Khitan bagi perempuan Islam termasuk lima sunat fitrah

GEORGE TOWN: Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor membidas pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Sisters in Islam (SIS) kerana didakwa cuba mencipta isu mengenai fatwa berkhitan bagi wanita Islam di negara ini.

Wan Salim menjelaskan, menurut ajaran Islam, khitan termasuk salah satu daripada lima sunat fitrah yang selari dengan keadaan hal semula jadi manusia yang suci.

Jelas beliau, sunat-sunat itu ialah mencukur bulu ari-ari, menggunting misai, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan khitan, malah majoriti fuqahak berpandangan hukum khitan adalah wajib ke atas lelaki dan sunat bagi wanita.

”Khitan yang memudaratkan dikenali sebagai ‘khitan Firaun’ iaitu membuang daging klitoris dengan kuantiti yang banyak atau sebahagian besar daripadanya, khitan sedemikian tidak diakur oleh syariat Islam.

”Apa yang SIS heboh-heboh itu bukan masalah pun, itu dipanggil ‘theodo problem’ yakni masalah yang sengaja diada-adakan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Sebelum ini, SIS menggesa kerajaan mengarahkan semakan ke atas fatwa pada 2009 mengenai berkhitan bagi perempuan.

Menurut Wan Salim, tidak ditemui nas daripada al-Quran atau hadis yang memerintahkan khitan ke atas wanita dewasa atau kanak-kanak.

”Cuma terdapat sebuah hadis riwayat Thabarani dan Baihaqi yang menyatakan Rasulullah SAW pernah menunjuk ajar Ummu ‘Athiyyah yang bertugas mengkhitankan kanak-kanak perempuan di Madinah tentang cara melakukan khitan yang betul iaitu dengan mengambil sedikit sahaja daging kloritis dan tidak berlebih-lebihan.

”Dikatakan khitan yang sedikit seperti yang disarankan di dalam Islam mampu mensederhanakan syahwat wanita menjadikannya tidak terlalu mudah terangsang dan tidak pula menjadi sejuk.

”Khitan perlu dilakukan dengan cermat oleh pengkhitan yang mahir supaya tidak memudaratkan orang yang dikhitan,” katanya.

Tambah beliau, apa yang ditakuti oleh pihak tertentu yang menganggap khitan memudaratkan wanita bukan seperti yang disarankan di dalam Islam, tetapi khitan ‘cara Firaun’ yang kemungkinan masih dipraktikkan di beberapa negara tertentu terutama di Afrika.

”Khitan cara Islam tidak boleh dianggap sebagai satu pencerobohan ke atas hak kaum Hawa, ini adalah satu dakwaan yang tidak menepati hakikat sama sekali.

”Khitan cara Islam terbukti selamat dan sudah termaklum sejak dipraktikkan oleh masyarakat Islam di pelbagai negara dari dahulu sehingga kini,” katanya. – UTUSAN

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts