Parlimen Israel lulus RUU ‘Baitulmaqdis, ibu negara Israel’

 

RAMALLAH – Parlimen Israel, semalam, meluluskan undang-undang menghalang kerajaan rejim itu daripada sewenang-wenangnya menyerahkan mana-mana bahagian Baitulmaqdis kepada Palestin di bawah apa-apa perjanjian damai pada masa depan.

Rang undang-undang bertajuk ‘Baitulmaqdis, ibu negara Israel’ meminda Undang-Undang Asas Baitulmaqdis 1980, diluluskan dengan 64 undi menyokong dan 51 lagi menentang.

Sekali gus, undang-undang itu kini dilihat menjadi penghalang kepada usaha negara-negara Arab dan umat Islam untuk mengambil Baitulmaqdis Timur bagi dijadikan ibu negara Palestin.

Undang-undang itu menetapkan mana-mana kawasan yang dianggap oleh rejim Tel Aviv sebagai sebahagian daripada Baitulmaqdis perlu mendapat undi majoriti dua pertiga di Knesset atau 80 daripada 120 anggota Parlimen, jika mahu diserahkan kepada mana-mana kuasa asing.

Undang-undang itu yang dicadangkan pemimpin parti Yahudi – Jewish Home – Shuli Moalem-Refaeli dan mendapat sokongan sekutunya, akan menyukarkan pemecahan Baitulmaqdis kepada dua, sedangkan Palestin menuntut Baitulmaqdis Timur untuk dijadikan ibu negaranya.

Dalam ucapannya, Shuli Moalem berkata, Israel tidak akan membenarkan pembentukan negara Palestin dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negaranya.

“Letak di dalam kepala anda bahawa Baitulmaqdis adalah ibu negara Yahudi dan akan kekal selama-lamanya sebagai ibu negara penduduk Yahudi,” katanya.

Baitulmaqdis menempatkan masjid suci ketiga umat Islam, Masjid Al-Aqsa.

Rang undang-undang itu dirangka seminggu selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada 6 Disember lalu, mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel yang telah mencetuskan tunjuk perasaan penduduk Palestin sehingga kini.

Israel menduduki Baitulmaqdis Timur dan Tebing Barat sebelum merampas Kota Lama itu di bawah langkah yang tidak pernah diiktiraf masyarakat antarabangsa.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mengutuk keputusan itu dan menyifatkan undang-undang berkenaan sebagai kekejaman terhadap rakyat Palestin, tanah dan tempat suci mereka.

“Pengundian ini sepatutnya mengingatkan masyarakat antarabangsa bahawa kerajaan Israel, dengan sokongan penuh pentadbiran Amerika Syarikat, sedang menjejaskan rundingan damai yang tetap dan adil, dan secara sistematik melaksanakan aparteid di seluruh Palestin,” katanya. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts