Kawan-kawan dalam V.E main peranan saya masuk Islam

 

PENULIS berpeluang menemu ramah salah seorang bekas ahli kumpulan V.E, Damian Seet atau nama Islamnya Damian Mikhail Seet, 39 tahun. Figura ini seorang yang merendah diri.

Penampilannya juga berbeza daripada sebelum ini. Setelah memeluk Islam, beliau mula menemui ketenangan yang dicari. Hampir 10 tahun memeluk Islam, beliau bahagia dengan aturan ALLAH SWT kepadanya.

“Saya bersyukur, dek kerana rupa saya yang persis Melayu juga inilah yang membuatkan saya mula mengenali Islam.”

Ramai cemuh

“Semasa usia saya tujuh tahun, saya selalu dicemuh sebab rupa Melayu tapi tak masuk kelas agama dan ikuti kelas pendidikan moral. Mereka tengok nama dan gelar saya sebagai seorang kafir dan akan masuk neraka.

“Bayangkan saya baru berusia tujuh tahun, manalah saya nak faham,” katanya yang mengakui gemar dengan masakan Melayu.

Menurut Damian, bapanya berketurunan Baba Nyonya, manakala ibunya pula berbangsa India dan beragama Hindu. Saudara sebelah bapa dan ibunya ada yang berkahwin campur serta ada yang berkahwin dengan orang Islam. Damian sudah terbiasa dan sebati dengan percampuran pelbagai budaya, agama dan cara hidup sebegini. Malah, kawan-kawan karibnya juga ramai yang Islam.

Aturan ALLAH

Pencarian mengenali Islam dipermudahkan apabila Damian menganggotai Kumpulan V.E pada 2003. “Saya masuk V.E yang lain semua Islam, saya seorang sahaja bukan Islam. Tapi kawan-kawan saya dalam V.E memainkan peranan kenapa saya masuk Islam.

“Contohnya Lah Ahmad, saya dulu memang selalu kongsi bilik dengan Lah. Lah adalah seorang yang menjaga solat. Beliau juga seorang pemuda yang baik. Kadang-kadang saya tanya: “Lah kenapa you solat?”, “Kenapa step solat macam tu?” “Kenapa you sujud.” Macam-macam saya tanya.

“Saya ada juga belajar sikit-sikit mengenai Islam sampailah saya bertemu dengan seseorang yang bernama Akbar Azmi dari Kumpulan Brothers,” ujarnya yang pernah bergelar komposer suatu masa dulu.

Menurutnya, Akhbarlah yang memperkenalkan Damian dengan Bilal Philips, Ahmad Deedat dan ramai lagi tokoh agamawan hebat.

Ketika bersama V.E, Damian mencipta zaman kegemilangannya. Semua ada di depan mata, duit, kereta besar. Tapi, apabila pulang ke rumah, Damian berasa kosong. Bermula daripada situlah, dia mula mengkaji sedalam-dalamnya mengenai Islam, Buddha, Kristian dan pelbagai agama lain. Damian memahami apa yang diterangkan pakar pembandingan agama, Dr Zakir Naik sejelasnya. Katanya, daripada perasaan nak ambil tahu akhirnya beliau jumpa banyak jawapan kepada persoalannya selama ni.

Tinggalkan zaman lagha

“Sebelum memeluk Islam, saya adalah seorang perokok dan juga peminum arak. Apabila saya membuat keputusan untuk menjadi Muslim, sedaya upaya saya tinggalkan tabiat buruk berkenaan.

“Saya nekad dan katakan kepada diri, jika mahu menjadi Muslim yang baik, saya perlu tinggalkan segala yang Islam larang,” kata bapa kepada tiga anak ini.

Kongsinya, Alhamdulillah, Mei 2008, Damian melafazkan kalimah syahadah. Ditemani bapa dan teman-teman rapatnya.

Penerimaan ibu

“Ibu adalah individu pertama yang saya beritahu mengenai pengislaman saya. Pada mulanya, saya gusar untuk memberitahu ibu. Sebab pada saya, penerimaan keluarga itu penting kerana mereka tahu siapa kita luar dan dalam.

“Ibu adalah individu yang agak kuat pegangan agamanya. Tapi, ALLAH permudahkan situasi itu. Ibu menerima dengan reda keputusan saya, jika itu dapat mengubah saya ke arah yang lebih baik. Dulu, saya jarang jenguk ibu kerana terlalu sibuk dengan kerjaya. Namun, sejak memeluk Islam hubungan kami sekeluarga semakin rapat,” katanya panjang lebar.

Menurut Damian, setiap hujung minggu, beliau sekeluarga akan pulang ke rumah ibu. Kepulangannya diraikan dan ibunya peka dengan apa yang mereka sekeluarga boleh makan dan tidak boleh.

Aktif berdakwah

Tiada apa yang membezakan antara Damian dulu dan sekarang, cuma hari ini beliau menjadi seorang yang bermatlamat.

“Awal-awal peluk Islam dulu, saya pernah terfikir macam mana keadaan saya jika berhenti dalam bidang muzik. Saya dapatkan nasihat daripada kawan-kawan dan juga ustaz. Kata ustaz berdoalah dan minta petunjuk dengan ALLAH.

“Saya berdoa dengan ALLAH, jika muzik bukan benda yang elok untuk saya, ALLAH tolonglah buka pintu rezeki yang lain untuk saya supaya dapat memberikan yang terbaik untuk keluarga.

“Saya tidak mahu dibelenggu hutang. Tidak lama kemudian, rezeki saya melimpah ruah dalam bidang muzik. Tapi bila kerja dah siap, klien tak bayar. Saat itulah, saya sedar bahawa sudah tiba masanya untuk saya beralih bidang,” katanya.

Tambahnya, beliau kini aktif berdakwah sebagai sukarelawan dan menjadi pengerusi Skuad Mubaligh Malaysia bagi Wilayah Persekutuan. Peranan beliau adalah menggerakkan aktivis dan sukarelawan untuk melakukan kerja-kerja dakwah seperti mengadakan dakwah jalanan, mengedarkan makanan kepada gelandangan, memberi sokongan kepada saudara baharu sebab ada dalam kalangan mereka di buang keluarga serta melatih lebih ramai dai’e baharu.

Di akhir pertemuan, Damian memanjatkan rasa syukur, walaupun ibu bapanya bukan beragama Islam tetapi beliau sentiasa diajar supaya selalu buat perkara yang betul dan pastikan jangan buat benda yang salah. Setiap agama mengajak umatnya kepada kebaikan. Islam adalah anugerah terbesar dalam hidupnya. – Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

 

 

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts