Kematian yang menghidupkan: Apakah antara tanda-tandanya?

1. Baru-baru ini tular berita tentang seorang pendakwah yang meninggal dunia ketika sedang menyampaikan kuliah Subuh. Dalam kuliah Subuh berkenaan, pendakwah tersebut sempat memberikan peringatan tentang hari kiamat dan akhir perkataan yang dilafazkan oleh beliau adalah ‘Allah Subhanahu Wa Taala”. Ramai yang menyatakan bahawa kematian ini adalah kematian yang menghidupkan jiwa kerana terdapat tanda-tanda husnul khatimah (pengakhiran hidup yang baik).

2. Ketika hayat Rasulullah SAW, waris si mati akan bertanya kepada Rasulullah tentang keadaan si mati selepas kematiannya. Jika si mati dikhabarkan berada di syurga atau mendapat keampunan Allah, maka ia akan memberi ketenangan hati dan mengubat kesedihan si waris, seperti yang diriwayatkan dalam hadith tentang kematian Harithah:

عن أنس رضي الله عنه أن أم الرُّبيع بنت البراء وهي أم حارثة بن سُراقة، أتَت النبي صلى الله عليه وسلم فقالت: يا رسول الله، ألا تُحَدِّثُنِي عن حارثة -وكان قُتِل يوم بَدْرٍ- فإن كان في الجنَّة صَبَرْت، وإن كان غير ذلك اجْتَهَدْتُ عليه في البُكَاء، فقال: يا أم حارثة، إنها جِنَان في الجنة، وإن ابْنَك أصَاب الفِردَوْس الأعلى.

Dari Anas RA bahawa Ummu Harithah datang kepada Rasulullah SAW sedang Harithah (anaknya) telah mati dalam perang Badar, kerana terkena panah sesat. Ummu Harithah berkata: “Ya Rasulullah, khabarkan kepadaku tentang Harithah. Jika dia di dalam syurga, nescaya aku akan bersabar. Tetapi jika sebaliknya, aku akan bertambah sedih.” Lalu Nabi bersabda: “Wahai Ummu Harithah, syurga itu banyak bilangannya. Sesungguhnya anakmu berada dalam syurga Firdaus yang tertinggi.” (Riwayat al-Bukhari)

3. Selepas kewafatan Rasulullah SAW, tidak mungkin kita mendapat khabar tentang keadaan si mati selepas kematiannya. Walaubagaimanapun, terdapat tanda-tanda semasa kematian, yang menjadi petunjuk bahawa si mati mendapat husnul khatimah dan diredhai Allah. Husnul khatimah adalah buah kepada ketaatan si mati semasa hayatnya.

4. Antara tanda husnul khatimah adalah amalan terakhir si mati ketika di dunia adalah amalan yang soleh. Amalan soleh sebelum kematian itu adalah merupakan taufiq daripada Allah. Di dalam satu hadith, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِعَبْدٍ خَيْرًا عَسَلَهُ؛ قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَمَا عَسَلُهُ؟ قَالَ: يُوَفِّقُهُ لِعَمَلٍ صَالِحٍ، ثُمَّ يَقْبِضُهُ عَلَيْهِ.

“Apabila Allah SWT menghendaki kebaikan bagi hamba-Nya, maka Allah memberinya ‘asal. Para sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, apa maksud ‘asal dari-Nya?” Baginda bersabda, “Allah berikan taufiq untuk beramal soleh, kemudian Allah cabut nyawanya dalam keadaan itu (husnul khatimah).” (Riwayat al-Tirmizi)

Rasulullah turut bersabda:

وَإِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالخَوَاتِمِ.

“Sesungguhnya amalan itu dilihat pada pengakhirannya.” (Riwayat al-Bukhari)

Oleh kerana itu, Rasulullah melarang kita untuk berasa kagum dengan amalan seseorang yang masih hidup, kerana boleh jadi pengakhiran hidupnya adalah buruk. Sebaliknya, seseorang yang mati dalam husnul khatimah, wajarlah kita mengambilnya sebagai contoh teladan.

لاَ عَلَيْكُمْ أَنْ لاَ تُعْجَبُوا بِأَحَدٍ حَتَّى تَنْظُرُوا بِمَ يُخْتَمُ لَهُ فَإِنَّ الْعَامِلَ يَعْمَلُ زَمَاناً مِنْ عُمْرِهِ أَوْ بُرْهَةً مِنْ دَهْرِهِ بِعَمَلٍ صَالِحٍ لَوْ مَاتَ عَلَيْهِ دَخَلَ الْجَنَّةَ ثُمَّ يَتَحَوَّلُ فَيَعْمَلُ عَمَلاً سَيِّئاً وَإِنَّ الْعَبْدَ لِيَعْمَلُ الْبُرْهَةَ مِنْ دَهْرِهِ بِعَمَلٍ سَيِّئٍ لَوْ مَاتَ عَلَيْهِ دَخَلَ النَّارَ ثُمَّ يَتَحَوَّلُ فَيَعْمَلُ عَمَلاً صَالِحاً.

Janganlah kalian kagum dengan amalan seseorang sehingga kalian melihat amalan akhir hayatnya. Kerana kemungkinan seseorang beramal pada suatu waktu dengan amalan yang soleh, yang seandainya dia mati, maka dia akan masuk surga. Akan tetapi, dia berubah dan mengamalkan perbuatan jahat. Kemungkinan juga seseorang beramal pada suatu waktu dengan suatu amalan jahat, yang seandainya dia mati, maka dia akan masuk neraka. Akan tetapi, dia berubah dan beramal dengan amalan soleh.” (Riwayat Ahmad)

            Direkodkan dalam sejarah, ramai para ulama’ yang meninggal dunia ketika sedang mengajar, antaranya Ibnu Atoillah Assakanadari, pengarang kitab al-Hikam. Beliau meninggal dunia sekitar usia 60 tahun ketika sedang mengajar di Madrasah al-Mansuriah, Kaherah.

5. Antara tanda husnul khatimah juga, adalah seseorang itu melafazkan kalimah syahadah sebelum dia meninggal dunia. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَن كَانَ آخِرُ كَلَامِهِ لَا إِلَهَ إِلَّا الله دَخَلَ الجَنَّةَ.

“Barangsiapa yang akhir perkataannya ‘Tiada tuhan melainkan Allah’, nescaya dia akan memasuki syurga.”(Riwayat Abu Daud)

Seseorang yang ketika ajalnya menyebut kalimah tauhid, menunjukkan bahawa di dalam hati dan fikirannya tidak ada tujuan lain selain bertemu dengan Allah SWT.

6. Mati dalam keadaan ribath (bersedia menghadapi musuh di perbatasan) juga merupakan tanda husnul khatimah.

Dari Salman bin Al-Islam RA, dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:

رِبَاطُ يَوۡمٍ وَلَيۡلَةٍ خَيۡرٌ مِن صِيَامِ شَهۡرٍ وَقِيَامِهِ وَإِنۡ مَاتَ جَرَى عَلَيۡهِ عَمَلُهُ الَّذِي كَانَ يَعۡمَلُهُ وَأُجۡرِيَ عَلَيۡهِ رِزۡقُهُ وَأَمِنَ الۡفَتَّانَ .

“Ribath sehari semalam lebih baik daripada puasa dan solat malam sebulan penuh. Jika dia meninggal maka amalnya akan terus mengalir sebagaimana yang pernah dia amalkan, rezekinya juga terus mengalir dan terbebas dari fitnah-fitnah.” (Riwayat Muslim)

Termasuklah dalam ribath adalah menjaga umat Islam daripada serangan musuh Islam, sama ada serangan fizikal mahupun serangan ideologi yang merosakkan jati diri muslim.

7. Justeru, buat ahli keluarga dan kenalan rapat yang kehilangan orang tersayang, jika dilihat ada tanda-tanda husnul khatimah pada kematian si mati, maka bersabarlah atas ujian ini dan bersangka baiklah bahawa si mati berada di tempat yang baik di sisi Allah. Ceritakanlah sisi-sisi baik si mati supaya kebaikannya ini boleh diteladani oleh orang ramai dan seterusnya menjadi saham akhirat buat si mati.

8. Adapun bagi kita yang masih diberi kesempatan hidup ini, haruslah kita mencontohi amalan mereka yang telah mendahului kita dengan husnul khatimah. Hendaklah kita sentiasa dalam ketaatan kepada Allah dengan beramal soleh dan saling memperingatkan tentang kebenaran, serta menjauhi kejahatan dan maksiat kerana kita tidak mengetahui bilakah ajal akan menjemput.  Hendaklah kita melazimi zikir ‘La Ilaha Illallah’ serta mengamalkan tuntutan disebalik pengakuan bahawa tiada tuhan selain Allah ini, iaitu kita berusaha menyampaikan dakwah kebenaran sehingga akhirnya kehakiman Allah dan syariatnya tertegak di atas muka bumi.

Ibnu Kathir ketika mentafsirkan ayat 132 Surah Al-Baqarah, mengatakan:

 أحسنوا في حال الحياة، والزموا هذا ليرزقكم الله الوفاة عليه، فإن المرء يموت غالبا على ما كان عليه، ويبعث على ما مات عليه

 “Berbuat baiklah selama kalian hidup, dan berpegang teguhlah kalian kepada agama ini agar kalian diberi rezeki mati dengan berpegang teguh padanya. Ini kerana barangsiapa yang hidup di atas kebiasaan tertentu, selalunya dia akan mati dalam kebiasaan tersebut. Dan barangsiapa yang wafat di atas kebiasaan tertentu, nescaya dia akan dibangkitkan seperti itu pula.”

Ustazah Dr Raihana Zainal Abidin

Penyelidik MUIS

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts
Read More

Elak jadi ejen Israiliyyat

  KECENDERUNGAN masa kini menyaksikan penganjuran program berbentuk keagamaan semakin mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan umat Islam. Antaranya,…