Islam pastikan teknologi AI hindari manusia daripada kehancuran

Apakah yang ‘terbuat’ atau artificial dalam teknologi kecerdasan buatan (AI)? Berasal daripada artifice dan sinonim dengan muslihat, helah dan pandai tukang, asal perkataan Latin artificium daripada kata sifat ini menyiratkan kerja tangan manusia diilhamkan melalui interaksi dengan alam.

AI lahir daripada interaksi manusia dengan perkara terhampir dengan hakikat kejadian dirinya sendiri, iaitu akal fikiran.

Kelompok berkecimpung dalam bidang AI berusaha terus menerus untuk menjadikannya supaya boleh, memetik perintis Herbert Simon pada 1965, “melakukan apa-apa pekerjaan dapat dilakukan seorang manusia.”

Pandangan Islami mengaku benarkan bahawa teknologi berdaya cipta berasal daripada ilmu anbiya’. Dalam Surah Hud ayat 37, kisah Nabi Nuh AS melaksanakan pembinaan (sin’ah) Tabut bawah bimbingan dan pemeliharaan Allah SWT sebelum berlakunya Banjir Besar mengungkapkan dimensi kerohanian dalam teknologi.

Dalam konteks ayat berkenaan, teknologi menjadi wadah pelaksanaan Kehendak Ilahi dan dalam proses itu, alat untuk menyelamatkan orang beriman daripada bala bencana dahsyat.

Allah SWT menegaskan sedang manusia bertanggungjawab atas hasil pilihan dan kerja tangannya sendiri (Surah al-Rum ayat 41), tidak dapat dinafikan Tuhanlah yang memberi ilham kepadanya (Surah al-Shams ayat 8).

Namun, terdapat golongan yang rugi daripada hasil kerja (sun’a) mereka apabila menafikan Tuhan dan pertemuan dengan-Nya pada Hari Akhirat (Surah al-Kahf ayat 104).

Menurut Imam Fakhr al-Din al-Razi (wafat 1210) dalam karyanya al-Tafsir al-Kabir, mereka ialah orang yang digambarkan di bahagian awal Surah al-Kahfi kehilangan asas metafizik untuk tindakan bermoral, yang terserlah apabila mereka menunjuk lagak dengan modal kekayaan harta benda dan pengikut mereka terhadap golongan fakir dan miskin dalam kalangan umat Islam.

Golongan sedemikian cenderung mencetuskan kezaliman apabila mereka turut serta dalam merangka polisi merosakkan sumber pekerjaan dan mata pencarian baik.

Tanpa prinsip keagamaan membimbing atau kerangka falsafah adil dalam mendefinisikan semula pekerjaan pada zaman AI, adalah mudah untuk menyimpang dan mengambil segala jenis keputusan dan hala tuju salah, justeru mencetuskan kezaliman.

Bagi orang arif, tidak lama sebelum persoalan ‘apakah ia berbaloi’ berubah menjadi ‘untuk apa ia.’

Mengapa tidak? Di sebalik janji perubahan teknologi, kehilangan berjuta-juta pekerjaan oleh kerana wabak sedunia memperlihatkan kelemahan serius dalam pengaturan ekonomi masa kini.

Ini ditambah lagi dengan pelbagai ancaman yang sudahpun menjadi nyata dengan kemajuan automasi, robot, dan AI: penghapusan pekerjaan, pengangguran besar-besaran, keganasan siber, dron pembunuh berautonomi dan kerajaan autokratik, yang semuanya tidak menyumbang markah dalam pembangunan AI.

Bertentangan dengan penurunan taraf akal sebagai alat untuk menindas, pandangan Islami memandang tinggi dan memuliakan manusia oleh kerana keunikan serta sifat terpuji yang ada pada akal.

Hadis Nabawi diriwayatkan Dawud ibnu Mahbar dalam karyanya al-‘Aql secara ringkas menyatakan bahawa melalui akal inilah manusia memperoleh ilmu pengetahuan, petunjuk, rahmat dan nasihat.

Imam Abu Hamid al-Ghazali (wafat 1111) menjelaskan dalam Kitab al-‘Ilm (Kitab Ilmu, buku pertama dalam karyanya, Ihya ‘Ulum al-Din ) bahawa selain menjadi organ rohani pemahaman, akal juga mampu melaksanakan hiyal atau helah dalam bahasa Melayu: istilah yang diertikan dengan kebolehan ‘merancang dan melakar strategi.’

Penggunaan al-Quran dengan istilah sama dalam Surah al-Nisa ayat 98 merujuk kepada jalan keluar daripada keadaan sukar atau menindas.

Daripada kata akarnya hala, yang bermaksud untuk berubah, untuk mengalami perubahan, untuk diubah, untuk beralih, untuk berpaling atau untuk meninggalkan tingkah laku biasa, hiyal bermaksud amalan merancang dan merangka serta kemahiran dan kemampuan untuk mengatur atau mengurus hal ehwal, orang atau institusi dengan betul dan terselamat daripada bahaya atau mudarat.

Sebagai istilah teknikal digunakan dalam Usul Fiqh (perundangan Islam), hiyal sangat sinonim dengan penggunaan kreativiti untuk mengatasi kesulitan berkaitan hukum syariah terutama membabitkan kegiatan ekonomi, asalkan tidak bertentangan langsung syariat.

Hiyal digunakan secara meluas dalam transaksi (muamalah) untuk membolehkan tuntutan dan keperluan pihak yang berakad dipenuhi, yang ketiadaannya akan menyukarkan urus niaga sehingga mengganggu gugat sistem kewangan tersedia ada.

Memahami kerangka tasawur di atas dapat meletakkan AI dalam kedudukan lebih baik sebagai teknologi yang ‘menyelamatkan’ manusia daripada bahaya kehancuran ditimbulkan ‘Banjir Besar’ kesukaran dan cabaran zaman ini.

Penulis adalah Pegawai Penyelidik Kanan di Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar (KIAS), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) -Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
1
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts