Kaedah Ulama Berinteraksi dengan Penunggang Agama

Masyarakat awam sebahagiannya gemar mendengar kuliah, ceramah, forum, syarahan, muhadarah atau khutbah yang berbentuk jenaka. Atau paling tidak diselitkan dengan lawak yang akan meringankan perbincangan ilmiah yang nampak berat.

Ada juga yang menambah cerita sedih atau duka, ketika membicarakan perihal syurga dan neraka, membuatkan ada dikalangan yang hadir menangis dan tersentuh hati. Pada saya, tidak menjadi kesalahan untuk bercerita jenaka atau kisah sedih pada kadarnya (bahkan saya juga melakukankan), asalkan tidak tergelincir menjadi golongan yang dinamakan al-Quṣṣāṣ.

Quṣṣāṣ (tukang cerita) merupakan gelaran yang diberikan kepada individu atau kumpulan yang sering bercerita tentang perihal agama secara tidak benar ataupun palsu. Kumpulan ini dengan sengaja mereka-reka  berkenaan agama, sīrah dan ḥadīth Nabi s.a.w sebagai ‘penambah perencah dan penarik’ kepada cerita dalam kuliah, khutbah ataupun syarahan mereka.

Menurut al-Suyūṭī, quṣṣāṣ ini pada asalnya berniat baik untuk menyampaikan kisah dan mau‘iẓah/peringatan dan ‘ibrah. Tetapi majoriti mereka merupakan golongan dajjāl yang berbohong di atas nama agama. (Taḥdhir al-Khawāṣ min Akādhīb al-Quṣṣāṣ, hlm 9). Jonathan Brown juga berpendapat mereka ini menganggap perbuatan mereka sebagai ‘noble lying’ iaitu berbohong atas tujuan atau niat yang suci walaupun jelas dilarangan dalam Islam. (Misquoting Muhammad, hlm 221).

Ibn Jauzī pula mendefiniskan al-Quṣṣās sebagai perbuatan yang madhmūm atau tercela. Ini kerana golongan ini bercerita dan menambah tentang perkara yang tidak berlaku pada zaman Nabi s.a.w. Selain itu kebiasaannya khabar golongan quṣṣāṣ ini tidak sahih dan tidak diriwayatkan oleh A’immah al-Mutaqaddimīn. (Kitab al-Quṣṣāṣ, hlm 51).

Kata beliau, Ramai dikalangan mereka yang tidak mahir dengan ilmu naql menulis kitab tentang peirngatan, tafsir yang dipenuhi dengan ḥadīth yang bāṭil. Begitu juga pendapat Ibn Taimiyyah yang menaqalkan kata-kata Ibn Jauzī, mengatakan bahawa golongan ini menginginkan manusia untuk duduk teruja mendengar kalam mereka dan tidak takut kepada Allah s.w.t di atas pembohongan yang mereka lakukan. (Aḥādīth al-Quṣṣāṣ, hlm 10).

APA YANG DILAKUKAN OLEH ‘ULAMĀ’ TERDAHULU?

Jika disoroti kisah sarjana silam, mereka amat tegas menentang golongan penglipur lara agama ini. Usaha mereka ini dalam dilihat melalui cara menjejaki dan memelihara sanad ḥadīth. Antaranya kalam Ibn Sīrīn yang masyhūr seperti yang diriwayatkan oleh Muslim dalam ṣaḥīḥ beliau; “Dahulunya mereka tidak bertanya berkenaan sanad. Namun apabila berlaku fitnah, mereka berkata : Berikan nama perawi kamu. Sekiranya perawi itu daripada kalangan Ahl al-Sunnah mereka akan diterima tetapi sekiranya daripada kalangan ahl al-bid ‘ah, maka ḥadīth mereka di tolak”. (Ṣaḥīḥ Muslim, hlm 84-88).

Contoh yang dapat dilihat sejak zaman Ṣahabat lagi, apabila Busyair bin al-‘Adawi telah bertemu dengan Ibn ‘Abbās dan berbicara tentang ḥadīth Nabi s.a.w. Ibn ‘Abbās mengendahkan beliau dan tidak mendengar ḥadīth yang dibicarakan. Busyair berkata; “Wahai Ibn ‘Abbās, mengapa engkau tidak dengar dan melihat kepadaku?”. Jawab beliau; “Sesungguhnya pada suatu ketika kami mendengar seorang lelaki berkata ‘Rasulullah s.a.w bersada…’ dan kami terus melihat dan mendengar apa yang diperkatakan. Tetapi apabila manusia telah mula berdusta, kami tidak menerima daripada manusia melainkan ḥadīth yang kami tahu”. (Al-Sunnah wa Makānatuha fi al-Tasyrī‘ al-Islāmī, hlm 97).

Selain meneliti sanad dan mengambil tahu dari siapa cerita itu disampaikan, para ‘ulamā juga melihat kepada siapa ḥadīth itu akan disampaikan dan menegur dengan tegas jika kisah itu salah atau ditokok tambah oleh para penglipur para.

Satu kisah lain yang menarik untuk dikongsikan, Abu al-Walīd al-Ṭayālisi berkata bahawa beliau pernah duduk bersama Syu’bah bin al-Ḥajjāj, lalu seorang pemuda datang mendekatinya dan memintanya untuk diperdengarkan ḥadīth. Syu’bah bertanya kepadanya; “Adakah kamu seorang tukang cerita?” Jawab lelaki itu; “Ya”. Lalu berkata Syu’bah; “Pergilah, kerana sesungguhnya aku tidak memberi ḥadīth kepada para penglipur lara”. Maka Abu al-Walīd al-Ṭayālisi bertanya mengapa Syu’bah melakukan sedemikian. Jawab beliau, mereka ini (al-Quṣṣāṣ) suka mengambil ḥadīth sejengkal, kemudian menjadikannya selengan. (‘Ulama Hadis, hlm 74).

Al-Suyūtī juga pernah dengan tegas menegur si tukang cerita yang berbohong berkenaan hadith Nabi s.a.w. Kata beliau; “Si tukang cerita tersebut wajib memperbetulkan ḥadīth-ḥadīth yang diriwayatkannya dalam semua majlisnya dan bertanya kepada ilmuan ḥadīth. Mendengar teguran al-Suyūṭi itu, si penglipur lara agama ini marah dan dengan bongkak mengherdik al-Suyūṭī,  “Orang macam aku ini perlu memperbetulkan ḥadīth? Akulah manusia yang paling alim tentang ḥadīth di muka bumi”. (Ibid, hlm 67).

Selain itu, antara usaha ulama terdahulu dalam berhadapan dengan golongan quṣṣāṣ ini ialah dengan menulis dan mengarang kitab-kitab himpunan ḥadīth. Selain kitab yang telah mengklasifikasi hadith ṣaḥīḥ, ḥasan dan ḍa‘īf, sarjana silam juga telah menyusun kitab khusus bagi membongkar pembohongan dan kepalsuan kisah serta memberikan amaran kepada masyarakat awam agar tidak terpedaya dan tertipu. Antaranya kitab al-Mawḍū‘āt dan Kitab al-Quṣṣāṣ karangan Ibn Jauzī, Aḥādīth al-Quṣṣāṣ karangan Ibn Taimiyyah, Al-Manār al-Munīf karangan Ibn Qayyim, Taḥdhīr al-Khawāṣ min Akādhīb al-Quṣṣāṣ dan al-Lāli’ al-Maṣnū‘ah fi al-Aḥādīth al-Mawḍū‘ah karangan al-Suyūṭi, dan ramai lagi ulama dan karya mereka.

Maka, menjadi tradisi ‘ulamā’ ḥadīth dan para nuqqad terdahulu untuk mengkritik para penglipur lara agama secara terbuka sama ada secara lisan ataupun bertulis dek kerana pembohongan yang dilakukan oleh para quṣṣāṣ juga secara terang terangan. Mereka juga sangat berhati-hati dalam menerima ataupun menyampaikan sesuatu khabar dan ḥadīth dari para penglipur lara.

Sebagai konklusi dan pengajaran yang oleh diambil, saya bahagikan kepada tiga golongan iaitu sebagai orang awam, asātidhah agama dan pengikut mereka ;

Kepada masyarakat awam, tidak salah untuk kita untuk menyemak dan memeriksa ḥadīth atau kisah yang disampaikan jika terdapat keraguan pada penyampainya. Ini boleh dilakukan dengan merujuk kepada para sarjana ḥadīth atau ‘ulamā’ ataupun para asātidhah yang diiktiraf keilmuannya. Yang penting, jagalah adab kita dalam bertanya dan menyelidik.

Kepada para asātidhah dan ilmuan, haruslah mempersiapkan diri dengan ilmu dan sedia menerima nasihat dan teguran jika ditegur. Mengaku salah atau mengaku ‘tidak tahu’ tidak mengurangkan kepercayaan, tidak mencalarkan maruah, bahkan menandakan kezuhudan dan kerendahan diri kita yang sentiasa lemah. Jangan bongkak dan merasakan kita tahu semua hanya kerana kita berstatus ‘ustaz’ atau ‘ulama’ atau ‘tok guru’.

Kepada para pendokong atau pengikut asātidhah kalian, jika didapati ada teguran yang diberikan kepada  guru kalian, berlapang dada lah. Tiada manusia yang sempurna dan berlepas diri dari kesalahan. Setiap yang bergelar tokoh pasti ada yang memuji dan ada yang dikritik. Jika teguran yang diberikan itu benar, kita sama-sama telah belajar sesuatu. Jika salah, maka berbahaslah dengan ilmiah dan bukan emosi.

Semoga Allah s.w.t merahmati kita semua, memberikan ganjaran kepada para ‘Ulamā’ yang bersungguh menyebarkan dakwah dan memelihara agama ini.

Ustaz Afifi bin Abdul Rahman
Penyelidik
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts