Kos ibadah haji naik 12 peratus, bakal jemaah disaran penuhi konsep ‘istito’ah’

TAHUN lalu, Lembaga Tabung Haji (TH) telah memaklumkan kos untuk mengerjakan haji meningkat sebanyak 12 peratus.

Semalam dalam satu kenyataan, TH mengumumkan kos menunaikan ibadah haji tahun depan dianggarkan akan meningkat lagi dan mencecah sehingga 11 peratus.

Pastinya peningkatan itu bukanlah satu angka yang kecil terutama bagi mereka yang kurang berkemampuan.

Pengerusinya, Tan Sri Azman Mokhtar berkata, peningkatan ketara itu berpunca daripada situasi semasa ekonomi pascapandemik COVID-19.

“Memang berlaku kenaikan bagi kos haji sekitar lima hingga enam peratus setiap tahun untuk jangka panjang iaitu dalam tempoh 10 tahun.

“Namun disebabkan pandemik COVID-19, kenaikan itu dianggarkan menjadi dua kali ganda (11 peratus) susulan peningkatan kadar inflasi, situasi mata wang semasa malah Arab Saudi menaikkan Cukai Nilai Tambah (VAT) sekitar lima hingga enam peratus,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar turut mengulas mengenai bantuan kepada bakal jemaah haji.

Ujarnya, kerajaan mengalu-alukan bakal jemaah haji pada masa akan datang memenuhi konsep ‘istito’ah’ atau berkemampuan.

“Perkara tersebut dapat membantu Tabung Haji (TH) menumpukan bantuan kewangan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

“Jemaah yang memilih untuk membayar penuh bayaran haji yang dikenakan bukan sahaja menghayati konsep Istito’ah, tetapi insya-ALLAH akan meraih lebih barakah daripada ibadat haji mereka,” katanya pada pemberita dalam sidang media selepas Majlis Kesyukuran Tamat Operasi Haji dan Penghargaan Sahabat Korporat TH 1444H/2023M di sini pada Isnin.

Menurutnya jemaah haji yang memenuhi konsep tersebut juga akan membantu menjamin kelestarian TH agar institusi yang menjadi tonggak kekuatan umat Islam di negara ini dapat kekal berkhidmat untuk generasi akan datang.

Pada ketika ini, secara purata kos kenaikan haji meningkat lima hingga enam peratus.

Beliau berkata demikian kerana kos haji dijangka terus meningkat atas faktor luar kawalan TH seperti kos penginapan, pengangkutan, penerbangan, makan minum dan lain-lain caj perkhidmatan.

“Pada ketika ini, secara purata kos kenaikan haji meningkat lima hingga enam peratus, dijangkakan trend itu masih ada dan ini luar kawalan kita,” katanya.

Tambah Mohd Na’im lagi, TH turut menanggung kos tidak langsung yang diberikan secara percuma kepada semua jemaah haji seperti penganjuran kursus bimbingan haji di setiap negeri, penerbitan buku dan risalah panduan haji, kos petugas haji, perkhidmatan perubatan, prasarana stesen berlepas dan pelbagai perkhidmatan tambah nilai lain untuk keselesaan jemaah. -Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts