Muslimah yang celik dan sedar digeruni sistem jahiliah: Timbalan Mufti Perak

 

WANITA mempunyai peranan istimewa dan tersendiri dalam membentuk generasi yang akan menyambung mata rantai perjuangan menegakkan sistem Islam di atas muka bumi ini. Penganugerahan Islam meletakkan kaum wanita di tempat yang selayaknya telah mengundang kedengkian musuh – musuh Islam ditambah dengan perbincangan berkaitan kedudukan wanita dalam masyarakat Islam adalah satu perkara yang masih menjadi isu dalam banyak negara.

Keadaan diburukkan lagi dengan usaha pihak tertentu yang cuba memburukkan wajah Islam dengan mengaitkan isu kewanitaan seperti poligami, hijab, lelaki lebih tinggi statusnya daripada wanita, pembahagian harta pusaka, isu suami boleh memukul isteri dan sebagainya. Bahkan tidak sedikit wanita yang terkeliru dengan gerakan mempromosi untuk ‘membebaskan’ wanita daripada ikatan agama.

Islam memartabatkan wanita

Wanita muslimah cuba diberikan suntikan dos pelali untuk lupa diri bahawa Islam telah mengangkat kedudukan mereka di tempat yang memberikan mereka ruang yang sangat selesa untuk berganding bahu dengan muslimin. Secara cukup ringkas, ramuan terpenting untuk muslimah boleh sebaris dengan muslimin dalam menegakkan sistem Allah ialah Islam membenarkan wanita memperoleh kembali hak mereka:

i. Dari sudut ekonomi, Islam membenarkan wanita memiliki harta, mewarisinya, mengusahakannya, dan bekerja mencari rezeki.

ii. Dalam bidang pendidikan, tidak dibezakan galakan untuk menuntut ilmu antara lelaki dan perempuan bahkan Rasulullah ﷺ menggalakkan kaum wanita menuntut ilmu.

iii. Dalam bidang kemasyarakatan, wanita digalakkan membabitkan diri dalam aktiviti sukarela. Mereka membantu orang susah dan mendermakan harta mereka.

iv. Wanita juga dibenarkan menyumbang bakti di medan perang. Rasulullah ﷺ sendiri membenarkan isteri-isteri Baginda menyertai perang. Bahkan ada yang turut berperang di medan.

Kesimpulannya Islam telah mengangkat martabat wanita dari dua segi.

Pertama: Islam telah membebaskan mereka daripada cengkaman amalan tradisi masyarakat jahiliah yang menindas dan meminggirkan kaum wanita.

Kedua: Islam memberikan wanita hak-hak sebagai manusia yang selama ini telah dinafikan daripada mereka.

Ini berlainan sekali dengan kedudukan wanita di Barat yang melalui fasa-fasa perkembangan zaman yang penuh dengan situasi seperti ‘terlepas daripada mulut buaya ke mulut harimau’. Pada kurun pertengahan, wanita diperlakukan persis bukan seumpama ‘manusia’ (Mohammad Ahmad Sibai 1981). Semasa revolusi perindustrian pula wanita telah diperah keringat mereka dengan mereka tetap ternafi daripada mendapat hak-hak yang sepatutnya bagi mereka, bahkan mereka terbeban dengan kaum lelaki yang melepaskan tanggungjawab mereka kepada kaum wanita (Solah Abdul Ghani 2001).

Revolusi Perancis 1789 seperti memberikan satu pengharapan baru kepada wanita Barat dengan slogan “kebebasan, sama rata dan persaudaraan”. Kesan peperangan dunia kedua di mana bilangan wanita melebihi bilangan lelaki akibat perang telah memaksa kaum wanita di Barat berjuang meneruskan kehidupan mereka. Mereka tetap juga dilayan dengan layanan yang tidak adil memaksa mereka terpaksa menuntut hak-hak mereka dengan berbagai-bagai cara. Kemuncaknya ialah gerakan pembebasan wanita di England pada tahun 1903 (Solah Abdul Ghani) yang menfokus kepada tiga perkara iaitu hak sama rata sepenuhnya antara lelaki dan perempuan, menuntut kemerdekaan sepenuhnya menjalani kehidupan tanpa sebarang kongkongan, hak untuk ikhtilat (bercampur) dengan lelaki dalam persaingan tanpa syarat (Solah Abdul Ghani).

Namun masih banyak lagi hak-hak yang ternafi daripada wanita Barat dan sekiranya mereka memperoleh hak mereka pun, mereka telah tersilap dalam menggunakannya disebabkan tiada panduan Ilahi seperti memberi kebebasan kepada wanita menentukan masa hadapannya sendiri selepas mereka baligh.

Jalur kehidupan wanita Barat yang mereka lalui sungguh berbeza dengan batas teratur yang disediakan oleh Islam kepada muslimah. Gerakan memaksa muslimah untuk turut serta menyetujui pembebasan wanita Barat adalah gerakan yang patut ditolak dan sepatutnya mereka mengatakan “kami bangga dengan batas kami sendiri”.

 

 

Pertembungan Islam – jahiliah tetap berterusan dan berkekalan

Islam sebagai saingan sistem jahiliah telah membuka ruang yang adil dan sangat selesa untuk wanita berganding bahu bersama-sama lelaki dalam usaha menegakkan sistem Allah menggantikan sistem jahiliah. Inilah perkara yang sangat digeruni dan mimpi buruk yang menghantui sistem jahiliah dan pendukungnya. Muslimah yang mereka sangat geruni ialah muslimah yang celik dan sedar akan tanggungjawab mereka terhadap Islam.

Islam tetap dengan sistemnya yang satu akan berhadapan dengan jahiliah yang telah dan akan tampil dengan pelbagai wajah dan pendekatan.

“Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain daripada Islam), kerana jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu daripada jalan Allah, dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertakwa.”(QS al An’am 153)

Sahibus Samahah Haji Zamri Hashim
Timbalan Mufti Perak

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts