Kerajaan perlu tegas pantau LGBT

 

KERAJAAN perlu tegas tangani golongan LGBT, demikian kata penceramah bebas, Ustaz Hanafiah Abd Malek, yang juga penaung dan penasihat Pertubuhan Amal Firdausi.

Menurutnya, kerajaan perlu mencontohi Korea Utara dalam menangani permasalahan ini, contohnya seperti setiap laman sesawang akan dipantau ketat dan hanya beberapa laman web sahaja dibenarkan untuk dilayari.

“Tindakan ini wajar diikuti oleh Malaysia agar gejala songsang ini dapat dikawal. Selain Facebook dan seumpamanya, aplikasi paling bahaya yang menyebabkan pergerakan ini bertambah kuat adalah melalui WeChat. Melalui medium ini, gabungan LGBT ini mula berhubung dan berkembang.

“Sama ada golongan LGBT mahupun remaja bermasalah lain yang kami temui. Kebanyakannya berhubung melalui WeChat. Menggunakan konsep ‘touch & go’, tanpa cinta, mereka melakukan seks sehingga lahir anak luar nikah.”

Tambah Hanafiah, LGBT merupakan satu gerakan yang terdiri daripada gabungan lesbian, gay, biseksual dan transgender. Namun dengan kemudahan media sosial hari ini, mereka bergabung di bawah satu bendera pelbagai warna.

“Gabungan ini semakin hari semakin kuat. Gerakan mereka mula berkembang dan berpegang dengan hak undang-undang. Mereka juga sudah berani mencabar institusi negara, serta ingin mengubah perlembagaan negara. Bukan sahaja di Malaysia, bahkan di luar negara.”

Menurutnya, lebih membimbangkan, pergerakan ini mula mempengaruhi orang lain dengan beberapa slogan seperti ‘gay is okay’, ‘people like us’ dan sebagainya. Apabila mereka merasakan pergerakan mereka ini sudah kuat, kumpulan ini mula mencabar dan menuntut hak.

 

Santuni golongan ini

Selain mengambil tindakan dengan memantau dan menyekat pengaruh mereka melalui media sosial, jabatan agama Islam dan individu perseorangan juga disarankan untuk sama-sama membantu. Elakkan menghukum tetapi dekati mereka dengan kasih sayang.

Tambah Hanafiah, setiap daripada mereka mempunyai kaedah tertentu untuk dipulihkan. Golongan ini seorang yang mahir tentang ‘protection’. Mereka tidak takut dengan jabatan agama dan hukum, tetapi mereka takut dengan HIV.

“Di Pertubuhan Amal Firdausi, kami menyediakan satu platform untuk golongan ini kembali ke pangkal jalan. Malah, turut membantu individu yang dijangkiti HIV untuk mendapatkan rawatan yang baik.

“Saya bersama Jakim, sama-sama turun ke lapangan untuk mendekati mereka. Mereka menerima kedatangan kami dengan baik. Melalui slot tanyalah ustaz yang diadakan di Lorong Haji Taib, kami mendengar dan menyelami permasalahan yang timbul. Hasilnya, mereka bersetuju untuk menyertai program dan training yang dianjurkan pada masa akan datang.

“Program seumpama ini telah dibuat sejak tahun 2011 sehingga 2018. Sepanjang program, Jabatan agama Islam Pahang antara terbaik dan banyak membantu golongan ini kembali ke pangkal jalan,” katanya.

Beliau berkata, semua jabatan agama Islam sudah memainkan peranan masing-masing dengan baik.

“Namun, perlu diingat, mereka nampak lembut di luar namun keras di dalam. Sebaiknya bimbing dan santuni mereka dengan baik. Elakkan menghukum, biarpun mereka ini seorang pendosa.

“Apa pun ibu bapa perlu memainkan peranan masing-masing. Misalnya mengasingkan bilik tidur antara anak lelaki dan anak perempuan ketika mereka masih kecil. Sekiranya mempunyai anak-anak yang bermasalah, doakan mereka agar bertaubat dan kembali ke pangkal jalan,” katanya. – Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts