Pemimpin yang baik dan fitnah kuasa

Kisah terakhir yang termaktub dalam surah al-Kahfi ini menceritakan kisah seorang pemimpin yang bernama Zulqarnain. Kisah Zulqarnain bukan sahaja tercatat di dalam Al-Qur’an, bahkan terdapat juga di dalam kitab terdahulu.

Kisah ini bermula dengan persoalan daripada pendeta Yahudi yang diajukan kepada Nabi Muhammad SAW mengenainya. Walaupun terdapat banyak persoalan mengenai perincian-perincian kisah yang tidak diceritakan di dalam al-Quran mengenai Zulqarnain dan setiap kisah perjalanannya, namun manhaj al-Quran mendidik kita agar menyibukkan diri hanya pada perkara yang berfaedah bukan pada perkara yang tidak mendatangkan hasil dan amalan.

Allah SWT berfirman:

“Sesungguhnya kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang berakal.” (Yusuf: 111)

Beberapa pengajaran yang boleh dijadikan iktibar dalam kehidupan kita semua melalui kisah ini.

Puncak Kuasa Tidak Menghalang Keimanan

Allah memulakan kisah Zulqarnain dengan menggambarkan kehebatan kerajaan yang dimilikinya suatu ketika dahulu. Beliau adalah seorang pemimpin yang diberikan Allah kerajaan yang besar dan dibuka baginya segala jalan yang membolehkannya berkuasa dari sudut ketenteraan, senjata, alat perang, harta dan sebagainya.

Firman Allah SWT:

إِنَّا مَكَّنَّا لَهُ فِي الْأَرْضِ وَآتَيْنَاهُ مِنْ كُلِّ شَيْءٍ سَبَبًا

“Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi, dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya.” (Al-Kahfi: 84)

Menurut Dr Yusuf Qardhawi, Zulqarnain merupakan contoh seorang raja yang soleh yang diberi kekuasaan di bumi meliputi belahan timur dan barat oleh Allah SWT. Walaupun segenap manusia dan penguasa negara tunduk pada kekuasaannya, namun Zulqarnain tetap menjadi penguasa yang adil dan menjalankan perintah Allah serta tidak melampaui batas dengan kuasa yang ia miliki.

Kehebatan dan kuasa yang dimilikinya tidak menjadikannya angkuh, bahkan beliau tetap teguh beriman kepada Allah dan berakhlak sebagai seorang pemimpin. Kisah Zulqarnain menjadi bukti bahawa berada di puncak kekuasaan tidak menghalang seseorang itu beriman kepada Allah SWT.

Akhlak Seorang Pemimpin

Akhlak yang baik terhasil daripada iman yang benar. Seseorang yang diberi kuasa, pangkat mahupun kedudukan mampu menjalankan tanggungjawabnya dengan baik sekiranya dia beriman kepada Allah serta mahu mengambil pengajaran dan mengikut contoh tokoh-tokoh pemimpin agung umat Islam yang terdahulu.

Zulqarnain menepati ciri-ciri seorang pemimpin yang baik dan berakhlak. Beberapa sifat yang baik dalam diri Zulqarnain sebagai seorang pemimpin boleh dijadikan pengajaran buat kita semua.

  • Adil dan Bijaksana

Perjalanan pertama Zulqarnain adalah di suatu daerah terbenamnya matahari. Di sana Zulqarnain bertemu dengan suatu kaum yang kufur. Allah SWT telah memberinya pilihan sama ada mahu menghukum mereka atau bertindak secara baik. Lalu beliau memilih untuk menasihati mereka terlebih dahulu.

Ini membuktikan Zulqarnain bertindak secara adil kerana memberikan peluang kepada rakyatnya buat kali pertama. Setelah itu, beliau akan memastikan rakyat yang zalim tidak terlepas daripada hukuman manakala rakyat yang baik akan dilayan dengan lembut dan beliau tidak akan memberati mereka dengan perintah yang sukar.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Kahfi ayat ke 87 dan 88:

قَالَ أَمَّا مَنْ ظَلَمَ فَسَوْفَ نُعَذِّبُهُ ثُمَّ يُرَدُّ إِلَى رَبِّهِ فَيُعَذِّبُهُ عَذَابًا نُكْرًا

“Zulqarnain berkata: “Adapun orang yang melakukan kezaliman, maka kami akan menyeksanya kemudian ia akan dikembalikan kepada Tuhannya, lalu diazabkannya dengan azab seksa yang seburuk-buruknya.”

وَأَمَّا مَنْ آمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا فَلَهُ جَزَاءً الْحُسْنَى وَسَنَقُولُ لَهُ مِنْ أَمْرِنَا يُسْرًا

“Adapun orang yang beriman serta beramal soleh, maka baginya balasan yang sebaik-baiknya dan kami akan memberikan kepadanya perintah-perintah kami yang tidak berat.”

Begitulah sikap pemimpin yang adil apabila menjalankan hak Allah dalam pemerintahannya. Beliau tidak berlaku zalim terhadap rakyatnya sekalipun memiliki kuasa yang tidak mampu ditundukkan oleh sesiapa.

Dalam ayat ini juga menunjukkan Zulqarnain bertindak dengan bijak. Beliau mendahulukan ancaman dunia daripada ancaman akhirat buat mereka yang melampaui batas. Ini kerana hanya hukuman dunia yang keras sahaja yang mampu membuatkan golongan ini takut dan kembali kepada petunjuk.

Selain itu, terlihat kebijaksanaan Zulqarnain saat beliau menggantikan upah daripada rakyatnya dengan kekuatan tenaga dan kerja daripada mereka sendiri dalam membina tembok penghalang antara mereka dengan Yakjuj dan Makjuj.

Dalam ayat ke 95 surah al-Kahfi, Zulqarnain berkata (فَأَعِينُونِي بِقُوَّةٍ) iaitu: “Berikan khidmat kepadaku dengan kekuatan tenaga kamu”. Hal ini kerana Zulqarnain tahu bahawa melakukan sesuatu pekerjaan yang besar memerlukan kepada bantuan dan tenaga yang ramai sedangkan mengambil upah tidak dapat menyelesaikan masalah tersebut.

Imam al-Qurtubi ada memberikan pandangannya mengenai perkara ini. Kata beliau:

“Harta tidak akan dapat menolong mereka keluar daripada masalah itu. Maka Zulqarnain memulangkan upah kepada mereka kerana pada ketika itu memberikan khidmat tenaga adalah lebih utama.” [Tafsir al-Qurtubi]

  • Memberikan khidmat yang terbaik

Ketika Zulqarnain sampai di kawasan antara dua gunung, beliau diminta oleh rakyatnya di sana untuk membina sebuah tembok sebagai penghadang di antara mereka dengan Yakjuj dan Makjuj.

Zulqarnain menunaikan permintaan kaum tersebut dengan sesuatu yang lebih baik. Kaum tadi meminta agar dibinakan tembok penghadang (سدًا) untuk mereka namun beliau menunaikan dengan membina sebuah tembok yang kukuh (ردمًا).

Lihat perbezaan ayat ke 94 dan 95 dalam surah al-Kahfi ini:

فَهَلۡ نَجۡعَلُ لَكَ خَرۡجًا عَلَىٰۤ أَن تَجۡعَلَ بَیۡنَنَا وَبَیۡنَهُمۡ سَدࣰّ

“.. maka setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu dengan syarat engkau membinakan sebuah tembok di antara kami dengan mereka?”

أَجْعَلْ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ رَدْمًا

“..aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh.”

Kata Ibnu Manzur yang merupakan ulama’ bahasa bahawa (الردم) dari sudut bahasa Arab adalah lebih banyak daripada (السد) kerana ia adalah tembok yang dijadikan berlapis-lapis, manakala Ibnu Abbas pula menyimpulkan bahawa (الردم) merupakan penghadang yang paling kuat.

Kisah ini memberikan gambaran bahawa Zulqarnain telah melakukan sesuatu yang terbaik buat orang bawahannya. Kesan daripada kebaikannya, tembok ini kukuh ribuan tahun menjadi amal jariah buat Zulqarnain dan mereka yang terlibat dalam pembinaan tembok ini.

  • Membesarkan Allah

Allah SWT berfirman:

قَالَ هَٰذَا رَحْمَةٌ مِنْ رَبِّي ۖ فَإِذَا جَاءَ وَعْدُ رَبِّي جَعَلَهُ دَكَّاءَ ۖ وَكَانَ وَعْدُ رَبِّي حَقًّا

Berkatalah Zulqarnain: “Ini ialah suatu rahmat daripada Tuhanku. Apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur, dan adalah janji Tuhanku itu benar”
(Al-Kahfi: 98)

Dalam ayat ini Zulqarnain telah membesarkan Allah dengan mengakui bahawa setiap kelebihan yang ada padanya hanyalah merupakan rahmat daripada Allah SWT semata-mata. Beliau juga beriman kepada hari akhirat dan percaya kepada janji Tuhannya bahawa tembok yang kukuh itu kelak akan binasa pada waktunya.

  • Tidak mengharapkan ganjaran

Zulqarnain telah mengiktiraf segala pemberian Allah terhadapnya adalah lebih baik daripada pemberian harta rakyatnya. Perkara ini dapat dilihat ketika beliau menolak upah yang ingin diberikan rakyatnya saat mereka meminta bantuan.

Allah SWT berfirman:

قَالَ مَا مَكَّنِّي فِيهِ رَبِّي خَيْرٌ

“Dia menjawab: “(kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan aku menguasainya adalah lebih baik (daripada bayaran kamu)..”
(Al-Kahfi: 95)

Perkara yang sama juga dilakukan oleh seorang penguasa yang hebat yang dirakamkan Allah dalam al-Quran iaitu Nabi Sulaiman AS. Baginda telah menolak pemberian harta kaumnya dan mengiktiraf pemberian Allah terhadapnya adalah lebih baik.

Allah SWT berfirman:

فَلَمَّا جَاءَ سُلَيْمَانَ قَالَ أَتُمِدُّونَنِ بِمَالٍ فَمَا آتَانِيَ اللَّهُ خَيْرٌ مِمَّا آتَاكُمْ

“Maka apabila (utusan pembawa hadiah itu) datang mengadap Nabi Sulaiman, berkatalah Nabi Sulaiman (kepadanya): “Tidaklah patut kamu memberikan kepadaku pemberian harta benda, kerana apa yang telah diberikan Allah kepadaku lebih baik dari apa yang telah diberikan-Nya kepada kamu..”
(An-Naml: 36)

Kedua-dua kisah ini membuktikan bahawa mereka adalah pemimpin yang hanya tamakkan pemberian Allah dan tidak pula mengharapkan ganjaran manusia.

Kewajipan Dakwah Seorang Pemimpin

Setiap umat Islam diberikan kewajipan berdakwah iaitu menyuruh kepada kebaikan dan mencegah daripada berlakunya kemungkaran, apatah lagi mereka yang telah diberikan kuasa dan kedudukan.

Firman Allah SWT:

الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَر

“Golongan yang sekiranya Kami kurniakan kekuasaan dunia kepada mereka, nescaya mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh kepada kebaikan dan melarang kemungkaran.” (Al-Hajj: 41)

Dalam kisah kepimpinan Zulqarnain, ulama’ tafsir berpandangan bahawa beliau telah memilih untuk berdakwah kepada rakyatnya saat beliau diberi pilihan oleh Allah sama ada mahu menghukum terus atau menunjukkan kepada mereka jalan yang benar.

Lalu beliau berdakwah dengan kuasa yang ada padanya iaitu memberi ancaman hukuman yang keras bagi menghentikan perbuatan zalim rakyatnya juga ancaman azab yang pedih di akhirat kelak.

Dalam ayat ke 88 surah al-Kahfi pula, terdapat bukti jelas bahawa Zulqarnain mengajak rakyatnya beriman kepada Allah SWT dan menyuruh mereka melakukan amal soleh:

وَأَمَّا مَنْ آمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا فَلَهُ جَزَاءً الْحُسْنَى

“Adapun orang yang beriman serta beramal soleh, maka baginya balasan yang sebaik-baiknya..”

Balasan baik yang dimaksudkan adalah syurga menurut pandangan Imam at-Tabari dalam tafsirnya. Ia sebagai ganjaran atas keimanan dan ketaatan mereka terhadap Allah.

Hakikatnya, tidak ada seorang pun yang mampu membalas keimanan dan perbuatan baik seseorang melainkan Allah SWT. Begitulah pandangan Zulqarnain, beliau memberikan berita gembira kepada rakyatnya iaitu ganjaran syurga daripada Allah kerana beliau yakin ianya adalah lebih baik daripada pemberian yang datang daripadanya.

Zulqarnain telah menanamkan keimanan ke dalam hati rakyatnya. Perbuatan ini sebenarnya lebih menggalakkan seseorang itu melakukan perkara yang baik serta tidak mudah berputus asa dengan kebaikan yang mereka laksanakan.

Ujian dan Fitnah Golongan Penguasa

Kedudukan, pangkat mahupun kuasa merupakan satu kemuliaan bagi seseorang. Ianya mampu mengangkat darjatnya lebih dekat kepada Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda:

أهل الجنة ثلاثة: ذو سلطان مقسط متصدق موفق

“Ahli syurga itu ada tiga golongan, (salah satunya) orang yang mempunyai kuasa bersikap adil, berbuat baik pada manusia serta diberikan taufiq untuk melakukan kebaikan.” [HR Muslim]

Namun demikian, ianya boleh menjadi musibah sekiranya dia tidak menjalankan amanahnya dengan baik. Kesannya, hilang rahmat Allah ke atasnya bahkan dia akan dijauhkan daripada syurga sehingga bau syurga yang sejauh ratusan tahun perjalanan pun akan dihalang oleh Allah SWT.

Sabda Nabi SAW:

مَا مِنْ عَبْدٍ اسْتَرْعَاهُ اللَّهُ رَعِيَّةً، فَلَمْ يَحُطْهَا بِنَصِيحَةٍ، إِلَّا لَمْ يَجِدْ رَائِحَةَ الجَنَّةِ

“Tidaklah seorang hamba yang Allah berikan kepadanya urusan menjaga rakyat, namun dia tidak melakukannya dengan baik, melainkan dia tidak akan dapat mencium bau surga.”
[HR Bukhari]

Hadis ini menunjukkan bahawa kuasa dan kepimpinan merupakan satu amanah yang besar. Hanya mereka yang berkemampuan sahaja mampu memikulnya dengan adil. Sebagaimana yang diperingatkan oleh Nabi SAW kepada sahabatnya:

“Wahai Abu Zar, sesungguhnya aku lihat engkau adalah lemah sedangkan kepimpinan itu adalah amanah. Dan ia di hari kiamat nanti adalah satu kehinaan dan penyesalan melainkan mereka yang memegangnya dengan haknya dan menunaikan hak-hak yang terdapat ke atas kepimpinan tersebut.”
[HR Muslim]

Justeru tidak digalakkan meminta kuasa, pangkat mahupun kedudukan jika merasakan bahawa kita tidak mampu menggalasnya dengan baik.

Namun pemimpin yang beriman dan berusaha menjalankan amanahnya dengan baik akan dibantu oleh Allah SWT dan mendapat petunjuk-Nya. Perkara ini dapat dilihat dalam kisah Zulqarnain saat beliau berada di suatu tempat terbitnya matahari.

Selepas beliau menjumpai kawasan itu, Allah SWT telah berfirman:

كَذَٰلِكَ وَقَدْ أَحَطْنَا بِمَا لَدَيْهِ خُبْرًا

“Demikianlah halnya, dan sesungguhnya ilmu Kami meliputi akan segala yang ada padanya.”[Al-Kahfi: 91]

Syeikh as-Sa’di memberikan pandangannya melalui ayat ini:

” Zulqarnain sampai pada suatu tempat yang terputusnya pengetahuan penduduk bumi mengenainya, apatah lagi untuk manusia sampai kepada kaum tersebut dengan jasad mereka. Semua ini berlaku dengan kekuasan Allah dan ilmu-Nya buat Zulqarnain.” [Tafsir as-Sa’di]

Ayat ini menunjukkan bahawa Allah SWT memberi taufiq dan petunjuk kepada Zulqarnain dalam menguruskan pemerintahannya sekaligus memberi khabar gembira buat golongan penguasa dan pemimpin yang beriman serta berusaha menjalankan tanggungjawabnya dengan baik.

Kesimpulan

Terdapat tujuan yang besar mengapa kisah Zulqarnain dan kepimpinannya diriwayatkan dalam Al-Qur’an. Yusuf Qardhawi mengatakan bahawa ianya sebagai panduan dan pengajaran kepada seluruh manusia di bumi.

Hakikatnya setiap orang yang beriman tidak akan terlepas daripada tanggungjawab di dunia ini sepertimana hadis Nabi SAW:

“Ketahuilah setiap kalian adalah pemimpin dan setiap kalian bertanggungjawab atas apa yang dipimpinnya. Seorang pemimpin yang memimpin rakyat akan bertanggungjawab atas rakyatnya, seorang lelaki adalah pemimpin atas keluarganya dan dia bertanggungjawab atas mereka semua, seorang wanita juga pemimpin atas rumah suaminya dan anak-anaknya dan dia bertanggungjawab atas mereka semua, seorang hamba adalah pemimpin atas harta tuannya dan dia bertanggungjawab atas harta tersebut. Setiap kalian adalah pemimpin dan akan bertanggungjawab atas kepemimpinannya.”
[HR Muslim]

Namun demikian, Allah telah memperingatkan hamba-Nya bahawa akan berlakunya fitnah dan musibah kekuasaan di akhir zaman iaitu akan muncul pemimpin yang berhati syaitan dan kejam. Rasulullah SAW bersabda:

يَكُونُ بَعْدِي أَئِمَّةٌ لَا يَهْتَدُونَ بِهُدَايَ، وَلَا يَسْتَنُّونَ بِسُنَّتِي، وَسَيَقُومُ فِيهِمْ رِجَالٌ قُلُوبُهُمْ قُلُوبُ الشَّيَاطِينِ فِي جُثْمَانِ إِنْسٍ

Akan ada pemimpin-pemimpin setelahku yang tidak mengikuti petunjukku dan sunnahku. Ada dari mereka orang-orang yang memiliki hati syaitan sedangkan fizikal mereka manusia”
[HR Muslim]

Terdapat banyak lagi sifat buruk pemimpin akhir zaman yang diceritakan Nabi SAW menunjukkan betapa kuatnya fitnah ke atas mereka yang diberi tampuk kekuasaan.

Hadis mengenai perkara ini memberikan panduan kepada umat Islam untuk mengenali mereka dan mengambil langkah berhati-hati terhadap fitnah akhir zaman.

Pada masa yang sama ia menjadi panduan agar umat Islam menjauhi sifat tersebut serta berusaha menjalankan amanah dan tanggungjawabnya dengan baik mengikut tauladan daripada kisah Zulqarnain serta berpegang teguh dengan Al-Qur’an dan Sunnah.

Wallahua’lam. Semoga Allah memberikan bimbingan dan taufiq kepada kita dalam menjalankan tanggungjawab serta dijauhkan daripada fitnah akhir zaman.

Ustaz Luqman Afifi bin Sabri
Sarjana Muda Syariah, Universiti Yarmouk Jordan

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts