Islam akan jatuh apabila bersekongkol dengan musuh

 

KUALA LUMPUR – Umat Islam umumnya dan NGO Islam khususnya diingatkan supaya tidak bersekongkol dengan musuh bagi mengelakkan kejatuhan Islam seperti yang telah berlaku dalam sejarah.

Naib Presiden Isma, Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, peristiwa sejarah seperti kejatuhan Andalus dan Baghdad perlu diambil pengajaran agar ia tidak berulang.

“Belajarlah daripada sejarah Andalus, Baghdad, apabila orang Islam mula bersekongkol dengan musuh Allah, maka pada masa itu Islam akan jatuh.

“Walaupun kita solat, walaupun orang mengerjakan umrah setiap minggu, walaupun kita berselawat dan seumpamanya, sekali orang Islam memberikan ruang kepada orang bukan Islam, maka pada masa itu Islam akan jatuh.

“Ini peranan yang perlu NGO mainkan kalau sekiranya parti politik tidak mainkan,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada forum ‘Hala Tuju NGO Islam’ anjuran Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs (ACCIN) di bangunan Perkim di sini semalam.

Ustaz Fauzi memetik kata-kata seorang tokoh ulama pada kurun kelima iaitu Abu Al-Wafa’ ibnu Aqil yang mengatakan jika kita ingin mengukur kekuatan umat pada satu zaman, jangan sekali-kali melihat pada sesak dan ramainya umat di masjid-masjid, dan jangan lihat pada kuatnya laungan mereka di Padang Arafah, tetapi lihatlah pada sama ada mereka bersekongkol atau tidak dengan musuh syariat.

Beliau turut menegur NGO yang menyokong pihak yang mahu Perlembagaan diubah.

“Sebahagian parti bersekongkol dengan DAP, sebahagian parti bersekongkol dengan MCA, jadi apa untung umat Islam apabila NGO juga mengambil sikap yang sama menyokong persekongkolan tersebut? Apa untungnya kepada umat Islam?,” katanya.

Justeru katanya, usaha menyedarkan masyarakat agar tidak bersekongkol dengan musuh adalah satu kelompongan yang perlu diisi.

“Kelompongan ini kalau tidak diisi, segala kebaikan yang dibawa oleh pendakwah-pendakwah kita yang menghidupkan taalim, menghidupkan kuliah, menghidupkan masjid, semuanya akan berakhir dalam sekelip mata,” katanya.

Turut menjadi panelis forum ialah Presiden Ikram, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad dan Ahli Jawatankuasa Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Dr Saupi Man.

 

 

Dalam forum sama, Ustaz Fauzi turut mengajak semua NGO supaya berkempen slogan ‘Undilah Calon Muslim Berwibawa’ pada pilihan raya akan datang bagi memastikan majoriti kerusi Parlimen dimenangi oleh calon-calon beragama Islam demi kedaulatan Islam.

“Kita bercakap soal hudud, RUU355, apa yang menjadi halangan? Halangannya adalah Parlimen. Kenapa menjadi halangan. Kerana mereka tak bersetuju. Siapa mereka (yang tak bersetuju)? Mereka dilantik oleh kita.

“Kelonggaran orang Islam dalam masalah tahaluf siyasi satu ketika dahulu, memberi satu tamparan balik kepada kita. Kita yang menaikkan mereka jadi calon, kita yang mengangkat bendera mereka, orang Islam sendiri yang berkempen dan memberikan tabrir, memberikan ayat Al-Quran dan hadis, tapi akhirnya apa yang berlaku? Apabila mereka berkata kami tolak RUU355, kita terpaksa akur kerana mereka duduk di Parlimen.

“Memastikan majoriti Parlimen adalah di kalangan muslim yang faham adalah tanggungjawab semua orang termasuk NGO, bukan parti politik sahaja.

“Kita ada hak dari segi Perlembagaan untuk berkempen. Kita tak boleh bertanding, tapi berkempen siapa boleh halang. Berkempen untuk memenangkan orang Islam sebagai calon Parlimen adalah merupakan satu kewajiban syarie.

“Berlonggar dalam masalah ini akan mengundang musibah yang akan mendapat laknat daripada anak cucu kita pada satu hari kelak,” katanya. – Ismaweb

www.indahnnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts