Pergelutan menuntut ilmu

 

MELIHAT seorang muslim yang berjaya melawan kelalaian dan terus beramal dengan penuh tekad dan tanggungjawab, bisa membangkitkan semangat para muslimin yang lain untuk berkorban dan beramal, kekuatan inilah yang dinamakan sebagai qudwah.

Seorang yang di wajahnya tampak siap-siaga beramal, dan dalam amalnya kelihatan kesungguhan memikul tanggungjawab adalah suatu fenomena yang melawan arus hawa nafsu moden.

Fenomena ini akan memercikkan rasa ingin berjuang di dalam jiwa-jiwa yang merasai sendiri bersama pejuang-pejuang ini.

Namun di suatu persimpangan, terdapat pergelutan yang akan dihadapi.

Kerana bukan sedikit mereka yang bersemangat dan penuh disiplin, ingin berjuang tetapi di akhirnya terpesong dan tidak mampu mengalirkan akhlak-akhlak hebat seorang pejuang ke tempat yang sepatutnya, pada kadar yang sepatutnya.

Sepertimana pandangan Ibnu Tayimiyah dan Ibnu Qayyim, syaitan akan menyesatkan manusia dengan syubhat terhadap satu-satu perkara.

Erti syubhat disini bukan semata ragu-ragu, tetapi melaksanakan sesuatu tanpa panduan dan pandangan yang jelas, mudah cerita tanpa ilmu yang mendalam.

Memanggil manusia ke jalanan, bersorak di dalam majlis, mengembara dan sebagainya padat dengan akhlak dan kualiti yang tinggi seperti bersemangat dan menuntut disiplin yang jitu.

Seorang yang mengembara perlu mempunyai disiplin dan semangat untuk meneruskan pengembaraan, begitu juga mereka yang berpanas di jalanan.

Semuanya menuntut jiwa yang mampu berkorban dan berdisiplin untuk tujuan-tujuan dan nilai-nilai tertentu.

Cuma jika diperhalusi, dakwah di jalan Allah bukan sahaja menuntut lahirnya jiwa yang bersemangat dan berkorban, tetapi menuntut kejelasan kemanakah semangat dan pengorbanan itu ingin disalurkan?

Setelah mengetahui tujuan yang jelas, perlu difahami pula apakah cara menuju tujuan tersebut?

Apakah kaedah yang dibenarkan dan langkah-langkah yang perlu diambil. Kesemua ini membentuk perincian kepada ilmu berkaitan kehidupan seorang pendakwah.

Jadi persoalan berkaitan di atas bagi menguji kefahaman seseorang individu “mengapakah turun ke jalanan?” “Apakah implikasi kepada mencapai tujuan?” “Adakah ada cara lain?” “Apakah kesan selama 50 tahun?”.

Seterusnya diperbahaskan pula berkaitan kefahaman jalan dakwah yang ingin dibawa, apakah implikasi dan kesan dari tindakan tersebut?

Adakah terbina kekuatan, ataupun melemahkan dakwah, atau bagaimana?

Semua perkara ini menuntut sebuah tahap kefahaman dan keilmuan yang mampu menolak syubhat, dan melaksanakan tuntutan dakwah dengan tepat.

Sebagai contoh, apabila berlaku peristiwa “Arab Spring”, ketika itu saya sendiri melihat di hadapan mata naiknya presiden Morsy, dan akhirnya beliau jatuh di tangan As-Sisi dan sekutunya.

Namun impak kepada Jamaah Ikhwan Muslimin dan Dakwah Salafiyah di Mesir amat terkesan.

Ketika itu, pimpinan Dr. Morsy adalah gabungan di antara dua kelompok Islamis ketika isu, gerakan Dakwah Salafiyah yang menyertai politik dan Ikhwan Muslimin serta pendokongnya.

Dr Morsy melantik Hisham Qandil, seorang tokoh di Dakwah Salafiyah ketika itu sebagai pemimpin kanan beliau selaku Perdana Menteri.

Namun, selepas beliau digulingkan oleh proksi Yahudi dan Amerika yang di barisan hadapannya Morsy, segala malapetaka dituding jari kepada Morsy, Ikhwan Muslimin dan sebahagian dakwah salafiyah.

Maka, operasi besar-besaran dilakukan dan ratusan ribu disumbat didalam penjara, ‘hilang’ dan tidak kurang pemimpin-pemimpin tinggi gerakan Islam yang menghembus nafas akhir di dalam penjara.

Pengajaran utama yang perlu dipelajari, disebalik membina jiwa yang kental dan semangat yang membara, adalah kedalaman fikiran dan strategi dalam mencapai sesuatu tujuan dan meletakkan tawakal pada tempatnya.

Inilah pergelutan ilmu dan kefahaman, bagaimana ingin membezakan sebuah ‘ijtihad’ atau pandangan yang masak berdasarkan risiko-risiko yang dibenarkan mengikut syarak, sejauh mana persediaan, sejauh mana pengawalan risiko kesemunya adalah pergelutan pada setiap lapis pendakwah.

Di dalam contoh “Arab Spring”, adakah para pendakwah perlu mengambil pengajaran kefahaman strategik yang mendalam dan tinggi atau cukup sekadar mengatakan ianya adalah takdir dan ujian?

Sedangkan, proses ijtihad yang dilakukan perlu dilihat semula adakah mempunyai ciri-ciri proses ijtihad yang bersungguh?

Ataupun masih pada mentaliti tawakal tanpa usaha? Semua perkara ini perlu diperhalusi dan dikoreksi, kerana seorang mukmin tidak jatuh ke dalam lubang yang sama dua kali!.

Dari sekecil-kecil pendakwah yang ingin membuat keputusan adakah ingin berdakwah di surau atau rumah ke rumah?

Sehinggalah kepada seorang pemimpin di dalam organisasi dakwah yang ingin membuat keputusan apakah strategi dakwah pada tahun ini akan mencapai suatu pencapaian yang hebat dalam tepmoh 100 tahun akan datang?.

Jika tersalah langkah, atau suatu langkah kurang efektif dalam mencapai tujuan, maka pasti akan kerugian kebaikan yang banyak, pasti akan rugi pengorbanan-pengorbanan yang dilakukan oleh seorang pendakwah.

Benarlah sabda Nabi Muhammad SAW:

مَنْ يُرِدِ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ

“Sesiapa yang dikehendaki oleh Allah kebaikan padanya, maka pasti akan diberi kefaqihan di dalam agama,” (Bukhari :71, Muslim 1037)

Ibnu Tayimiyah mensyarahkan, hadis ini berdasarkan ayat Surah Taubah 122, dimana Allah menyebut “Tafaqquh di diin” kemudian terus menyambung dengan “memberi peringatan kepada kaumnya”, maka Ibnu Tayimiyah mengatakan maksud faqih di dalam agama adalah:

“Memahami maksud-maksud arahan-arahan dan larangan-larangan, dan manusia menuntut kesabaran padanya.. Maka fiqh dan faqih disini bermaksud menghalang (manusia dan diri) dari perkara haram, ATAU mengajak kepada perkara wajib,” (Himpunan Fatwa 20/210).

Maka faqih adalah suatu ciri penting pendakwah dalam memahami apakah yang sepatutnya dilakukan, dan perkara yang patut ditinggalkan, dan bukan sekadar berjalan melaksanakan apa-apa perkara yang dilihat rutin dan ‘menarik’ atas semangat dan berkorban tanpa bertanya “Adakah aku mengetahui dengan yakin bahawa ni adalah perkara yang sepatutnya dilakukan?”

Semua ini membawa kepada suatu kualiti pendakwah yang tinggi dimana tiada yang paling tinggi keinginan dan kesungguhan menuntut ilmu dalam setiap aspek samada strategi, fikrah, dakwah melainkan pendakwah, kerana dia memahami pendakwah yang paling memerlukan ilmu yang paling tinggi mengatasi segala insan di dunia.

Begitulah keinginan dan kesungguhan seorang yang ingin menjadi khalifah. -Ismaweb

Ustaz Mohd Suhail Mohd Sufian
Naib Pengerusi Majlis Ulama Islam ISMA (MUIS)

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts