islam bukan kerajaan (NGI) serta jabatan dan agensi agama Islam agar perbincangan dan perancangan dapat dilakukan secara teliti dan berakar umbi. Ini bertujuan untuk mencari jalan penyelesaian yang harmoni disamping dapat mengeratkan ukhuwah dan kesatuan ummah melibatkan pihak kerajaan, jabatan dan agensi serta NGI, terutamanya apabila berhadapan dengan ancaman dan fahaman yang terpesong daripada aqidah dan ajaran Islam.

Pihak kerajaan juga dinasihati agar berhati-hati dan menapis sebarang lobi, tuntutan atau desakan oleh pertubuhan dan aktivis liberal dan sekular yang sentiasa mencari peluang untuk menghakis peranan dan pengaruh ajaran dan nilai Islam dalam segenap aspek kehidupan.

Oleh yang demikian, inisiatif yang menyeluruh oleh kerajaan ini wajar diterima dan disokong oleh rakyat Malaysia khususnya umat Islam dan perkembangan yang baik ini wajar dipuji dan diteruskan.

 

 

Muhammad Luttfi Abdul Khalid
Pengerusi Ikatan Peguam-Peguam Muslim malaysia
(IPeguam)

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts