Pastikan Islam dominan jika mahu kerjasama dengan non muslim

 

DAHULU, ada di kalangan muslim yang mencanangkan kempen politik mereka dengan menyebutkan bahawa “Kafir yang adil itu lebih baik dari muslim yang korup.” Mereka menghebohkan bahawa pentadbiran kafir lebih telus dan amanah. Tiada rasuah, tiada korupsi bahkan menghormati Azan.

2. Tadbir kelola yang baik sahaja tidak seharusnya menjadi asas bagi muslim untuk memilih pemimpin kafir.

Ini kerana definisi-definisi kepimpinan yang dikemukakan oleh sarjana muslim menunjukkan bahawa dalam pemerintahan Islam, ia bukan sekadar menjanjikan tadbir kelola yang baik bahkan membangun dan menguruskan urusan agama dengan cermat.

Ini adalah kerana kita bukan sekadar inginkan pembangunan ekonomi yang mampan dan kehidupan dunia yang bahagia bahkan kita mahukan pembangunan manusia yang sejahtera.

3. Dengan sebab itu kita lihat, ketika Rasulullah ﷺ diutuskan, keadaan perdagangan Quraysh dilihat aktif dan lancar. Ini menunjukkan pembangunan ekonomi yang baik. Pun begitu, Allah mengutuskan Rasul kepada mereka bagi mewujudkan keadaan negara yang lebih baik.

Rasulullah ﷺ memperbaiki sistem masyarakat yang meruncing, memperkemas sistem kekeluargaan yang tidak teratur dan membangunkan institusi kekeluargaan yang lebih sempurna.

4. Dalam menjayakan misi membangunkan negera seperti yang dikehendaki oleh Islam, apakah boleh kita meminta bantuan si Kafir? Al-Quran menjelaskan bahawa tidak seharusnya seorang muslim itu melantik pemimpin mereka dari kalangan bukan Islam.

Ini adalah jelas di dalam ayat: Surah Ali Imran ayat 28, An-Nisa’ ayat 138-139, At-Taubah ayat 71 dan Al-Mumtahanah ayat 1). Ini kerana, wala’ hanya berhak diberikan kepada Allah, Rasulullah dan orang-orang beriman. (Abu Zahrah, Fatawa Al-Syeikh Muhammad Abu Zahrah, himpunan dan tahqiq Dr. Muhammad Uthman Syibir, Dar Al-Qalam, Beirut, m/s 725-726).

5. Dengan sebab itu sebelum berlakunya perang Badar, seorang lelaki Musyrik datang mengikuti tentera Islam. Rasulullah ﷺ bertanya kepada lelaki tersebut: Apakah kamu beriman kepada Allah dan Rasul. Dia menjawab: “Tidak”. Rasulullah lalu bersabda: Pulanglah, sesungguhnya kita tidak meminta bantuan daripada si Kafir.

6. Al-Imam al-Baihaqi dan Ibn Abi Hatim pernah menukilkan kisah bagaimana Saidina Umar memarahi Abu Musa al-Ash’ari kerana melantik penulis (atau setiausaha) beliau dari kalangan orang Kristian. (al-Bayhaqi, al-Sunan al-Kubra, no. 20196)

7. Al-Imam Ibn al-Qayyim juga menyebutkan pandangan yang sama. Dalam bab urus tadbir tanah (al-Kharraj), beliau menegaskan tidak sepatutnya kita melantik non muslim untuk menguruskan bidang kerja yang boleh dilakukan oleh muslim. (Ibn al-Qayyim, Ahkam Ahl al-Zimmah, 448).

8. Benar, dalam beberapa perkara, Rasulullah ﷺ memberikan kelonggaran dalam memberikan ruang kerjasama pengurusan dengan non muslim. Rasulullah ﷺ pernah memanfaatkan kepakaran seorang pengembara dari Bani al-Dil yang mahir dalam selok belok perjalanan.

Nabi juga pernah menggunakan perkhidmatan pertanian yang ditawarkan oleh yahudi Bani Khaybar ketika di Madinah.

9. Namun dalam urusan lantikan pemimpin, terutamanya dalam jawatan utama pemerintahan, seeloknya muslimlah yang menjadi pemimpin buat muslim. Andai tiada pilihan, pencalonan terdiri dari kalangan sesama non muslim, maka pilihlah yang paling kurang mudarat. Sekiranya non muslim dilantik bekerjasama dengan muslim, pastikan Islam dominan dan si non muslim tadi membantu ke arah merealisasikan matlamat kepimpinan Islam.- Ismaweb

Semoga Allah membimbing kita.

Dr Ahmad Sanusi Azmi

Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts